| Bagaimanakah cara untuk menukar ayat pasif ke ayat songsang? | Ayat songsang ialah ayat yang mempunyai susunan predikat yang mendahului subjek. Contoh ayat pasif ialah "Bola ditendang oleh Ali." Oleh itu, susunan songsang bagi ayat tersebut ialah "Ditendang oleh Ali bola." | Lain-lain | 11.02.2022 |
| Penggunaan kata sendi 'oleh' boleh kah diikuti dengan kata ganti nama diri yang pertama? Contohnya: Bola itu ditendang oleh saya. | Menurut data kami, kata sendi nama "oleh' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama (mengandungi kata ganti nama diri ketiga) yang menunjukkan hubungan pembuat dalam ayat pasif yang menggunakan bentuk-bentuk seperti contoh yang berikut: Kuih itu dibeli olehnya, Buku Pelita Bahasa Melayu terkarang oleh Za'ba dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, ayat yang betul ialah bola itu saya tendang. | Tatabahasa | 05.09.2018 |
| Salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang penggunaan "oleh" mesti wujud dalam ayat pasif atau tidak? Contohnya: 1.Bola itu ditendang olehnya/Bola itu ditendangnya. 2.Kakak meletakkan barang yang dibeli olehnya di atas meja./Kakak meletakkan barang yang dibelinya di atas meja. terima kasih. | Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. Sebagai contoh (a) Barang itu sudah diambil oleh Ali semalam (b) Sampah dibakar ayah pada pagi tadi (c) Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali (d) Sampah sarap dibakar pagi tadi oleh ayah. Ayat (a) dan (b) mantap walaupun telah digugurkan perkataan oleh manakala ayat (c) dan (d) tidak boleh digugurkan oleh kerana binaan oleh + FN terletak jauh daripada kata kerja. | Tatabahasa | 04.11.2015 |
| Adakah "apakah" dalam ayat-ayat yang berikut digunakan dengan tepat? Atau "adakah" lebih sesuai digunakan dalam ayat-ayat tersebut? Bagaimanakah membezakan penggunaan "adakah" dan "apakah"? 1) Apakah awak tak dapati, topeng ini pecah ketika ditendang tadi? 2) Apakah awak bermurah hati terhadap penyelamat lain juga? 3) Apakah saya nampak hantu tadi? 4) Apakah awak nak balik ke rumah? 5) Apakah sebab ini cukup munasabah? 6) Apakah pengurus besar akan susah hati jika nampaknya? 7) Apakah awak dah lupa apa itu kesopanan? 8) Apakah kita tersilap bidang? 9) Apakah kita perlu hasilkan karya besar? 10) Apakah saya tercicirnya di rumah? Terima kasih. | Salam sejahtera, Perkataan adakah biasanya digunakan untuk mengeraskan pertanyaan, ada atau tiada. Contohnya, soalnya, adakah terdapat novel karangannya? Perkataan apakah pula digunakan untuk mengetahui sesuatu dengan lebih lanjut dan jelas. Contohnya, Apakah pengajaran yang anda dapat daripada peristiwa yang tergambar dalam syair itu? Merujuk kepada persoalan tuan, perkataan adakah lebih sesuai untuk soalan nombor 1 hingga 10 berdasarkan kefahaman untuk mengeraskan pertanyaan, ada atau tiada. Kesimpulannya, penggunaan perkataan adakah dan apakah dalam ayat-ayat bergantung kepada konteks ayat dan maksud soalan. Terima kasih. | Lain-lain | 19.01.2018 |
| 1. CIRI-CIRI PERBEZAAN AYAT AKTIF DAN AYAT PASIF. 2. CIRI-CIRI PERBEZAAN AYAT BIASA DAN AYAT SONGSANG. | 1. Ayat aktif mengandungi kata kerja yang menutamakan subjek asal sebagai penerang, contohnya: Ali menendang bola. Ayat pasif mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul, contohnya: Bola ditendang oleh Ali. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 483. 2. Ayat dalam susunan biasa, subjeknya mendahuli predikat, seperti: Orang tua itu sangat rajin. Dalam susunan songsang, predikat yang biasanya hadir selepas subjek dipindahkan ke hadapan subjek, seperti: Sangat rajin orang tua itu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 477. | Tatabahasa | 06.07.2011 |
| Ibu memasak kari ikan di dapur. Kalau tukar ayat ini kepada ayat pasif ialah jawapan 1 atau 2 ? Boleh berikan penerangan . 1. Kari ikan dimasak oleh ibu di dapur. 2. Kari ikan di dapur dimasak oleh ibu. Terima kasih. | Gina, Sila lihat dan teliti penerangan ini - Ayat pasif ialah ayat yang terbentuk daripada ayat aktif transitif, mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Contoh ayat - Bola ditendang oleh Ali. Kucing itu dikejar oleh anjing. | Tatabahasa | 06.07.2010 |
| Ayat 2 Lori yang Ali pandu telah terbabas semasa pulang dari ladang kelapa sawit kerana dia mengantuk akibat keletihan. A. Lori yang dipandu Ali B. Lori yang telah dipandu oleh Ali C. Lori yang telah Ali pandu D. Lori yang Ali pandu Kebiasaan saya terangkan kepada pelajar : Ayat pasif diri pertama dan kedua tidak boleh menggunakan perkataan di dan oleh manakalan pasif diri ketiga menggunakan perkataan di dan oleh. Cth : Saya tendang bola itu. Bola itu saya tendang Ali tendang bola itu. Bola itu ditendang oleh Ali. Adakah penggunaan perkataan telah dalam ayat di atas menyebabkan tidak boleh menggunakan perkataan di dan oleh | 1. Lori itu dipandu oleh Ali. 2. Lori itu telah terbabas. Ayat yang betul ialah "Lori yang dipandu oleh Ali telah terbabas.... Ayat tersebut telah mengalami peluasan dengan kata hubung pancangan relatif "yang". | Tatabahasa | 17.07.2013 |
| sila berikan ayat aktif, pasif, pasif songsang. ayat transitif dan ayat tak transitif | Menurut Tatabahasa Dewan, Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif san ayat aktif tak transitif. Contoh ayat: Ali menendang bola (aktif transitif) Murid-murid sekolah itu sedang belajar (aktif tak transitif0 Ayat Pasif pula terbentuk asalnya daripada ayat aktif transitif, dan mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. contoh: Bola ditendang oleh Ali. Ayat Transitif - ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif, iaitu yang diikuti oleh frasa nama atau pun klausa komplemen sebagai objek atau unsur penyambutnya. ayat tak transitif-Ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya. | Makna | 23.08.2006 |
| Bagaimanakah cara untuk membezakan dan menggunakan dengan lebih tepat perkataan "dari" dan "daripada"? | Kata sendi nama “dari” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu. Contoh: a) Menunjukkan tempat atau arah - Angin bertiup kencang dari arah selatan.
- Bola itu ditendang dari penjuru padang.
b) Menunjukkan waktu atau masa - Tempoh pembayaran bermula dari tarikh penyerahan barangan itu.
- Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi.
Kata sendi nama “daripada” digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber, atau unsur perbandingan atau perbezaan. Contoh: a) Menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad - Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya.
- Daripada siapakah gerangan surat ini?
- Dalam Sejarah Melayu, Bat dikatakan keluar daripada muntah lembu.
- Sumbangan daripada kerajaan sudah diterima.
b) Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda - Ukiran itu diperbuat daripada logam.
- Ahli PIBG terdiri daripada ibu bapa dan guru.
c) Menunjukkan perbezaan atau perbandingan - Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama.
- Perangai Ahmad berbeza daripada perangai abangnya.
- Kami tiba lebih lewat daripada mereka.
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 268 hingga 272. | Tatabahasa | 05.11.2023 |
| bagaimanakah cara untuk menghasilkan sebuah pantun yang berkualiti dan bagaimanakah cara termudah untuk kita mengenal pasti ayat pasif dengan ayat aktif? | Sebuah pantun yang baik haruslah menepati ciri-ciri pantun yang baik termasuklah rimanya (abab), jumlah suku kata (antara 8 - 12 suku kata untuk setiap baris), ciri-ciri yang perlu ada pada pembayang (alam, flora dan fauna), dan maksudnya iaitu maksud yang hendak diampaikan. Untuk lebih mendalami sila ruijuk buku yan berkaitan seperti Alam Pantun Melayu (Daillie), Kajian Pantun Melayu (Omardin Haji Asha'ri) dan Kumpulan Pantun Melayu (DBP). Dalam susunan Ayat Aktif pelaku dipentingkan (Ali), contohnya; "Ali menendang bola", manakala dalam Ayat Pasif objek dipentingkan (bola) "Bola ditendang oleh Ali". | Tatabahasa | 25.06.2009 |