Assalamualaikum dan salam sejahtera. Antara dua ayat tersebut, manakah ayat yang betul? 1) Saya ada sesuatu mahu ditunjukkan pada awak. 2)Saya ada sesuatu mahu ditunjukkan kepada awak. Bolehkan saya gugurkan imbuhan 'di...-kan' dalam ayat tersebut? Terima kasih. | Waalaikumsalam, Jika digugurkan 'di-...-kan' , ayat akan menjadi "Saya ada sesuatu mahu tunjuk kepada awak Jika ditambah imbuhan 'di-...-kan' ayat akan menjadi "Saya ada sesuatu mahu ditunjukkan kepada awak" di-...-kan dalam ayat ini ialah ayat pasif, jika diaktifkan ayat ini akan menjadi "Saya mahu menunjukkan sesuatu kepada awak. Oleh itu, jika digugurkan di-..-kan ayat tersebut tidak gramatis. | Tatabahasa | 28.01.2019 |
Menilai kepada prestasi kerja dan tingkah laku yang baik ditunjukkan oleh saudari, pihak kilang telah memutuskan untuk mengesahkan saudari ke jawatan tetap sebagai Operator Am di Syarikat AAA bermula pada 1hb Januari 2009 | Berdasarkan penilaian prestasi kerja dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh saudari, pihak kilang telah memutuskan saudari diserapkan ke jawatan tetap sebagai Operator Am di Syarikat AAA bermula 1 Januari 2009. | Tatabahasa | 10.02.2009 |
Menilai kepada prestasi kerja dan tingkah laku yang baik ditunjukkan oleh saudari, pihak kilang telah memutuskan untuk mengesahkan saudari ke jawatan tetap sebagai Operator Am di syarikat AAA bermula pada 1hb Januari 2009. (Sila Komen ayat ini) | Cadangan daripada kami ialah, "Berdasarkan penilaian prestasi kerja dan tingkah laku yang ditunjukkan oleh saudari, pihak kilang telah memutuskan saudari diserapkan ke jawatan tetap sebagai Operator Am di Syarikat AAA bermula 1 Januari 2009." | Tatabahasa | 09.02.2009 |
Salam 1 Malaysia tuan. Perkataan yang ditunjukkan di bawah yang manakah betul? 1. romantis atau romantik ? 2. puntianak atau pontianak ? Terima kasih atas maklum balas tuan. | 1.Perkataan romantik dan romantis, kedua-duanya betul. 2. Ejaan yang tepat ialah Puntianak | Tatabahasa | 10.07.2013 |
Soalan ke-55,"Klinik Gigi" yang ditunjukkan pada 07/07/2007 Arkib Pantau Regur bahasa, diterangkan salah dan perkataan yang betul ialah "Klinik Pergigian". Namun, bahagian Arkib soalan (soalan 62) pengguna Web ini menjelaskan Klinik Gigi ialah perkataan yang betul. Ini telah menyebabkan kami keliru, kami amat menghargai penjelasan yang diterangkan oleh pihak DBP,tetapi kami amat harap pihak DBP menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan teliti supaya tidak menjadikan sebarang keliruan. Terima Kasih! | Pergigian bermaksud hal-hal berkaitan gigi. Dalam penamaan premis biasanya menggunakan frasa yang ringkas dan mudah. Contohnya, Klinik Gigi, Klinik Mata, Klinik Kulit. Manakala pergigian biasanya digunakan sebagai contoh Fakulti Pergigian. Oleh itu, kedua-duanya boleh digunakan. | Lain-lain | 20.06.2010 |
1.Anak-anak akan perbuatan baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka. A meneladani B mengikuti C. mencontohi D. Menghargai munsyi, apa jawaban yang sesuai digunakan? adakah A dan C sama sahaja? TK | Jawapan A, B, dan C sama dan boleh diterima. | Tatabahasa | 16.03.2013 |
1. Sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk itu membuatkan orang kampung ________ melihatnya. Apakah perkataan itu, jika "tempang" salah. 2. Beratus-ratus bungkus tepung dandum disorokkan di gudang oleh peniaga yang tamak. Adakah ayat in betul? 3. Pinggan itu ditunjukkan oleh pelayan restoran kepada tetamu yang ingin mengambil makanan. Adakah ayat in betul? Terima kasih! | 1. Sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk itu membuatkan orang kampung meluat/menyampah melihatnya. 2. Beratus-ratus bungkus tepung gandum disorokkan di gudang oleh peniaga yang tamak. - ayatini kurang tepat, sila baiki ejaan dan penggunaan kata sendi nama di ditukar kepada di dalam. 3. Pinggan itu ditunjukkan oleh pelayan restoran kepada tetamu yang ingin mengambil makanan. - ayat ini juga kurang tepat. Ditunjukkan bermaksud diperlihatkan, sila gantikan dengan perkataan lain yang lebih tepat dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 19.03.2012 |
Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera. Saya ingin bertanya adakah terjemahan Bahasa Melayu yang betul untuk "Terms and conditions apply" dan "Pictures shown are for illustration purposes only" ialah "Terma dan syarat adalah terpakai" dan "Gambar yang ditunjukkan adalah untuk tujuan ilustrasi semata"? Terima kasih. | Terjemahan yang lebih sesuai ialah "Tertakluk pada Terma dan Syarat" dan "Gambar yang ditunjukkan untuk tujuan ilustrasi sahaja". | Penyemakan dan penterjemahan | 22.07.2019 |
Salam sejahtera. Adakah kata pemeri 'adalah' sesuai diikuti dengan 'untuk' dan kata kerja seperti yang ditunjukkan dalam ayat berikut: "Tujuan temu bual dijalankan adalah untuk mengetahui persepsi guru terhadap tahap penguasaan Bahasa Malaysia bagi murid-murid kelas 5B." | Salam sejahtera, Kata pemeri adalah hadir di hadapan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, daripada, dengan dan sebagainya. Oleh itu, ayat tersebut betul penggunaan kata pemerinya. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 10.09.2017 |
Salam, Saya ingin mengetahui istilah sebenar yang digunakan bagi pemutar skru dan skru seperti yang ditunjukkan dalam gambar (seperti yang dilampirkan). Untuk makluman tuan, istilah yang selalu diguna pakai (secara tidak rasmi) adalah pemutar skru mata philips, pemutar skru mata rata, manakala bagi skru pula istilah yang selalu diguna pakai ialah skru kepala philips dan skru kepala belah atau kepala rata. Mohon bantuan dari pihak tuan kerana tiada rekod dalam www.prpn.dbp.gov.my. saya juga telah membuat rujukan dalam internet melalui web-web tertentu tetapi semua istilah yang diguna pakai adalah tidak sama. Segala kerjasama dari ppihak tuan, diucapkan jutaan terima kasih. | Istilah bahasa Melayu untuk gambar yang diberikan adalah seperti yang berikut: 1. Phillips screw driver - pemutar skru Phillips 2. screw driver - pemutar skru (tidak ada istilah pemutar skru mata rata) 3. Phillips screw head - skru Phillips 4. slot head screw - skru ulir | Istilah | 11.10.2012 |