Cikgu, Dr. Awang Sariyan dalam bukunya, Tuntunan Bahasa, pernah mengatakan bahawa "mahu" digunakan untuk menyatakan keinginan diri akibat ajakan orang lain; "hendak" digunakan untuk menyatakan keinginan diri tanpa ajakan orang lain. Benarkah adanya perbezaan ini? | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, "mahu" bermaksud i. suka akan, suka hendak, bersedia akan ii. hendak, akan. "Hendak" pula bermaksud i. berhasrat akan, ingin akan ii. akan, bermaksud akan, mahu iii. untuk. Berdasarkan maksud yang diberikan, terdapat maksud yang sama pada kedua-dua perkataan. Bagi aspek linguistik, buku Datuk Dr. Awang Sariyan boleh dijadikan sebagai panduan. | Tatabahasa | 08.03.2015 |
1. Bilakah kita menggunakan i) di majlis/acara; ii) dalam majlis/acara? Adakah contoh-contoh berikut betul: a) Ahli parlimen itu telah berucap di majlis tertutup itu. b) Kekecohan berlaku dalam majlis akad nikah apabila pengantin pengsan. 2. Yang mana satukah betul: a) Liana melarikan diri dari penculiknya, atau b) Liana melarikan diri daripada penculiknya. Terima kasih dan salam takzim. | Penggunaan kata sendi nama yang betul ialah "dalam majlis". Oleh itu ayat yang betul ialah a). Ahli parlimen itu telah berucap dalam majlis tertutup itu. b) Kekecohan berlaku dalam majlis akad nikah apabila pengantin (perempuan/lelaki) pengsan. 2. b) Liana melarikan diri daripada penculiknya. | Tatabahasa | 04.06.2021 |
I Rumah itu binasa selepas ribut kencang malam. II Kebahagiaan rumah tangganya binasa akibat daripada sikapnya yang suka berfoya-foya. III Dadah yang bersifat binasa jangan dicuba agar diri kita tidak menanggung kerugian. Iv Bajunya binasa kerana baru sahaja dicuci dengan bahan peluntur warna. Munsyi, penggunaan binasa dalam keempat-empat ayat ini , yang mana satukah yang betul? TK | Binasa bermaksud habis rosak atau hancur sama sekali, atau disebut juga musnah. Dalam bentuk kiasan binasa bermaksud mengalami bencana atau keburukan seperti mendapat kesusahan besar, penyakit, dan lain-lain. Berdasarkan makna tersebut ayat I, II dan IV betul tetapi ayat I dibetulkan menjadi semalam. | Tatabahasa | 08.04.2012 |
Selamat Petang. Saya ingin memastikan sama ada kata dasar berikut betul : 1) peristiwa --> kata dasar peristiwa 2) perpaduan --> kata dasar padu Selain itu, ayat aktif bila bertukar kepada ayat pasif yang subjeknya Kata Ganti Nama Diri I atau II, bagaimana kita boleh pastikan mesti guna imbuhan -kan pada kata kerja atau tidak. Misalnya : 1) Lagu 'Negaraku' kami nyanyikan. 2) Buku cerita itu saya baca. Terima kasih. | 1. Kata dasar yang betul ialah peristiwa dan padu. 2. Lihat pada ayat aktif (tidak semua ayat aktif boleh dipasifkan), contohnya: Kami nyanyikan lagu Negaraku, maka ayat pasif menjadi "lagu Negaraku kami nyanyikan". Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 462. | Tatabahasa | 15.07.2011 |
Selamat pagi tuan, Saya ingin bertanya tentang 1. kata ganti nama diri ketiga, "dia". Bolehkah "dia" digunakan sebagai objek? Contoh Ayat : i) Saya mengajar dia? ii) Saya memberi dia roti. 2. Apakah kata kerja untuk keadaan ini: jika seseorang jatuh terjelepok, kita hendak membantu dia bangun, adakah kata kerja ini ialah : memimpin ? memapah? membimbing? 3. masih perlu *bangun* ? membimbing budak itu bangun? memapah budak itu bangun? memimpin budak itu bangun? atau tidak perlu perkataan "bangun"? Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu. | 1. Kata ganti nama “dia” boleh menjadi objek. 2. Jika seseorang itu jatuh terjelepok, kita hendaklah membantunya. 3. Tidak perlu berdasarkan contoh di atas. | Tatabahasa | 30.11.2022 |
Salam sejahtera, 1.Ayat aktif: Cikgu Tan menyemak buku latihan murid-muridnya. Ayat pasif: Buku latihan murid-muridnya disemak oleh Cikgu Tan. /Buku latihan murid-murid Cikgu Tan disemak olehnya. (Ganti Ganti Nama Diri Ketiga -nya perlu ditukar kepada Cikgu Tan?) 2. i)Kami dengan nenek selalu saling membantu. ii) Kami selalu saling membantu dengan jiran. (ayat i dan ii merupakan susunan perkataan untuk membetuk ayat yang betul yang dibuat oleh seorang guru. Beliau menyatakan ayat ii betul tetapi saya berpendapat ayat i betul.Sebenarnya yang mana satu betul) Sekian, terima kasih. | 1. Ayat pasif yang betul ialah "Buku latihan murid-muridnya disemak oleh Cikgu Tan." 2. Ayat yang betul ialah "Kami dengan nenek saling membantu." dan "Kami selalu membantu jiran." | Tatabahasa | 02.03.2020 |
Bulan Bahasa dahulunya diadakan pada bulan September. Mengapa sekarang ii telah ditukarkan kebulan Oktober | Bulan Bahasa Kebangsaan adalah kesinambungan kepada Bulan Bahasa dan Sastera Negara(BBSN). Ia mula diperkenalkan pada tahun 1999 dengan tujuan untuk membina jati diri dan memperteguh perpaduan bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera. Bahasa dan sastera perlu berperanan sebagai unsur yang dapat membentuk peribadi, menyuburkan nilai murni, memantapkan rasa kesamaan dan mengeratkan perpaduan dalam jiwa setiap warga merdeka. Bermula tahun 2009, program BBK diadakan pada bulan Oktober kerana bulan Ramadan jatuh pada bulan September. | Lain-lain | 27.10.2010 |
Saya ingin bertanya tentang maksud rangkai kata berikut: i) zaman serba mencabar ii) mengamalkan nilai integriti iii) minda kelas pertama iv) generasi modal insan yang berkualiti sekian, terima kasih | (i). Zaman serba mencabar bermaksud era atai tempoh yang terdapat pelbagai saingan sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, sosial, globalisasi dan sebagainya. Kemajuan berada pada tahap yang tinggi dan perlu diseimbangi oleh ilmu pengetahuan. (ii). Mengamalkan nilai integriti bermaksud mengamalkan sikap kejujuran atau keadaan sempurna dan utuh. Anatar amalan yang dicadangkan ialah mengenali maha pencipta, menyemai nilai-nilai terpuji, disiplin diri, kejujuran dan ketelusan, kebolehpercayaan, kebijaksanaandan rasa penghargaan. (iii). Minda kelas pertama bermaksud pemikiran dan sikap yang berkualiti tinggi dari segi ilmu, tindakan, disiplin, dan wawasan. (iv). Generasi modal insan yang berkualiti bermaksud generasi yang mempunyai ketahanan diri, ilmu dan penglibatan dalam mencapai wawasan negara. | Makna | 13.12.2007 |
Salam sejahtera, adalah pada konteks tertentu seperti diri seseorang, kata "pada" dan "kepada" boleh digunakan bersilih ganti? Sekian, terima kasih. | 1. Kata sendi "pada" untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: (i) Bas kami bertolak pada pukul 7 pagi. (ii) Wang itu ada pada ibu. 2. Kata sendi "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: (i) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. (ii) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. Jadi, kata sendi "pada" dan "kepada" boleh digunakan pada manusia/orang mengikut situasi tertentu. | Tatabahasa | 16.05.2020 |
Selamat sejahtera. 1. Biasanya Bendahara atau Laksamana berkata dengan Sultan, kata ganti nama diri pertama ( patik ) dan KGND kedua ( tuanku ) digunakan. Soalan 1: Kalau sebaliknya, Sultan berkata dengan Bendahara atau Laksamana, apakah KGND pertama dan KGND kedua yang paling sesuai digunakan? Soalan 2: Kalau sultan/raja berkata dengan kerabat raja yang lain seperti Permaisuri/ Sultanah, Putera, dan Puteri, apakah KGND pertama dan KGND kedua yang paling sesuai digunakan? Terima kasih. | Salam Sejahtera. Penggunaan Kata Ganti Nama Diri (KGND) Pertama dan Kedua adalah seperti yang berikut: 1. Sultan berkata dengan Bendahara atau Laksamana: i. Beta (KGND Pertama) ii. Tuan Bendahara / Laksamana (KGND Kedua) 2. Sultan berkata dengan Permaisuri/Sultanah i. Kekanda (KGND Pertama) ii. Adinda (KGND Kedua) 1. Sultan berkata dengan Putera/Puteri i. Ayahanda (KGND Pertama) ii. Anakanda (KGND Kedua) Sekian. Terima kasih. | Tatabahasa | 18.06.2017 |