Saya ada beberapa persoalan yang ingin dikemukakan kepada pihak tuan seperti yang berikut: 1. Apakah perbezaan di antara imbuhan awalan men.....,imbuhan berapitan men.....kan dan men.....i?Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan imbuhan seperti yang disebutkan di atas? 2. Apakah perbezaan di antara imbuhan awalan di.....,imbuhan berapitan di.....kan dan di.....i?Bagaimanakah cara untuk membezakan penggunaan imbuhan seperti yang disebutkan di atas? 3. Manakah penggunaan kata arah yang betul? a.)Di dalam bilik tidur atau di bilik tidur b.)Di dalam rumah atau di rumah? c.)Menyusun buku di atas rak buku atau menyusun buku pada rak buku? 4. Apakah perbezaan maksud di antara kata arah (sisi,tepi,samping dan sebelah?Saya berasa tidak pasti dan waswas dengan penggunaan kata arah yang disebutkan dalam pembentukan ayat? 5. Apakah perbezaan maksud di antara merampas,merenggut,meragut? Sekian sahaja dengan penamatan persoalan saya dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tuan atas bantuan tuan untuk menyelesaikan kemusykilan saua. | 1. Awalan meN- ialah awalan yang membentuk kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif, contohnya "menyala". Apitan meN-...-kan terdiri daripada empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja, dan kata tugas untuk membentuk kata kerja transitif, contohnya "menghambakan". Apitan meN-...i terdiri daripada empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja, dan kata tugas boleh menerima apitan ini untuk membentuk kata kerja, contoh "membelakangi". Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, muka surat 151, 191, dan 202. 2. Awalan di- ialah awalan yang digabungkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif bagi ayat yang subjek asalnya terdiri daripada pelaku orang ketiga, contohnya "ditulis". Apitan di...kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan.Segala ciri apitan ini dan maknanya tidak berubah daripada yang terkandung dalam imbuhan-imbuhan di- dan -kan. Seperti di-...-kan, apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya "dipelopori". Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi ketiga, muka surat 175, 202 dan 208. 3. Kedua-dua (a) dan (b) boleh digunakan mengikut konteks. Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat, manakala di dalam ialah penggunaan kata sendi nama di diikuti dengan kata arah dalam bagi menunjukkan kedudukan sesuatu benda itu dengan nyata. 4. Kata arah ialah sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk meunjukkan hala atau jurusan. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga muka surat 286. 5. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, "merampas" ialah mengambil dengan kekerasan atau merebut. "Merenggut" bermaksud menarik (mengambil, mencabut, menyentak, merebut) dengan kekerasan atau merampas. "Meragut" bermaksud menarik (menyentak, merabut, mencabut) dengan paksa atau dengan kekuatan. | Tatabahasa | 05.01.2010 |
Saya mempunyai kekeliruan tentang adverba. Dalam buku Tatabahasa Dewan, tiada disebutkan tentang adverba. Adakah adverba wujud dalam Bahasa Melayu. Terdapat berita mengatakan adverba akan dibincangkan pada edisi buku seterusnya. Saya perlukan sedikit penjelasan. Terima Kasih. | Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja,kata adjektif,kata nama,dan frasa sendi nama dari segi cara,masadan tempat. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 289 untuk keterangan lanjut. Kata adverba dimasukkan sebagai subkelas kata di bawah kelas kata tugas. | Tatabahasa | 02.04.2008 |
Terima kasih atas jawapan yang diberikan. 1. Maksudnya, pihak kami boleh meneruskan edaran kepada pihak luar seperti yang telah disebutkan. 2. Adakah perlu kami menghantar artikel untuk semakan pihak BDP? 3. Bolehkah pihak kami memohon khidmat DBP untuk menterjemah buku Melayu kepada Inggeris? | Kami tidak dapat mengaitkan soalan pertama tuan dengan maklumat yang lain. Untuk makluman tuan, kami membuat semakan untuk teks yang tidak melebihi 100 patah perkataan dan kami juga tidak menyediakan khidmat terjemahan. Untuk khidmat terjemahan, sila hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia, no 03-92262506. | Lain-lain | 06.01.2014 |
Jika murid menulis laporan tentang sesuatu aktiviti yang telah diadakan di sebuah sekolah, contohnya SJKC Keng Meng. Sama ada guru besar yang disebutkan perlu ditulis dalam huruf besar? | Jika digunakan secara umum, ejaan menggunakan huruf kecil. Misalnya, Hadiah itu disampaikan oleh guru besar. Manakala ' Guru Besar' digunakan merujuk kata nama khas seperti Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Maluri perlu menggunakan huruf besar. | Tatabahasa | 12.11.2013 |
Salam hormat, Saya ingin mengajukan pertanyaan dan pandangan berhubung penggunaan tanda kurungan ( ) bagi nama penandatangan surat rasmi. Baru-baru ini dalam satu perbincangan ada disebutkan tentang perkara ini. Situasi 1: penggunaan tanda kurungan ( ) bagi penandatangan surat rasmi bagi pihak (b.p.) ketua jabatan. Contoh: tandatangan (NAMA HURUF BESAR) Jawatan b.p. Ketua jabatan Situasi 2: tiada penggunaan tanda kurungan ( ) bagi penandatangan surat rasmi bagi jawatannya sendiri Contoh: tandatangan NAMA HURUF BESAR Jawatan *sebelum ini saya dan kebanyakan pegawai di organisasi saya telah menggunakan tanda kurungan ( ) bagi semua situasi. mungkin kami tidak begitu arif cuma mengikut keadaan saja. Jadi, saya ingin memohon pandangan daripada pihak DBP berhubung perkara ini supaya saya dapat memaklumkan kepada ketua saya dan membetulkan keadaan sekiranya perlu. Sekian, terima kasih. | Salam hormat, Semua surat rasmi yang ditandatangani walaupun dokumen tersebut ditandatangani oleh pegawai yang mewakili iaitu 'bagi pihak', mengikut Gaya Dewan hendaklah diletakkan kurungan dan ditulis dengan huruf besar. Contohnya: (DATUK ABANG SALLEHUDDIN BIN ABG. SHOKERAN) Pengarah, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, b.p. Ketua Pengarah Walaubagaimanapun, gaya penulisan surat rasmi bergantung kepada sesebuah institusi berdasarkan gaya penerbitan penulisan surat rasmi institusi masing-masing. | Lain-lain | 11.12.2012 |
"Sebelum ini telah disebut bahawa setiap huruf yang terdapat dalam al-Quran sudah semestinya membawa maksud dan hikmah yang tersendiri". "telah disebut" atau "telah disebutkan" dalam ayat di atas? bagaimana nak tahu bila nak letak imbuhan "kan" atau tidak? Dan secara umumnya, ayat di atas betul atau tidak keseluruhannya? terima kasih. | Kata terbitan disebut adalah betul. Awalan di-... lazimnya membentuk kata kerja pasif yang subjek asalnya terdiri daripada orang ketiga; manakala apitan di-...-kan ialah bentuk pasif bagi meN-...-kan. Untuk lebih memahami kedua-dua tajuk ini, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 176 dan 202. Disebut bermaksud dikatakan atau diceritakan. Dalam penulisan ilmiah penggunaan kata diterangkan dan dijelaskan adalah lebih sesuai berbanding dengan kata disebut itu. | Tatabahasa | 11.02.2011 |
Saya ingin bertanya apakah berbezaan: 1. antara ujaran dan bertutur 2. kemahiran ujaran dan kemahiran bertutur | Ujaran memabawa maksud sesuatu yang diucapkan atau disebutkan manakala bertutur pula membawa maksud bercakap atau berbicara. Menurut kamus dewan, kemahiran ialah kecekapan dan kepandaian melakukan sesuatu. Oleh itu, kemahiran ujaran boleh ditakrifkan sebagai kecekapan pengucapan manakala kemahiran bertutur pula ialah kecekapan bercakap atau berbicara.
| Lain-lain | 21.11.2020 |
saya sering ditegur kerana menggunakan istilah PUAN sedangkan individu tersebut masih belum berkahwan. Dalam konteks rasmi, bolehkah saya gunakan istilah PUAN secara menyeluruh ataupun perlu disebutkan Cik juga? | Kata sapaan 'puan' merupakan kata sapaan standard/umum seperti juga dalam penggunaan kata tuan. Walau bagaimanpun sekiranya kita tahu bahawa orang yang disapa itu belum berkahwin dan beliau ltidak selesa disapa sebagai 'puan' bolehlah disapa orang tersebut dengan sapaan 'cik'. | Lain-lain | 08.05.2007 |
jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti, batu karang ialah kata nama am atau kata nama khas? Sekiranya kata nama khas mengapa tidak ditulis dalam huruf besar? | Penyakit-penyakit yang disebutkan merupakan kata nama am dan ditulis dengan huruf kecil melainkan pada awal ayat. | Tatabahasa | 12.04.2023 |
Adakah betul padanan bagi display dalam ayat di bawah ini "pempameranan" kerana semakan kami tidak menjumpai padanan sedemikian. Bagi perkataan "menyebut harga atau disebut harga" adakah ia sepatutnya dinyatakan sebagai "menyebutkan harga atau disebutkan harga"? Adakah imbuhan "-kan" perlu ditambahkan? Display of prices or charges to include government taxes, etc. 15. (1) Where in the course of a trade or business prescribed by the Minister, any person displays, advertises, publishes or quotes or causes to be displayed, advertised, published or quoted, in any manner, the prices of any goods or charges for any services, such person shall include in such prices or charges— Pempameranan harga atau caj termasuk cukai kerajaan, dsb. 15. (1) Jika dalam penjalanan perdagangan atau perniagaan yang ditetapkan oleh Menteri, mana-mana orang mempamerkan, mengiklankan, menyiarkan atau menyebut atau menyebabkan untuk dipamerkan, diiklankan, disiarkan atau disebut harga apa-apa barangan atau caj bagi apa-apa perkhidmatan, mengikut apa-apa cara, orang itu hendaklah memasukkan dalam harga atau caj itu— | Cadangan padanan terjemahan ialah Jika dalam keadaan apabila sesuatu perdagangan atau perniagaan yang telah ditetapkan oleh Menteri, mana-mana orang yang mempamerkan, mengiklankan atau menyebut atau menyebabkan dipamer, diiklan, disiar atau disebut dengan apa-apa cara, maka harga bagi apa-apa barangan atau caj bagi mana-mana perkhidmatan, hendaklah dimasukkan dalam harga atau caj tersebut. Untuk makluman puan, DBP tidak menjalankan kerja penterjemahan atau menawarkan khidmat penyemakan terjemahan. Puan boleh mendapatkan khidmat Persatuan Penterjemahan Malaysia (PPM) melalui telefon 03-92262506/0195448704 atau e-mel: terjemah1@gmail.com atau Institut Terjemahan dan Buku Malaysia untuk membantu pihak puan.
| Penyemakan dan penterjemahan | 30.07.2021 |