Perlukah kata sendi nama di diulang dalam ayat yang berikut: Hujan berlaku di Kota Kinabalu, di Tawau, dan di Kudat. atau cukup digunakan satu di sahaja : Hujan berlaku di Kota Kinabalu, Tawau, dan Kudat. Mohon diberikan penjelasan. Terima kasih. | Dalam contoh yang diberikan kata sendi tidak perlu diulang, cukup sekadar ditulis sekali sahaja; Hujan berlaku di Kota Kinabalu, Tawau dan Kudat. | Tatabahasa | 04.02.2008 |
Kata nama khas pada ayat berikut:-contoh Kejohanan Bola Sepak KPM Bawah 15 Tahun telah berlangsung.... adakah setiap kali perkataan Bawah 15 Tahun diulang, perlu menggunakan huruf besar di awalan perkataan? | Ya. Sekiranya tidak mahu diulang, gantikan dengan Kejohanan tersebut/Kejohanan ini.... | Tatabahasa | 19.10.2010 |
Soalan 1. Yang manakah lebih gramatis: Langkah 1 hingga 3 diulang secara menggantikan larutan natrium hidroksida dengan asid hiidroklorik. ATAU Langkah 1 hingga 3 diulangi dengan menggantikan larutan natrium hidroksida dengan asid hiidroklorik. 2. Yang manakah lebih gramatis: Larutan dididihkan dan dibiarkan sejuk. ATAU Larutan dididihkan dan dibiarkan menyejuk. | 1. Langkah 1 hingga 3 diulang dengan menggantikan larutan natrium hidroksida dengan asid hiidroklorik. 2. Larutan dididihkan dan dibiarkan sejuk. | Tatabahasa | 15.10.2015 |
Tuan/Puan, Perlukah perkataan "tentang" diulang bagi ayat di bawah? BI *whether any member or office-bearer of the SRC or of an ad hoc committee of the SRC... BM *tentang sama ada mana-mana anggota atau pemegang jawatan JPP atau tentang sesuatu jawatan JPP atau tentang sesuatu jawatankuasa... Sekian, terima kasih. | Pengulangan perkataan dalam sesuatu ayat bergantung kepada keperluan sama ada perlu atau tidak perkataan tersebut diulang. Untuk persoalan tuan, terjemahan yang betul ialah: ... sama ada mana-mana anggota atau pemegang jawatan JPP atau jawatankuasa ad hoc JPP ... | Makna | 22.09.2021 |
Saya faham tarikh bagi bulan yang sama tidak perlu diulang. Jadi, bagaimana penulisan tarikh di dalam surat bagi bulan yang berbeza ? Pilihan seperti yang berikut: 1. 30 Jun 2025 hingga 4 Julai 2025 2. 30 Jun hingga 4 Julai 2025 | Pada kelazimannya, tarikh pada tahun yang sama tidak perlu diulang tahunnya. Contohnya, 30 Jun hingga 4 Julai 2025 atau 30 Jun - 4 Julai 2025 | Tatabahasa | 09.06.2025 |
Assalamu’alaikum dan Salam Sejahtera, Tidakkah pihak DBP ada merancang untuk mengulang cetak novel karya Ramlee Awang Murshid berjudul Igauan Maut? Pada pendapat saya, sekiranya novel ini diulang cetak, sudah pasti akan mendapat sambutan yang hangat memandangkan begitu ramai peminat karya-karya ciptaan Saudara Ramlee di luar sana. Sekiranya pihak DBP meninjau laman Facebook Kelab RAM (lebih 26,000 pengikut) atau ke laman web Kelab RAM, begitu ramai peminat setia yang tercari-cari novel ini bagi melengkapkan koleksi mereka. Ada yang sanggup meminjam sesama sendiri dan tawar-menawar bagi mendapatkannya. Pada hemat saya, sekiranya novel ini diulang cetak, bukan sahaja mampu memberi khabar gembira buat peminat-peminat Saudara Ramlee, malah pihak DBP juga boleh meraih keuntungan dengan edisi ulang cetak ini seperti mana karya-karya laris lain yang telah diulang cetak. Diharapkan agar cadangan saya ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Waalaikumsalam. Untuk pengetahuan tuan, DBP akan mencetak ulang buku ini. Kami berharap berita ini akan menggembirakan tuan dan semua peminat/pengikut penulis terkenal ini. | Lain-lain | 28.06.2012 |
Buku saya telah lama diulang cetak dan dijual. Tetapi saya tidak mendapat apa-apa royalti telah beberapa tahun. Adakah buku saya tidak terjual langsung? Platun Harimau (ISBN: 978-983-46-0415-8) | Salam sejahtera, Untuk makluman, Setakat ini, tiada jualan buku dari selepas peralihan kuasa Dawama Sdn. Bhd. ke DBP semula setelah dirujuk Laporan Penyata yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengedaran dan Pemasaran, DBP. Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung perkara di atas, bolehlah menghubungi. Puan Mazfarina binti Marzuki Bahagian Harta Intelek mazfarina@dbp.gov.my 03-21479521 | Lain-lain | 19.06.2020 |
saya tidak pasti penggunaan ialahvs adalah; dalam vs di dalam;dari vs daripada, atas vs di atas: bawah vs di bawah: sebutharga: berkuatkuasa dll seperti yang bertanda merah pada dokumen yang disertakan. Oleh kerana pekeliling begini sering diulang-ulang, saya berharap segala kesilapan dapat diperbetulkan dan kesilapan tidak diulang-ulang juga. Terima kasih. | Ialah dan adalah tergolong dalam kata pemeri. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi. Di dalam digunakan untuk menunjukkan tempat yang boleh dilihat secara fizikal ruang dalamnya, seperti di dalam kereta, di dalam rumah dan di dalam dewan. Dalam pula menunjukkan kedudukan sesuatu yang abstrak sifatnya, seperti dalam fikiran, dalam bidang sains dan dalam kehidupan. Dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Kata arah "atas" hadir sebelum frasa nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Untuk maklumat lebih lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Ejaan yang betul ialah sebut harga, berkuat kuasa, alat tulis, mengenal pasti, mengambil kira, walau bagaimanapun, tanggung rugi, ganti rugi, dan walaupun. Puan boleh juga merujuk ejaan perkataan melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 24.09.2012 |
Tuan, perlu atau tidak soalan ini diulang-ulang perkataan (minum) seperti berikut: "Ita hendak (minum) susu atau (minum) Milo(?)" tanya ibu kepada adik. ATAU "Ita hendak (minum) susu atau Milo(?)" tanya ibu kepada adik. Sekian terima kasih | Tidak perlu ulang perkataan minum. | Tatabahasa | 25.07.2008 |
Tuan, Perlu atau tidak soalan yang dibina diulang-ulang perkataannya seperti berikut: "Ita hendak minum susu atau minum Milo?" tanya ibu kepada adik. | Bagi ayat tersebut, tanda soal perlu. Harap maklum. | Tatabahasa | 22.07.2008 |