| Salam sejahtera DBP, mana satu antara "salah dieja", "dieja salah" dan "disalah eja" merupakan penggunaan yang betul? Selain itu, adakah "disalah erti" dan "disalah faham" betul? Sekian, terima kasih. | 1. “Salah eja“ merupakan frasa nama yang membawa maksud silap mengeja/salah ejaan. Awalan di- pula merupakan awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif. Awalan di- boleh bergabung dengan kata dasar golongan kata kerja dan kata nama. Berdasarkan soalan, ketiga-tiga contoh yang diberikan “dieja salah”, “disalah eja” dan “salah dieja” merupakan bentuk kata kerja pasif bagi frasa nama “salah eja” dan boleh digunakan dalam ayat mengikut kesesuaian konteks ayat. 1. Demikian juga halnya dengan penggunaan frasa “disalah erti” dan “disalah faham” yang menerima awalan di- bagi membentuk kata kerja pasif. “Salah erti” dan “salah faham” ialah kata majmuk yang membawa maksud tidak mengerti hal yang sebenarnya, tidak benar atau tidak betul. Oleh yang demikian, kedua-dua frasa “disalah erti” dan “disalah faham” adalah betul dan boleh digunakan mengikut kesesuaian dan konteks penggunaan dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 175 dan laman web prpm.dbp.gov.my.
| Tatabahasa | 29.03.2024 |
| disalah tafsir atau disalahtafsirkan? boleh berikan penjelasannya juga? terima kasih | Salah tafsir ialah kata majmuk dan perlu ditulis berasingan. Sekiranya ditambah imbuhan "di" hadapan sahaja, kata majmuk ini tetap dieja sebagai dua perkataan, iaitu disalah tafsir. Kata majmuk akan dieja bercantum sekiranya ditambah imbuhan di hadapan dan di belakang. Contohnya: disalahtafsirkan, mencampuradukkan dan diurusniagakan. | Ejaan | 03.05.2013 |
| Apakah maksud 'daya usaha' dalam konteks ayat ini: 'Hal ini sengaja dilakukan kerana kerajaan tidak mahu disalah anggap bahawa mendayausahakan kelahiran MMM ini ialah upaya kerajaan dan bukannya industri media.' Bolehkah frasa ini digunakan sedemikian? | Maksud “daya usaha” dalam konteks ayat ini usaha, ikhtiar, keupayaan melaksanakan sesuatu Ayat yang betul ialah “Hal ini sengaja dilakukan kerana pihak kerajaan tidak mahu disalah anggap bahawa yang mendayausahakan penubuhan MMM ini ialah pihak kerajaan dan bukannya industri media.'” | Tatabahasa | 19.06.2020 |
| Apakah translasi betul Meet and Greet ialah Temu dan Tegur? "Tegur" di sini boleh disalah faham sebagai memperbetulkan atau ia cuma interaksi bila bertemu? Terima kasih | Padanan bahasa Melayu untuk perkataan “meet and greet” ialah “temu mesra”. | Makna | 21.05.2024 |
| Assalamualaikum w.b.t. Perkataan "disalahtafsirkan" adalah satu perkataan atau dua perkataan? "disalahtafsirkan" atau "disalah tafsirkan"? Terima kasih. | Kata majmuk yang menerima apitan atau menerima imbuhan pada perkataan pertama dan akhiran pada kerkataan kedua, ejaannya perlu disambung seperti disalahtafsirkan. | Tatabahasa | 20.07.2012 |
| Mohon untuk mendapat kepastian, adakah benar perkataan 'mlayu' bukannya kaum melayu, mempunyai definisi lari/ mengembara sepertimana mengikut terjemahan google? Mungkin perkataan ini boleh disalah erti kerana mempunyai persamaan dengan 'melayu' untuk digunakan dalam penulisan, tetapi bolehkah digunakan dalam percakapan harian? Terima kasih. | Untuk makluman, Kamus Dewan Edisi Ke-4 memberi definisi Melayu sebagai: 1. Nama asal bangsa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara serta bahasanya. 2. Nama suku bangsa, terutama sekali di Semenanjung Tanah Melayu. Sehubungan dengan itu, pihak kami hanya merujuk definisi tersebut untuk tujuan rasmi, termasuk dalam penulisan. Berkenaan maksud yang terdapat dalam google dan juga percakapan harian, itu di luar kawalan pihak kami. | Makna | 19.12.2015 |
| Saya telah menggunakan laman ini untuk merujuk kepada kesalahan ejaan. Daripada bahagian KOLEKSI Lembar Bahasa, saya dapati terdapat sebilangan ejaan pada ruangan ejaan betul telah disalah eja. Contohnya, ejaan cedekiawan dan fefinisi telah dieja salah tetapi diletakkan dalam lajur ejaan betul. Saya berharap agar kesilapan ini akan diteliti dan dibuat pembetulan kerana laman ini menjadi rujukan kepada saya dan anak-anak murid saya. Sekian, terima kasih | Terima kasih atas maklumat yang diberikan. Kami mengambil maklum dan tindakan hal yang berkenaan. | Ejaan | 15.07.2014 |
| Bolehkah ayat-ayat berikut diterima? 1. ‘Baju saya merah.’ Dalam ayat ini, haruskah perkataan ‘berwarna’ hadir di hadapan perkataan ‘merah’ ataupun ayat tersebut boleh diterima tanpa penggunaan perkataan ‘berwarna’? 2. ‘Kertas itu disalah cetak’ atau ‘Kertas itu dicetak salah’ ? 3. ‘Buku ini mahal.’ Dalam ayat ini, haruskah perkataan ‘harga’ hadir di hadapan ‘buku’ ataupun tidak perlu? 4.’Buku itu saya punya’ atau ‘Buku itu kepunyaan saya’ ? | 1. Ayat 'Baju saya merah.' boleh digunakan tanpa menambah perkataan 'berwarna' kerana perkataan 'merah' membawa maksud warna seperti darah. 2. Ayat yang betul ialah 'Kertas itu dicetak salah.' 3. Ayat 'Buku ini mahal.' boleh digunakan tanpa menambah perkataan 'harga' kerana perkataan 'mahal' membawa maksud tinggi harganya. 4. Kedua-dua ayat boleh digunakan.
| Tatabahasa | 30.03.2021 |
| Saya ada beberapa soalan 1) Kawalan yang tegas dari mahkamah/ atau daripada mahkamah 2) dari parti memerintah/daripada parti memerintah 3) hak untuk berhimpun adalah lanjutan daripada hak untuk bercakap/ dari hak untuk bercakap 4)akibat dari tindakan polis/daripada tindakan polis 5) prokerajaan/pro-kerajaan 6)disalahguna/disalah guna kerjasama baik pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih | Ayat/frasa/ejaan yang betul ialah: 1) Kawalan yang tegas daripada mahkamah, 2) daripada parti memerintah, 3) hak untuk berhimpun adalah lanjutan daripada hak untuk bercakap, 4) akibat daripada tindakan polis, 5) prokerajaan, 6) disalah guna | Tatabahasa | 06.02.2011 |
| Saya selalu hadapi masalah bila menulis ayat yang mengandung kata 'reka bentuk' jika ditambah awalan me. Contoh ayat: Kerja-kerja mereka bentuk akan siap sebulan lagi. Saya dapati kata awalan me + reka bila digabung selalu sering disalah tafsir jadi 'mereka' (they). Untuk atasi masalah ini, saya lebih suka menggabungkan istilah itu jadi satu kata tunggal 'rekabentuk' untuk disesuaikan dengan kata 'design' dalam bahasa Inggeris. Jadi apakah ada kreteria yang perlu saya tahu untuk menulis satu istilah yang terdiri dari gabungan dua kata seperti ini? Mohon jawapan | Ejaan yang betul ialah reka bentuk, mereka bentuk. Perkataan yang mempunyai makna tersendiri hendaklah dieja jauh kecuali 15 kata majmuk yang telah mantap. Kata majmuk hendaklah ditulis secara terpisah iaitu dua perkataan. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan untuk keterangan lanjut dan boleh melayari prpm.dbp.gov.my untuk mengetahui ejaan yang tepat. | Tatabahasa | 22.02.2013 |