Adakah ayat ini betul? Adakah terdapat kesalahan? Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa pembalakan akan menyebabkan kawasan tadahan air negara terjejas. | Ayat "Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa pembalakan akan menyebabkan kawasan tadahan air negara terjejas" adalah betul. Perkataan "realiti" boleh juga ditukar kepada "hakikatnya" | Lain-lain | 23.05.2016 |
Dalam hal ini,tidak dapat dinafikan bahawa,anak-anaknya kerap membeli barangan yang tidak berguna dan ketandusan mendapat kecantikkan barang kepada diri sendiri.Bertitik tolak daripada hal itu,mereka menanam tabiat buruk untuk membeli barangan yang tidak berguna di pusat atau di pasaran.Menurut kadar bilangan rakyat Malaysia membuang sampah semakin serius,kerajaan seharusnya merancang pelan dengan sebaik mungkin untuk mencegah masalah atau rintangan ini dalam keadaan berlaku di negara kita.Sebagai analoginya,pihak sekolah sememangnya mengadakan aktiviti cara menabung wang untuk menggelakkan kita menanggung beban berat atas perbelanjaan keperluan barangan.Anak-anak mereka perlulah menerima atau menganjurkan aktiviti dengan semangat yang lebih aktif untuk belajar menguruskan wang.Apakah kepentingan amalan menabung dalam kehidupan seharian?Ironinya,tidak dapat dinafikan bahawa kita dapat menyelesaikan masalah buruk diri sendiri tanpa bergantung pada diri sendiri menarik rambut dalam tepung ,rambut jangan terputus,tepung jangan berselerak. Bolehkah Tuan /Puan memberikan bantuan.Saya nak tahu akan semua ayat ada kesalahan tatabahasa atau kesalahan istilah tak?Jika ada,bolehkah membetulkan kesalahan yang saya buat.Terima kasih | Puan Catherine, semakan yang diminta termasuk dalam semakan dokumen. Untuk makluman pihak puan, DBP ada menyediakan semakan dokumen bahasa Melayu dengan kadar RM8 satu muka surat (saiz huruf 12; Arial/Times New Roman; langkau 2 baris). Sila e-melkan dokumen tuan kepada fadhilah@dbp.gov.my untuk sebut harga dan maklumat lanjut. Terima kasih. | Lain-lain | 27.01.2021 |
Bagaimanakah pengiraan minggu dalam setiap bulan dinafikan? Contohnya: Februari 2013 Minggu pertama dalam setiap bulan, adakah ia mula dikira semasa minggu tersebut mengandungi 7 hari? Atau, ia dikira bermula pada 1 hb Februari? Minggu ketiga Februari adakah mula dikira dari 10hb hingga 16hb? Adakah pengiraan ini sah digunakan dalam sistem awam/kerajaan di dalam negeri? Ribuan terima kasih. | Minggu Pertama yang ada pada setiap bulan berdasarkan satu haribulan jatuh pada hari apa dalam minggu berkenaan. Contohnya Sabtu minggu pertama bulan Februari 2013 jatuh pada 2 Februari 2013. | Lain-lain | 29.01.2013 |
Walaupun isu rasuah di dalam institusi pentadbiran agama Islam seperti jabatan atau majlis agama Islam, mahkamah syariah, dan institusi masjid tidak begitu ketara, namun tidak dinafikan bahawa institusi-institusi ini juga terdedah kepada pelakuan rasuah terutama jika dilihat dari aspek salah laku pentadbiran. !. adakah ayat ini tepat? 2. ..di dalam institusi atau dalam institusi? | Walaupun isu rasuah dalam institusi pentadbiran agama Islam seperti jabatan atau majlis agama Islam, mahkamah syariah dan institusi masjid tidak begitu ketara namun tidak dinafikan bahawa institusi tersebut juga terdedah kepada pelakuan rasuah, terutamanya dari aspek salah laku pentadbiran. | Tatabahasa | 22.11.2021 |
Tuan, Saya mohon pengesahan dan khidmat nasihat atas terjemahan ke Bahasa Melayu yang telah saya sediakan seperti di lampiran. Terima kasih | Terjemahan menggunakan translate google tidak dinafikan sememangnya kerja yang mudah dan tidak mengambil masa yang lama. Namun menghasilkan terjemahan yang tidak lancar, merupakan terjemahan langsung sekali gus menyebabkan kandungan sukar difahami. Puan boleh mendapatkan perkhidmatan terjemahan profesional dari Persatuan Penterjemah Malaysia dengan menghubungi 03-92262506. | Lain-lain | 21.03.2019 |
Adakah semua ayat dalam perenggan di bawah gramatis? Dalam menongkah arus globalisasi yang penuh dengan pancaroba dan kompetitif, negara kita masih berdepan dengan masalah peningkatan kes demam denggi. Masalah yang semakin membimbangkan ini telah menjadi topik yang hangat dibicarakan dalam media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan kes demam denggi mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada semua pihak. Demam denggi bukan sahaja telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan malahan kadar kematian yang berpunca daripada wabak penyakit ini juga semakin bertambah. Sekiranya masalah ini dibiarkan berterusan tanpa sebarang penyelesaian yang efektif maka sudah pastinya negara kita akan menghadapi pelbagai musibah yang sekali gus akan menjejaskan kesejahteraan negara yang dikecapi selama ini. Oleh hal yang demikian, masalah ini tidak boleh dipandang enteng. Sebenarnya, terdapat banyak punca berlakunya demam denggi dan cara-cara mengatasinya. | Kami mencadangkan penambabaikan dalam teks yang berkenaan seperti yang berikut - Dalam menongkah arus globalisasi yang penuh pancaroba dan persaingan, negara kita masih berdepan dengan masalah peningkatan kes demam denggi. Masalah yang semakin membimbangkan ini telah menjadi topik yang hangat dibicarakan dalam media massa, sama ada media elektronik mahupun media cetak. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peningkatan kes demam denggi mendatangkan pelbagai implikasi negatif kepada semua pihak. Demam denggi bukan sahaja telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan malahan kadar kematian yang berpunca daripada wabak penyakit ini juga semakin bertambah. Sekiranya masalah ini dibiarkan berterusan tanpa penyelesaian tuntas, maka sudah pasti negara kita akan menghadapi pelbagai musibah yang sekali gus akan menjejaskan kesejahteraan negara. Oleh hal yang demikian, masalah ini tidak boleh dipandang enteng. Sebenarnya, terdapat banyak punca berlakunya demam denggi dan cara-cara untuk mengatasinya. | Penyemakan dan penterjemahan | 08.04.2015 |
Pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama agensi di bawahnya termasuk Jabatan Perikanan Malaysia telah menggunakan perkataan "Agropreneur" bagi maksud "Usahawan Tani". Jadi apakah kewajaran mengenai penggunaan terma ini? | Istilah "usahawan tani" merupakan istilah sasar bagi kata bahasa Inggeris 'agropreneur". Walaupun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan agensi lain memilih untuk menggunakan kata bahasa asing tersebut, tidak dapat dinafikan kewujudan penggunaan kata bahasa Melayu "usahawan tani' dalam data korpus penggunaan masyarakat. Data korpus juga menunjukkan penggunaan kata "usahawan tani" lebih banyak digunakan berbanding kata "agropreneur" dalam teks bahasa Melayu pada ketika ini. Terdapat juga penggunaan kata ini yang telah didaftarkan dalam pertubuhan, skim, projek dan sebagainya. Oleh sebab itu, kata "usahawan tani" perlu dikekalkan dalam senarai istilah yang digubal, dan penggunaan kata ini adalah sangat digalakkan. Bahasa Jiwa Bangsa. | Istilah | 25.10.2023 |
Salam, Soalan: Mohon untuk semak adakah perkataan berikut merupakan singkatan: 1. AWAS = "Anda Waspada Anda Selamat" 2. TUMIS = "Tuang Minyak Sedikit" 3. SPENDER/SPENDA/SEPENDA = "Seluar Pendek Dalam" Info Tambahan: Baru-baru ini saya ada melihat beberapa video dari socmed (instagram ig:nadeemode & ig:addinsan) tentang perkataan gabungan .. dan dinyatakan AWAS & TUMIS ini juga merupakan singkatan. Terima kasih | Mengikut pangkalan data perkamusan DBP, kata awas, tumis dan spender/spenda/sependa bukanlah akronim atau singkatan. Namun, tidak dinafikan terdapat kata yang benar-benar dibentuk daripada gabungan kata seperti kugiran, pawagam, laser, MARA dan sebagainya. Kekreatifan masyarakat membolehkan semua kata diberikan padanan atau rangkaian kata yang membawa makna tertentu. | Makna | 18.07.2023 |
Assalam, Apakah yang dimaksudkan dengan 'kebergunaan' pegawai atau 'kegunaan' pegawai Terima kasih. | Mengikut Kamus Dewan maksud "kebergunaan" dan "kegunaan" adalah seperti yang berikut: 1. KEBERGUNAAN: perihal (keadaan dsb) berguna: Kebergunaan traktor dlm. kerja membajak sawah itu memang tidak dapat dinafikan; 2. KEGUNAAN: faedah, guna: undang-undang itu dibuat utk. kegunaan seluruh rakyat; 2. Yg. digunakan: semua kertas kegunaannya dapat dibeli; segala alat kegunaan menebas pd. zaman itu dibuat drpd. batu; | Istilah | 11.12.2018 |
Salam Sejahtera. Bagaimana kerabat diraja mengelar adik-beradik mereka? Adakah frasa seperti "kanda andak" dan "dinda long" betul? | Panggilan sapaan bagi kerabat diraja yang sebaya dengan abang, kakak atau adik ialah kakanda (kekanda/kanda) dan adinda (dinda). Penggunaan frasa "kanda andak" dan "dinda long" tidak ditemui dalam teks klasik bahasa diraja, khususnya dalam pangkalan data Malay Concordance Project (MCP). Kata yang selalu dikolokasikan dengan kanda dan dinda adalah seperti Kanda Tengku Embung, Kanda Seri Indera, adinda baginda tuan puteri, Adinda Asma Penglibur, adinda baginda Maharaja/Raja/Pangeran dan sebagainya. Kesimpulannya, kata kanda dan adinda digunakan secara kata nama tunggal atau frasa nama dengan gabungan yang tertentu dan khusus sifatnya (dengan kata nama khas). Namun, tidak dinafikan adanya pengguna kata kanda dan dinda dalam panggilan orang bangsawan yang dilakonkan dalam drama kepahlawanan, kependekaran dan sebagainya. Mohon rujuk buku Bahasa Diraja Edisi Baharu (Asmah Haji Omar. DBP, 2016) untuk penjelasan lanjut. Untuk carian makna kata yang terkini, sila dapatkan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Lain-lain | 24.07.2023 |