Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[dua] | دوا

Definisi : (jumlah) satu dicampur (ditambah) satu (2), bilangan di antara satu dgn tiga; ~ belas (jumlah) sepuluh dicampur dua (12); ~ kalimah kalimah syahadat; ~ puluh (jum­lah) sepuluh didarabkan dgn dua (20); ~ ratus (jumlah) seratus didarabkan dgn dua (200); ~ sejoli dua orang kekasih yg sangat rapat; ~ serangkai dua orang yg terlalu rapat (barang ke mana bersama-sama); ~ tahun ketiga lewat dua tahun tetapi belum genap tiga; angka ~ ark tanda pergandaan (kata berulang); main ~ puluh satu sj permainan terup; ~ badan senyawa prb karib sekali; ~ kali ~ empat = ~ kali lima sepuluh = spt lima belas dgn tengah ~ puluh prb sama sahaja; antara ~ tengah tiga prb orang sakit yg hampir mati; dlm ~ tengah tiga prb tidak jujur, tidak boleh dipercayai, hati yg tidak tetap, bimbang; dua-dua 1. = berdua-dua tiap-tiap kali dua (orang dll), dlm kelompok-kelompok dua: ia duduk di atas kerusi dikipas ~ orang; 2. = dua-duanya dua kesemuanya: ~(nya) sama sahaja; berdua bersama-sama (dua orang), bersama dgn seorang lagi: Ismail dan Hamidah duduk ~ berbual-bual di serambi; saya ~ dgn adik saya pergi memancing petang semalam; ~ hati ki tidak jujur, mencabangkan kasih; karam ~ basah seorang prb dua orang bersalah, hanya seorang yg dihukum; berdua-dua ® dua-dua; berduaan, berdua-duaan berdua sahaja (tidak ada orang lain), cuma berdua: kerana berasa kurang sedap berada ~ dlm bilik dgn seorang gadis, maka dia pun keluar; mendua 1. menjadi dua (bkn fikiran, per­buatan, dll): bunyi gendang itu hanya se­gelugut, tidak ~ dan tidak berulang-ulang lagi; dgn tidak ~ fikiran lagi Abdullah bersetuju hendak turun; ~ hati bimbang; ~ kali membuat dua kali, mengulangi perbuatan; 2. kencang berlari (kuda); menduai menggenapkan jadi dua, menam­bah jadi dua: kalau engkau sungguh cinta terhadap perempuan itu tentu tidak engkau duai dgn yg lain; ~ isteri mengambil isteri kedua; ~ laki berkhianat kpd suami (isteri yg bermukah); menduakan menjadikan dua, menganggap dua (Tuhan), menaruh dua (isteri, suami): pertimbangan antara akan ~ isterinya atau tetap beristeri satu sedang hebat berkecamuk dlm hatinya; ~ Allah menganggap (melaku­kan spt) ada yg berkuasa selain Allah; menyeduai Mn mengurus ternak (sawah dll) orang dgn berbahagi keuntungan; menyeduakan Mn menyuruh orang lain mengurus sesuatu (ternak, sawah, dll) dgn berbahagi keuntungan: ~ sawah; perdua 1. = seperdua setengah, satu drpd dua; seperdua umur (baya) separuh umur; 2. perkongsian (tanaman dll); berperdua berbahagi dua, berkongsi dua: Anuar menyerahkan seekor kerbau betina kpd Bibah utk dipelihara menurut cara ~ ternak di kampung; memperdua 1. membahagi dua (untung, hasil, dll): keuntungan jualan hari itu belum diperdua lagi; 2. mengusahakan ternak (sawah dll) orang dan hasilnya dibahagi dua: saya tidak sanggup utk ~ sawah saya yg sebidang itu; memperduakan 1. = menduakan; 2. me­nyuruh orang mengusahakan ternak (sawah dll) dgn berbahagi keuntungan, memawah­kan; kedua 1. (peringkat, bilangan, dll) yg nombor dua: pertunjukan yg ~ ialah tayangan filem Hindustan; 2. = kedua-dua, kedua-dua­nya, keduanya dua-dua(nya): kedua-dua­nya tergelak kecil, lalu meneruskan per­jalanannya; kemudian kedua-duanya pun tidur berkaparan;keduaan keadaan wujudnya dua bahagian atau unsur: ~ budaya muncul di merata tempat di dunia Islam; penduaan perihal memperdua(kan) (sawah, ternak, dll), pemawahan; pendua 1. benda yg dijadikan cadangan (kapit, teman) spt keris dll: keris tempa Melaka yg panjang tiga jengkal itu dijadikan ~ juga; 2. yg dibuat serupa dgn yg asal (bkn salinan dsb); kertas ~ kertas utk membuat salinan surat dll dgn menggunakan sejenis alat; mesin ~ mesin utk membuat salinan-salinan surat dsb. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata dua

Puisi
 

Mana berantai mana tidak,
     Berjalan dua berantai dua;
Di mana kasih di mana tidak,
     Badan satu kekasih dua.


Lihat selanjutnya...(179)
Peribahasa

Dua kali dua empat.

Bermaksud :

Sama saja.

 

Lihat selanjutnya...(99)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam sejahtera. 1) kedua-dua ibu bapa / kedua-dua orang ibu bapa 2) kedua-dua anak / kedua-dua orang anak 3) kedua-dua kucing / kedua-dua ekor kucing 4) kedua-dua kereta / kedua-dua buah kereta Yang manakah betul? Saya nampak jawapan-jawapan yang diberikan oleh DBP tahun-tahun sebelum ini ada perbezaannya. Bolehkah tuan jelaskan kata bilangan "kedua-dua" ini, belakangnya perlukah kita letak penjodoh bilangan?

“Kedua-dua” bermaksud kelompok yang terdiri daripada dua (orang, dan sebagainya); dua-dua sekali.

Dalam tatabahasa bahasa Melayu penggunaan penjodoh bilangan digalakkan. Walau bagaimanapun, bukan semua perkataan boleh disertakan dengan penjodoh bilangan.

Contohnya: “Kedua-dua ibu bapa” atau “kedua-dua orang ibu bapa” adalah frasa yang betul dalam bahasa Melayu. Namun begitu, frasa "Kedua-dua orang ibu bapa" ialah bentuk yang lebih gramatis.



Tatabahasa30.10.2022
1) kedua-dua anak / kedua-dua orang anak 2) kedua-dua kucing / kedua-dua ekor kucing 3) kedua-dua kereta / kedua-dua buah kereta Yang manakah betul? Bolehkah tuan bagi pencerahan lagi dalam keadaan apakah kita perlu letak penjodoh bilangan di belakang kata bilangan ini dan ada kalanya tak perlu?Dalam bahasa Melayu, lazimnya kata bilangan berpasangan dengan penjodoh bilangan untuk menjadi sejenis penerang kepada kata nama yang mengikutinya. Namun  demikian, bukan semua kata bilangan mesti diikuti oleh penjodoh bilangan. Dalam hal ini terdapat dua peraturan tentang penggunaan penjodoh bilangan. Kata bilangan tentu mestilah disertai oleh penjodoh bilangan contohnya "kedua-dua orang anak,  kedua-dua ekor kucing dan kedua-dua buah kereta" manakala 
kata bilangan tak tentu tidak perlu disertai oleh penjodoh bilangan.  
Tatabahasa03.11.2022
Kami datang ke sini bersama. Kami datang ke sini bersama-sama. Dua- dua sama maksud ke?

Kedua-dua ayat "Kami datang ke sini bersama" dan "Kami datang ke sini bersama-sama" mentakrifkan bahawa kata "bersama-sama" dan "bersama" pada asasnya mempunyai makna yang sama.

Makna20.05.2023
" Hal ini kerana " atau " Hal in demikian kerana" , yang mana satu betul atau dua dua pun betul?
"Kerana" ialah kata keterangan yang berfungsi untuk menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Untuk makluman, klausa ialah anak ayat yang mempunyai subjek dan predikatnya. "Hal ini" tidak boleh menjadi klausa dan apabila ditambah "demikian" barulah terhasil klausa yang terdiri daripada subjeknya (hal ini) dan predikatnya (demikian). Oleh itu, klausa yang lengkap ialah "hal ini demikian kerana" bukan "hal ini kerana"atau "hal ini demikian"
Tatabahasa30.09.2020
Boleh saya tahu susunan ayat yang mana satu adalah betul bagi nama rasmi laporan ini Piawaian Pengelasan Pendidikan Antarabangsa atau Pengelasan Pendidikan Piawaian Antarabangsa? Atau dua-dua adalah silap? Terima kasih.

Penggunaan yang betul dan sesuai ialah Piawaian Pengelasan Pendidikan Antarabangsa atau dalam bahasa Inggerisnya ialah International Standard Classification of Education (ISCED). 


Ejaan22.01.2023
"Perenggan 1 dan perenggan 2 harus berkaitan antara satu sama lain" atau "Perenggan 1 dan perenggan 2 harus berkaitan dengan satu sama lain"? Ayat mana yg betul dari segi tatabahasa? Sekian, terima kasih.Dua-dua frasa ini betul.Tatabahasa16.12.2019
Apakah perbezaan antara dua frasa di bawah? 1) dua jam setengah 2) dua setengah jam? Terima kasih.Frasa yang tepat ialah "dua setengah jam".Tatabahasa23.04.2022
Bolehkah kata kerja terletak di awal ayat, Contoh: Mengambil makanan seimbang dapat menjamin kesihatan kita. Cikgu saya cakap ayat ini salah kerana kata kerja tidak boleh letak di awal ayat, yang betul ialah Pengambilan makanan..... Tetapi saya rasa dua dua pun betul, boleh admin beritahu mana yang betul dan berikan alasannya. Ribuan terima kasih.Binaan ayat yang betul mesti mengandungi Subjek + Predikat. Subjek ialah bahagian ayat yang diterangkan dan predikat ialah bahagian ayat yang menerangkan subjek. Subjek terdiri daripada frasa nama. Walau bagaimanapun, terdapat sejenis kata kerja yang penggunaannya dalam ayat berfungsi sebagai subjek, iaitu kata kerja yang mengambil tugas kata nama. Contoh dalam ayat: Melukis menjadi kegemarannya.Tatabahasa30.09.2020
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang frasa 'serampang dua mata'. Kamus menyatakan ia ada dua makna. Pertama, kiasan yang membawa maksud sesuatu dasar/program yang mempunyai dua matlamat/kepentingan/objektif. Kedua, ia peribahasa yang bermaksud orang yang menyebelahi dua pihak yang berlawanan. Terkait maknanya sebagai peribahasa, adakah 'serampang dua mata' digunakan untuk konotasi positif atau negatif? Kerana, apabila membaca takrif iaitu orang yang menyebelahi dua pihak berlawanan, timbul ketaksaan sama ada 'orang' itu pembelot (yakni membeloti kedua-dua pihak, membawa konotasi seorang oportunis) atau pendamai yang memihak kepada kedua-duanya bagi tujuan menjadi pengantara neutral yang bantu mudahkan pencapaian kata sepakat.Makna peribahasa serampang dua mata diberikan dengan jelas dalam Kamus Dewan Edisi Keempat seperti yang anda rujuk. Kebijaksanaan intelektual Melayu sememangnya sangat terserlah dalam peribahasa yang boleh ditafsir pelbagai mengikut kesesuaian konteks penggunaan.  Namun, serampang dua mata bukan pembelot kerana pembelot merujuk pada orang yang lari lalu memihak kepada pihak musuh, bukannya memihak kepada kedua-dua pihak yang berlawanan. Makna05.01.2019
Salam sejahtera tuan. Saya ingin bertanya kepada tuan tentan skalan tatabahasa. 1. Adakah beribu-ribu sama maksud dengan ribuan? contoh:beribu-ribu penonton = ribuan penonton. Adakah kedua-dua frasa ini betul? 2. Kedua-dua orang murid atau kedua-dua murid Frasa yang manakah adalah betul? Adakah kedua-dua perlu menambah penjodoh bilangan? 3. a. Hobi saya ialah membaca buku. b. Hobi saya adalah membaca buku. Ayat yang manakah adalah betul? Bolehkah tuan memberikan penjelasan ? Terima kasih atas bantuan.

JAWAPAN 1
Beribu-ribu sama maksud dengan ribuan. Walau bagaimanapun, frasa yang tepat ialah "ribuan penonton." Jika frasa "beribu-ribu" perlu ditambah penjodoh bilangan menjadi "beribu-ribu orang penonton.

 

JAWAPAN 2
“Kedua-dua” bermaksud kelompok yang terdiri daripada dua (orang dan sebagainya); dua-dua sekali.

Dalam tatabahasa bahasa Melayu, penggunaan penjodoh bilangan digalakkan. Walau bagaimanapun, bukan semua perkataan boleh disertakan dengan penjodoh bilangan.

Contohnya: “Kedua-dua orang murid” atau “kedua-dua murid” adalah frasa yang betul dalam bahasa Melayu. Namun begitu, frasa "Kedua-dua orang murid" lebih gramatis.

 

JAWAPAN 3 

Ayat yang betul ialah “Hobi saya membaca buku.” Ayat ini merupakan ayat tunggal yang mengandungi hanya satu klausa serta tidak memerlukan kata pemeri bagi melengkapkannya.

Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014) halaman 433, 263 dan 264.

Tatabahasa05.03.2024
12345678910...

Kembali ke atas