| Adakah istilah "cenderahati" ditulis rapat atau ditulis jarak? | Ejaan “cenderahati” ditulis rapat. | Tatabahasa | 15.06.2025 |
| Saya ingin bertanya mengenai penulisan matawang. Adakah salah jika ditulis MYR100 ? Dan perlu ditulis RM100. Contoh, matawang Jordan iaitu Jordan Dinar. Kod antarabangsa bagi Jordan Dinar ialah JOD. Tapi penggunaan yang tidak official boleh juga digunakan dengan simbol JD. Adakah salah jika ditulis JOD100 dalam surat-surat rasmi atau kertas kerja? Terima kasih. | Ejaan yang paling tepat ialah RM100 dan JOD100, iaitu menggunakan bentuk penulisan rasmi. | Ejaan | 05.05.2017 |
| Salam sejahtera. Bahasa Malaysia dan Bahasa Melayu perlu ditulis huruf besar atau kecil? Adakah bahasa untuk Bahasa Malaysia ditulis huruf besar manakala bahasa untuk bahasa Melayu ditulis huruf kecil? Terima kasih. | Penggunaan yang betul ialah bahasa Melayu/bahasa Malaysia. Perkataan bahasa ditulis dengan huruf kecil. | Tatabahasa | 11.07.2013 |
| Saya mohon kepastian bagi gelaran doktor falsafah. Adakah ditulis sebagai "DR." atau "Dr."? Hal ini kerana terdapat di bahagian saya penulisan tersebut ditulis sebagai "Dr." walaupun nama penuh ditulis dengan huruf besar. Contoh: Dr. SULAIMAN ARIS. Adakah betul penulisan sedemikian? | Tidak ada perbezaan untuk ejaan singkatan bagi doktor falsafah atau doktor perubatan, kedua-duanya dieja sebagai Dr. (dengan tanda titik). Sekiranya nama penuh ditulis dalam huruf besar, singkatan untuk "DOKTOR" juga ditulis dalam huruf besar (DR. ). | Ejaan | 20.01.2014 |
| Salam sejahtera. Ayat: Monorel, kapal terbang dan kereta api ialah ciptaan Sains. Perkataan "Sains" ditulis huruf besar atau huruf kecil? Dalam situasi ayat yang bagaimana ditulis kecil dan besar? Terima kasih. | Ejaan sains ditulis dengan huruf kecil tetapi ditulis menggunakan huruf besar apabila menunjukkan nama mata pelajaran di sekolah. Nama mata pelajaran dianggap sebagai kata nama khas dan dieja dengan huruf besar seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Sains. | Ejaan | 25.10.2013 |
| Selamat sejahtera. Saya ingin mendapatkan penjelasan mengapa baju Melayu ditulis dengan menggunakan huruf besar sedangkan selipar jepun dan mi jawa ditulis dengan huruf kecil? Sekian, terima kasih. | Baju Melayu ditulis dengan huruf besar kerana baju tersebut dikategorikan sebagai kata nama khas bagi pakaian tersebut. Manakala selipar jepun dikategorikan sebagai kata nama am dan ditulis dengan huruf kecil. | Ejaan | 14.11.2012 |
| Adakah perlu gelaran "Dr." ditulis sebelum nama penuh individu tersebut (seperti dlm bahagian pengakuan surat rasmi) bagi yg berkelulusan PhD? Soalan 2: Jika nama penuh ditulis dengan huruf besar kesemuanya, adakah "DR."nya juga ikut huruf besar kesemuanya? Terima kasih. | Jika individu tersebut berkelulusan PhD, gelaran Dr. perlu ditulis sebelum namanya. Jika nama ditulis sepenuhnya menggunakan huruf besar, ejaan DR. juga perlu ditulis menggunakan huruf besar. | Ejaan | 24.03.2017 |
| Bagaimanakah untuk menulis nama negara dalam penulisan Bahasa Melayu? Adakah dikekalkan dalam nama asal negara berkenaan atau ditulis terjemahan. Jika ditulis terjemahan, di mana boleh saya rujuk senarai terjemahan nama negara? Terima kasih. | Nama negara dalam penulisan bahasa Melayu hendaklah dieja dalam bahasa Melayu atau diterjemahkan jika perlu. Nama yang digunakan hendaklah berdasarkan senarai nama negara dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Senarai nama dalam bahasa Melayu hendaklah mengikut senarai yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Contoh: Negara Italy ditulis sebagai Itali. Untuk mendapatkan senarai nama yang lebih tepat untuk penggunaan nama negara dalam bahasa Melayu, sila rujuk Garis Panduan Penentuan Nama Geografi oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. | Ejaan | 29.01.2025 |
| Huruf pertama pada nama timang-timangan dalam sesuatu ayat sepatutnya ditulis dengan huruf besar atau kecil. Contohnya: Aku dan along berlalu dari situ. ditulis 'along' atau 'Along'. Selepas tanda seruan, tanda noktah atau elipsis, huruf pertama ayat seterusnya perlu ditulis dengan huruf besar atau kecil. Cthnya, “Orang dah dapat rumah!” Jerit Fina. Selepas seruan itu patut ditulis 'jerit' atau 'Jerit'? | 1. Aku dan along berlalu dari situ. 2. “Orang dah dapat rumah,” Jerit Fina! | Tatabahasa | 30.06.2014 |
| Untuk surat rasmi yang ditulis bagi tujuan edaran dalam negeri yang sama, adakah perkataan negeri itu tidak boleh ditulis. Contohnya: 30200 Ipoh. Dalam hal tersebut Perak tidak boleh ditulis? | Mengikut Penulisan Dokumen Rasmi yang betul, sebaiknya perlulah diberikan alamat yang lengkap dalam format penuh seperti yang berikut 30200 Ipoh, Perak. atau 30200 IPOH, PERAK. | Lain-lain | 24.02.2021 |