Minta tolong semak susunan perkataan di bawah adakah betul:- 1. Disyorkan agar mengecat satu lapisan dasar, diikuti minima dua lapisan cat Dulux. (atau "diikuti dua lapisan minima cat Dulux) 2. Jika terkena mata, bilas segera dengan banyak air (atau "air yang banyak" dan dapatkan nasihat perubatan. Harap pihak tuan / puan boleh memberi nasihat / cadangan secepat mungkin. Sekian, James | 1. Disyorkan pengguna mengecat satu lapisan dasar, diikuti dua lapisan minimum cat Dulux 2. Jika terkena mata, bilas segera dengan air yang banyak dan dapatkan nasihat perubatan. | Tatabahasa | 05.04.2019 |
Saya mendapati banyak percanggahan dlm beberapa istilah, bergantung kpd sumber rujukan. Yang manakah disyorkan oleh DBP untuk piawaian? 1) interest (kewangan) = faedah atau bunga? 2) guarantee = jaminan atau gerenti? 3) guarantor = penjamin atau penggerenti? Saya membuat perbandingan antara buku DBP "Istilah Undang-undang (2006)", "Daftar Istilah Industri Perkhidmatan Kewangan (2001)" dan PRPM on-line. Yang manakah sepatutnya diutamakan? Terima kasih. | Encik Mohd Halimi, Antara perkataan bunga dengan faedah, biasanya kita gunakan faedah bagi tujuan rasmi manakala untuk percakapan biasa kita gunakan bunga. guarantee kita gunakan jaminan, manakala guarantor pula ialah penjamin. Jika kita mencari istilah dalam bidang kewangan saya rasa baik kita rujuk Daftar istilah | Istilah | 07.12.2010 |
Pohon pandangan mengenai program komuniti yang ingin dilaksanakan oleh PERDA kepada penerima bantuan persekolahan/ rakyat termiskin. Nama program yang disyorkan ialah PROGRAM KOMUNITI SEJAHTERA RAKYAT. Ceramah keibubapaan akan juga diadakan pada program tersebut. | Saudara, Nama program yang betul dari segi penggunaan bahasanya adalah seperti yang berikut: PROGRAM KOMUNITI RAKYAT SEJAHTERA | Tatabahasa | 01.12.2009 |
salam, dalam kamus dewan perkataa "dakyah = diayah", namun antara 2 perkatan tersebut yang manakah lebih tepat digunakan dalam teks? | Perkataan "diayah" lebih tepat dan disyorkan digunakan dalam teks. | Ejaan | 23.03.2012 |
Assalamualaikum, Saya ingin bertanya pandangan DBP berkaitan dengan akronim dan singkatan dalam bahasa Melayu. Dalam sesebuah pertubuhan, lazimnya pertubuhan tidak mendaftar namanya dengan akronim tetapi dengan nama penuh atau nama yang disyorkan oleh pertubuhan tersebut. Contoh, ada parti politik yang mendaftarkan namanya sebagai Parti Amanah Negara (AMANAH). Soalannya, dari segi bahasa adakah salah pengguna bahasa mewujudkan akronim bagi parti berkenaan dengan nama PAN walaupun akronim tersebut tidak didaftarkan secara rasmi? | Salam sejahtera, Tuan, Akronim wujud dalam banyak bahasa termasuklah bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Untuk makluman saudara, tidak ada badan yang berwenang dalam negara ini boleh memberikan pengiktirafan dalam penjenamaan sesebuah jabatan/agensi kerajaan. Namun dalam disiplin ilmu bahasa buku Tatabahasa Dewan menetapkan kaedah pembentukan akronim yang betul dalam bahasa Melayu. Jika saudara hendak mengambil contoh pembentukan akronim yang betul ambillah contoh ADUN, Perhilitan dan Bernama. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 12.11.2017 |
Mohon semakan ke atas cadangan pemaju untuk menggunakan nama skim pembangunan perumahan dan perniagaan dengan nama: PRIMA KUALA KANGSAR dan juga nama PUNCAK KUALA KANGSAR, mohon ulasan dan pandangan tuan terhadap 2 cadangan di atas, sekian terima kasih | Untuk makluman, perkataan "PRIMA" bermaksud yang penting, yang terutama atau yang utama. Berdasarkan maksudnya, perkataan ini hanya sesuai diletakkan di bahagian belakang sesuatu nama. Contohnya: Ampang Prima dan Puchong Prima. Oleh itu, nama yang disyorkan ialah KUALA KANGSAR PRIMA. PUNCAK KUALA KANGSAR adalah betul dan boleh digunakan. Nama ini sesuai digunakan sekiranya skim pembangunan ini terletak di tempat yang tinggi. | Tatabahasa | 21.03.2013 |
saya ingin membuat pertanyaan adakah boleh perkataan NAUTICA digunakan untuk menamakan bangunan (kondominium atau lain-lain) | Pada kebiasaannya penamaan sesuatu bangunan atau kondominium bergantung pada lokasi, persekitaran tempat terletaknya bangunan atau kondominium tersebut atau konsep yang hendak diketengahkan. Perkataan nautika bermaksud berkaitan dengan pelaut, perkapalan atau pelayaran. Oleh yang demikian sekiranya ini memenuhi kriteris tersebut maka penamaan sedemikian bolehlah diberikan. Walau bagaimanapun disyorkan saudara merujuk buku garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendapatkan nama yang sesuai. | Lain-lain | 25.07.2008 |
Saya dalam urusan memohon kelulusan papantanda iklan syarikat (Qaseh Nursing Care Sdn Bhd.) di Melaka menerusi Majlis erbandaran Hang Tuah Jaya. Syarikat ini menjalankan kegiatan memberi khidmat kejururawatan dan ahli fisioterapi bergerak ke rumah-rumah (mobile nursing). Tajuk papantanda saya "JURURAWAT DAN FISIOTERAPI BERGERAK" telah ditolak oleh DBP. Minta diubah kepada "PERKHIDMATAN JAGAAN DI RUMAH".1) Mengapa DBP menolak perkataan JURURAWAT BERGERAK kerana dia adalah terjemahan daripada MOBILE NURSING.2) PERKATAAN JURURAWAT adalah perkataan Bahasa Malaysia yang ada dalam kamus DBP 3) "Nature of Busines" kami sememangnya bertepatan kerana pekerja kami adalah jururawat bertauliah yang memberi kidmat kejururawatn bukan sekadar jagaan. 4) Perkataan JAGAAN yang disyorkan boleh memberi tafsiran yang tersasar dari maksud sebenar merawat kerana JAGAAN DI RUMAH juga memberi konotasi jagaan keselamatan (Jaga/guard) 5) Konsep Home Nursing atau Mobile Nursing memang agak baru di negara kita dan terjemahan tidak diragukan kepada istilah tersebut dalam bahasa kita ialah "Jururawat di rumah" atau "Jururawat Bergerak" mengapa saya dilarang menggunakan perkataaan JURURAWAT dalam papantanda perniagaan dimaksudkan. Sekian dan salam hormat. | Untuk makluman, istilah "Home Nursing" telah dibincangkan dalam Sidang Pakar Ke-20 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) pada tahun 2006. Negara Brunei Darussalam dan Malaysia telah bersetuju untuk menggunakan istilah "Jagaan di Rumah" untuk istilah "Home Nursing". | Istilah | 20.07.2011 |
1) Setiap hari perkataan pinjaman dari pelbagai bahasa (terutamanya B.Inggeris) masuk ke dalam kosa kata B.Melayu melalui media. Adakah DBP mempunyai perancangan untuk mengutip dan merekod perkataan-perkataan tersebut untuk kegunaan ramai contohnya spt Kamus Oxford (http://www.oed.com/news/updates/newwords0806.html) yang mempunyai kemaskini perkataan baru setiap bulan. 2) Sekiranya tiada perancangan spt (1), kenapa dan apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh DBP untuk mengadakan laman web perkataan TERKINI dlm B.Melayu seperti yang dilakukan oleh Oxford Dictionary? 3) Bahasa merupakan sesuatu yang hidup dan bergerak dengan sendirinya, terutamanya bidang kosa kata. Apakah polisi DBP berkenaan perkataan2 pinjaman yang baru yang wujud secara spontan terutamanya di media massa? | Kerja-kerja perekodan perkataan sama ada perkataan pinjaman ataupun perkataan bahasa Melayu jati dilaksanakan melalui pengumpulan data melalui data korpus oleh Bahagian Perkamusan. Perkataan-perkataan yang terkumpul dalam data korpus tersebut akan dikaji dan dinilai kesesuaiannya sebelum dirakamkan di dalam kamus. Hal ini sama juga dengan perkataan pinjaman yang baharu yang wujud secara spontan di media massa. Lazimnya perkataan pinjaman yang terdapat padanan kata dalam bahasa Melayu bagi perkataan tersebut dan sudah mantap penggunaannya maka kata dalam bahasa Melayu disyorkan digunakan. | Lain-lain | 14.07.2008 |