Assalamualaikum 1. Guru yang mempunyai pengalaman lebih lama lebih tinggi tahap efikasi berbanding guru yang lebih junior. Adakah frasa "yang mempunyai pengalaman lebih lama" lebih sesuai dengan digantikan dengan kata senior? Kenapa? 2. Guru yang memiliki efikasi kendiri dan efikasi mengajar menyumbang kepada perubahan tingkah laku positif murid. Adakah kata efikasi pada frasa efikasi mengajar perlu digugurkan? 3. Hiperaktif merupakan kategori masalah penyesuaian tingkah laku yang paling kerap dilakukan oleh kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga enam tahun. Apakah tepat penggunaan kata dilakukan dalam konteks ayat di atas? Adakah kata ditimbulkan atau dicetuskan lebih tepat? Terima kasih | Wa alaikum salam. Jawapan bagi soalan 1: Daripada sudut tatabahasa, kedua-dua frasa iaitu "Guru yang mempunyai pengalaman lebih lama" dan "senior" boleh digunakan dan betul penggunaannya. Walau bagaimanapun, daripada sudut kesopanan dan aspek semantik, frasa "yang mempunyai pengalaman lebih lama" lebih sesuai digunakan. Jawapan bagi soalan 2: Kekalkan frasa "efikasi mengajar" dalam ayat tersebut. Jawapan bagi soalan 3: Penggunaan kata "ditimbulkan" lebih tepat dalam konteks ayat tersebut.
| Makna | 31.05.2017 |
Apakah ciri-ciri dan kepentingan mengaplikasikan wacana dalam penulisan karangan? | Wacana ialah sekumpulan ayat yg memperlihatkan satu kesatuan buah fikiran, fakta atau cerita. Ciri wacana ialah kohesi dan koheran. Bagi mewujudkan kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana, penanda wacana digunakan. Penanda wacana wujud sebagai isyarat bagi berlakunya (sudah berlaku, sedang berlaku atau akan berlakunya) sesuatu peristiwa. Ungkapan-ungkapan yang digunakan selain mempunyai makna tersendiri juga berfungsi sebagai pemberi isyarat bagi makna keseluruhan karangan. Penanda wacana dibahagikan menurut jenis makna dan kata yang ditimbulkan seperti penanda rujukan, penanda penyertaan, penanda makluman dsb. Amat penting untuk penulis menggunakan penanda wacana yang betul dan tepat mengikut konteks dan makna yang hendak disampaikan. Untuk maklumat lanjut tentang penanda wacana sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 525. | Tatabahasa | 12.03.2014 |
Selamat sejahtera tuan/puan, Ini berkenaan ejaan bahasa yang saya rasa kurang baik maksudnya. Ejaan tersebut mungkin boleh diubah agar leih tepat lagi. Saya mohon pihak tuan/puan meneliti perkataan tersebut & buat perubahan yang positif. Perkataan tersebut Ialah melayu. Jika di lihat daripada perkataan me maksudnya sedang, layu saya rasa tuan/puan tahu maksudnya. Jika dilihat disini maksud disebalik perkataan melayu ialah sedang layu ejaan yang kurang baik untuk mencerminkan bangsa. Cadangan saya perkataan itu ditukar ejaannya ke mlayu yang saya rasa mencerminkan bangsa dan tiada maksud yang lain selain daripada nama sesuatu bangsa. Sekian harap maaf jika ini menyebabkan rasa kurang senang tuan/puan. Niat saya adalah untuk keutuhan bahasa yang dijunjung. | Tuan Net, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP, Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Pada pandangan saya tuan sepatutnya tidak menyempitkan makna perkataan melayu itu, memang betul makna layu ialah tidak bermaya namun saya rasa banyak perkataan lain yang melambangkan bangsa lain didunia ini membawa makna yang negatif dalam bahasa Melayu, namun kita tidak pernah mempertikaikannya. Saya sebagai seorang Melayu, cukup berbangga dengan nama ini. Jadi janganlah soal remeh seperti ini ditimbulkan. Terima kasih. | Makna | 04.06.2009 |