Adakah penggunaan istilah am ( pagi ) dan pm ( petang ) boleh digunakan dalam bahasa Melayu? | Dalam bahasa Melayu perkataan am dan pm tidak diunakan, sebaliknya untuk tempoh masa 1.00 am - 11.59 am dinamakan pagi, 12.00 pm - 1.59 pm dinamakan tengah hari, 2.00 pm - 6.59 dinamakan petang, 7.00 pm - 11.59 pm dinamakan malam dan 12.00 am - 12.59 am dinamakan tengah malam. | Istilah | 06.02.2010 |
Bagaimanakah punggunaan perkataan 'adakah' dan 'apakah'? Mana satukah yang betul: 'Adakah ini yang dinamakan cinta?' atau 'Apakah ini yang dinamakan cinta?' | Penggunaan adakah merujuk kepada pertanyaan yang memerlukan jawapan ya atau tidak. Contoh ayat, Adakah awak bawa bekal hari ini? Ya. Manakala apakah pula pertanyaan yang merujuk kepada benda,haiwan,bukan manusia dan memerlukan jawapan keterangan. Contoh ayat, Apakah bekal yang awak bawa hari ini? Saya bawa bekal roti. Oleh itu, ayat yang betul ialah Adakah ini yang dinamakan cinta? | Lain-lain | 14.08.2010 |
Bolehkah majlis untuk penyampaian sijil diploma atau yang setaraf dengannya dinamakan majlis konvokesyen atau majlis graduasi? | Majlis penyampaian sijil diploma tidak boleh dinamakan sebagai majlis konvokesyen kerana konvokesyen untuk ijazah sahaja. | Lain-lain | 14.06.2015 |
Salam, dahulu nama 'Kastam Diraja Malaysia' disingkatkan dengan KDRM. Bagi tujuan penjenamaan semula jabatan, Kastam Diraja Malaysia dinamakan 'Jabatan Kastam Diraja Malaysia' atau singkatnya JKDM. Soalan pertama, mestikah nama organisasi dinamakan dengan JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA atau nama KASTAM DIRAJA MALAYSIA boleh berdiri dengan sendiri tanpa memasukkan perkataan JABATAN. Soalan kedua, singkatan JKDM atau JKDRM, mana yang betul. Contoh KDRM sama dengan PDRM, manakala TUDM dan TLDM tidak memasukkan R (Raja) dalam singkatannya. Sekian, terima kasih. | Saudara Anuar, i. Untuk penamaan semula organisasi adalah lebih sesuai dan tepat organisasi tersebut dinamai Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Penamaan ini adalah selaras dengan nama jabatan lain seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Penyiaran Malaysia, dan sebagainya. ii. Dari segi singkatan yang hanya mengambil huruf pertama nama organisasi, maka singkatannya ialah JKDM kerana perkataan 'Diraja' dieja sebagai satu perkataan bersesuaian dengan singkatan TUDM dan TLDM. Walau bagaimanapun saudara bolehlah merujuk Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) untuk memastikan sekiranya terdapat kaedah penulisan singkatan jabatan di peringakat JPA. | Lain-lain | 10.08.2009 |
Penggunaan ayat yang manakah sesuai? "...dalam menguruskan" atau "...untuk menguruskan" Contoh:- (1) Majlis hendaklah menubuhkan suatu jawatankuasa yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Riqab yang membantu Majlis dalam menguruskan perkara yang berhubungan dengan Riqab menurut Peraturan-Peraturan ini; atau (2) Majlis hendaklah menubuhkan suatu jawatankuasa yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Riqab yang membantu Majlis untuk menguruskan perkara yang berhubungan dengan Riqab menurut Peraturan-Peraturan ini. | Ayat yang betul ialah Majlis hendaklah menubuhkan suatu jawatankuasa yang dinamakan sebagai Jawatankuasa Riqab yang membantu Majlis untuk menguruskan perkara yang berhubung dengan Riqab menurut Peraturan-peraturan ini. | Lain-lain | 16.02.2021 |
Salam Mohon istilah bagi kegiatan menyamai kokurikulum tetapi bersifat akademik seperti persatuan, acara kuiz, syarahan dll. Bolehkah dinamakan koakademik? Terima kasih. | Hasil perbincangan DBP dengan KPM, kegiatan yang mendukung akademik boleh dinamakan koakademik. | Lain-lain | 17.01.2023 |
MERUJUK KEPADA DBP ADAKAH NAMA INDIVIDU YANG MASIH HIDUP BOLEH DINAMAKAN PADA JALAN. CONTOH JALAN DATO KONG KING ONG - BELIAU MERUPAKAN ANAK TEMPATAN YANG BANYAK MEMBUAT PEMBANGUNAN KAWASAN KAMPUNG BELIAU. | Untuk makluman, setakat ini merujuk kepada surat pekeliling Jabatan Perdana Menteri, individu yang masih hidup tidak boleh dinamakan pada jalan. | Lain-lain | 07.12.2020 |
Tempat tinggal itik dinamakan kandang/reban? Terima kasih. | Perkataan reban lebih sesuai digunakan kerana berdasarkan Kamus Dewan Perdana, reban bermaksud tempat untuk mengurung ayam, itik, kambing dan sebagainya. | Makna | 08.09.2021 |
Apakah jenis senjata yang dinamakan syahmura? Kamus dewan hanya menakrifkan sebagai sejenis senjata. Apakah jenisnya? Jenis senjata bilah? Senjata api? Apakah rupa bentuknya? | Assalamualaikum, Dewan Bahasa dan Pustaka hanya memberikan nasihat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baik sahaja dan tidak menerangkan tentang soalan yang ditanyakan mengenai rupa bentuk senjata tersebut. Sekian terim kasih | Lain-lain | 04.12.2018 |
Sallallahualaihiwasallam selepas nama Nabi dinamakan sebagai apa? Adakah 'gelaran' atau 'selawat'? Terima kasih. | Sallallahualaihiwasallam ialah selawat, iaitu doa kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad. | Tatabahasa | 22.04.2014 |