| Ayat-ayat berikut yang manakah betul? Tolong membuat penerangan. Kata bilangan jamak & kata adjektif 1 Banyak ikan yang besar belaka ditemui di situ. 2 Ikan-ikan yang besar belaka ditemui di situ. 3 Ikan yang besar-besar belaka ditemui di situ. 1 Semua jurulatih di situ garang belaka. 2 Jurulatih-jurulatih di situ garang belaka. 3 Jurulatih di situ garang-garang belaka. 1 Saya dan keluarga di sini sihat belaka. 2 Saya dan keluarga di sini sihat-sihat belaka. | Berdasarkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa tersebut. Kata adjektif pula ialah perkataan yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama atau frasa nama. Kata adjektif dikenali juga sebagai kata sifat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau sila layari laman web PRPM.
| Tatabahasa | 21.01.2022 |
| kata ganda 1.Kuih-muih itu semuanya sedap-sedap belaka.Betul atau salah. ditemui atau ditemukan 2.Kanak-kanak itu ditemui lemas di dalam tasik. | Saudara, 1. Ayat yang betul ialah 'Kuih-muih itu sedap belaka'. Perkataan 'belaka' bermaksud semuanya atau seluruhnya sekali. Oleh itu tidak perlu mengulang perkataan sedap. 2. Ayat yang betul ialah 'Kanak-kanak itu ditemui lemas di dalam tasik'. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 28.08.2009 |
| 1) Tapak yang mempunyai nilai arkaeologi banyak ditemui di Kedah, Pahang dan Sarawak. 2) Tapak yang mempunyai nilai arkaeologi banyak ditemui di Kedah, di Pahang dan di Sarawak. Ayat manakah yang lebih gramatis? Perlukah kata sendi nama 'di' diulangi sebelum setiap unsur tempat yang berturutan? | Berdasarkan Tatabahasa Dewan, kata sendi nama "di" tidak perlu diulang seperti ayat yang pertama. | Tatabahasa | 12.06.2020 |
| Assalamualaikum, antara ejaan kesingularan dan kesinggularan, manakah yang betul? Kedua-duanya dapat ditemui dalam laman sesawang prpm tetapi kesingularan lebih banyak ditemui. Bukankah sebutaan perkataan tersebut dalam bahasa Melayu lebih menyerupai ejaan kesinggularan daripada kesingularan. Mohon pencerahan. | Ejaan yang betul ialah “kesingularan”. Kesilapan ejaan “kesinggularan” akan dimaklumkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan pembetulan. | Ejaan | 24.11.2021 |
| Apakah maksud bakorang? | Istilah ini tidak ditemui dalam mana-mana buku rujukan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sila maklumkan kepada kami, sumber/buku mana perkataan ini ditemui bagi membolehkan pihak kami membantu saudara dalam perkara ini. | Makna | 02.12.2010 |
| Saya ingin bertanya tentang perbezaan maksud dan penggunaan imbuhan bagi kata "ditemukan" dan "ditemui" berdasarkan kekerapan pihak akhbar mula menggunakan kata ditemukan sejak akhir-akhir ini. | Ditemukan ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran". Manakala ditemui ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui".
| Makna | 06.04.2015 |
| Apakah padanan yang tepat bagi "elusive predator"? Pemangsa yang sukar dijumpai? Pemangsa yang sukar ditemui? Terima kasih | Dalam data kami, tiada padanan khusus bagi elusive predator dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, kami mencadangkan terjemahan bagi perkataan tersebut ialah Pemangsa yang sukar ditangkap atau Pemangsa yang sukar ditemui. | Penyemakan dan penterjemahan | 24.10.2017 |
| Semenjak kebelakangan ini saya lihat media mula menggunakan perkataan 'ditemukan' dalam ayat mereka. Contoh : satu mayat ditemukan di.. , jika tidak sebelum ini mereka menggunakan perkataan 'ditemui'. Mohon penjelasan. | Untuk makluman, "ditemukan" ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran". Manakala "ditemui" ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui". Sehubungan dengan itu, pemilihan perkataan "ditemukan" memang tepat berdasarkan contoh ayat yang diberikan. | Tatabahasa | 05.09.2015 |
| Assalamualaikum, Saya dari Unit Perhubungan Awam Maritim Malaysia ingin menanyakan berkenaan istilah pangkat dalam Maritim Malaysia iaitu - Kepten (Maritim), saya cuba membuat carian dalam http://prpm.dbp.gov.my/ tidak ditemui tetapi hanya istilah kapten(Tentera darat) yang ditemui. Untuk makluman pihak tuan, untuk pangkat Kepten dalam Maritim Malaysia adalah sama dengan pangkat dalam tentera Laut (Kepten TLDM) dan Pangkat Kolonel dalam Tentera Darat. Saya juga telah beberapa kali berhubung dengan editor surat khabar untuk memaklumkan berkenaan istilah tersebut, mereka memberitahu bahawa istilah Kapten sahaja yang ada dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Macam mana saya hendak memaklumkan secara rasmi kepada DBP tentang istilah pangkat dalam Maritim Malaysia. Pihak tuan boleh merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 tahun 2004 (Skim Perkhidmatan Pegawai Penguatkuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Penguatkuasa Maritim). http://docs.jpa.gov.my/docs/pp/2004/pp062004.pdf. Sekian, terima kasih. | Terima kasih atas makluman tuan. Kami mencadangkan maklumat tersebut disalurkan secara rasmi (secara bertulis) kepada pihak yang berkepentingan, iaitu Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera yang bertanggungjawab dalam penyediaan manuskrip kamus dan istilah (untuk penambahbaikan pada masa akan datang). Maklumat berkenaan boleh dihantar kepada Encik Rusli bin Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 02.12.2015 |
| yang manakah yang betul Batu tersebut telah ditemukan di Kuala Kangsar. atau Batu tersebut telah ditemui di Kuala kangsar | Ayat yang betul ialah 'Batu tersebut telah ditemukan di Kuala Kangsar' kerana kata terbitan ditemukan lebih tepat untuk terjemahan found something dalam bahasa Melayu, manakala kata ditemui ialah terjemahan meet somebody dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 07.03.2011 |