| Adakah perenggan di bawah betul? Antara kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum ialah pelajar dapat menyihatkan badan mereka. Apabila pelajar melakukan aktiviti sukan, badan mereka akan mengeluarkan peluh dan toksik dalam badan mereka dapat disingkirkan. Contohnya, pelajar-pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum akan sentiasa aktif dan tidak mudah dijangkiti penyakit kerana toksik-toksik dalam badan mereka telah disingkirkan. | Ayat tersebut diperbetulkan menjadi - Antara kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum termasuklah dapat menyihatkan badan mereka yang menyertainya. Apabila pelajar melakukan aktiviti sukan, badan mereka akan mengeluarkan peluh dan toksik dalam badan mereka dapat disingkirkan. Contohnya, pelajar-pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum akan sentiasa aktif dan tidak mudah dijangkiti penyakit kerana toksik-toksik dalam badan mereka telah disingkirkan. Saudara juga boleh menyemak perkataan/istilah/frasa yang digunakan melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 02.01.2011 |
| AsSalam.. mohon pencerahan mengenai cara penulisan betul bagi kata kependekan "aku" kepada "ku". Sebagai contoh dalam lirik lagu Warisan berikut: Andai (kuterbuang) atau (andaiku terbuang) tak diterima Andai aku disingkirkan Ke mana harus (kubawakan) atau (harusku bawakan) Ke mana harus (kusemaikan) atau (harusku semaikan) cinta ini Ada hukum hakam tak mengenai cara penulisan ini. mengahrapkan bantuan. Terima kasih | Kata ganti nama diri kau ialah kependekan engkau, digunakan sebagai awalan yang terikat dengan kata kerja pasif maka itu ditulis bercantum contohnya: kaubacalah buku ini. Kata ganti nama diri ku ialah kependekan aku dan digunakan juga sebagai awalan yang terikat dengan kata kerja pasif atau kata yang mendahuluinya, contohnya kulihat, kudengar, rumahku, menemaniku dan lain-lain. Bagi kata ganti nama diri mu pula (kependekan kamu), digunakan sebagai akhiran yang terikat dengan kata yang mendahuluinya, contohnya kepadamu, bukumu, menyayangimu dan lain-lain. | Ejaan | 18.09.2013 |
| Salam sejahtera tuan. Saya ada beberapa pertanyaan. 1) Ibu memarahi adik kerana memutuskan rantai mutiaranya ke rantai. Adakah memutuskan betul? 2) Sistem pengurusan di pejabat itu tidak cekap sejak akhir-akhir ini. Adakah ayat ini betul? 3) Permohonan untuk pertandingan syarahan itu kini dibukakan kepada semua pelajar. Adakah dibukakah betul? 4) "Penceramah jemputan kita belum sampai lagikah?" Adakah kah patut disingkirkan? Terima kasih | Ayat “Ibu memarahi adik kerana memutuskan rantai mutiaranya ke lantai.” dan “Sistem pengurusan di pejabat itu tidak cekap sejak akhir-akhir ini.” adalah betul. Ayat (3) perkataan yang betul ialah dibuka. “Permohonan untuk pertandingan syarahan itu kini dibuka kepada semua pelajar.” Manakala contoh ayat (4) "Penceramah jemputan kita belum sampai lagikah?", adalah gaya bahasa Melayu lisan di mana partikel tanya -kah biasanya diletakkan pada hujung ayat. Dalam bahasa tulisan partikel tanya -kah dalam ayat tersebut boleh digugurkan, contohnya "Penceramah jemputan kita belum sampai lagi?" Ayat ini tergolong dalam ayat tanya tanpa kata tanya. | Tatabahasa | 28.12.2021 |