Yang mana betul; "...agropelancongan dan ekopelancongan" atau "... agro dan ekopelancongan"? | Ungkapan yang betul ialah "agropelancongan dan ekopelancongan" kerana agro dan eko ialah awalan asing yang bergabung dengan kata dasar untuk membentuk istilah tertentu dan setiap satunya mempunyai maksud yang berlainan. | Tatabahasa | 06.06.2011 |
adakah perkataan ekolancong dan apa maksudnya terima kasih | Ekolancong atau ekopelancongan ialah pelancongan yg berasaskan sumber dan pemeliharaan alam semula jadi spt flora, fauna, pantai, tasik dan sungai. Untuk keterangan lanjut sila rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua. | Makna | 31.03.2010 |
Dari Kuala Lipis ke Jerantut, Bera dan Kuala Rompin, mampu memajukan bidang ekopelancongan kerana kaya dengan keindahan sumber semula jadinya, dengan flora, fauna, sungai, tasik dan pantai yang tinggi [nilai eksotikanya (atau nilai eksotiknya).. yg mana betul?] | Puan Rahemah, Perkataan yang betul ialah eksotik yang bermaksud luar biasa atau keistimewaan. | Ejaan | 10.03.2010 |
1.Senarai 15 kata majmuk yang dimantapkan 2. Panduan menggunakan tanda sempang cth ekopelancongan @ eko-pelancongan. | Antarabangsa, beritahu, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, olahraga, matahari, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, warganegara, pesuruhjaya. Untuk keterangan lebih lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. | Tatabahasa | 21.10.2008 |
Apakah EcoCampus dalam Bahasa Malaysia? Adakah ia Ekokampus atau Eko Kampus seperti Ecotourism menjadi Ekopelancongan? dan apakah definisi yang sesuai untuk digunakan bagi EcoCampus di atas? Kerjasama anda saya dahului dengan ucapan terima kasih. Sekian, terima kasih. | Padanan bahasa Melayu untuk "ecocampus" ialah ekokampus. | Istilah | 12.11.2016 |
apakah maksud sistem eko-dualisme? | Eko-: awalan asing berkaitan dgn ekologi, mis ekopelancongan. Dualisme: 1. faham yg berasaskan dua prinsip yg saling bertentangan spt antara kebaikan dan kejahatan, dan antara terang dan gelap; 2. keadaan apabila wujud dua sifat yg ketara saling bertentangan pd diri seseorang. | Lain-lain | 01.09.2009 |
Untuk istilah 'Eco Product', adakah 'Produk Eko' terjemahan yang betul ? Terima kasih | Eko- merupakan awalan asing berkaitan dengan ekologi, contohnya ekopelancongan. Awalan dalam bahasa Melayu tidak boleh berdiri sendiri untuk membentuk frasa ‘Produk Eko-’. Dari segi pembentukan istilah, kami mencadangkan ‘produk ekologi’. | Istilah | 09.09.2014 |
Malaysia mampu memajukan bidang eko-pelancongan kerana mengayakan sumber alam semula jadinya. Apakah 2 kesalahan ayat di atas? | Ayat yang betul ialah Malaysia mampu memajukan bidang ekopelancongan kerana negara ini kaya dengan sumber semula jadinya. | Tatabahasa | 23.01.2008 |
pengertian inap desa / homestay dan pengertian eko pelancongan | Dalam Glosari Pelancongan terbitan DBP, homestay (inap desa) didefinisikan sebagai 'Cara penginapan alternatif biasanya bersama-sama sebuah keluarga untuk tempoh tertentu'. Homestay programme didefinisikan sebagai 'Program pelancongan yang diatur supaya pelancong tinggal bersama keluarga tempatan'. Ekopelancongan pula didefinisikan sebagai 'Pelancongan yang berasaskan alam semula jadi seperti hutan tropika, pantai, pulau, bukit, taman, laut dan sebagainya'. | Istilah | 08.02.2012 |
1.Apakah tatabahasa yang betul untuk tajuk pembentangan kertas kerja: "Menaik Taraf Jalan ..." atau Penaiktarafan Jalan...". 2. MAna satu yang betul ejaannya : Eko-ilmiah atau ekoilmiah. Terima kasih. | Kebiasaanya, bagi tajuk kertas kerja kita menggunakan kata nama yang didokong oleh imbuhan PeN-...an. DBP mencadangkan tajuk “ Penaiktarafan Jalan...” sebagai tajuk. Ejaan yang betul ialah ekoilmiah, tapi mohon diberikan konteks penggunaannya kerana makna perkataan ini tidak jelas. Sebagai contoh, ekopelancongan ialah pelancongan yang berasaskan sumber dan pemeliharaan alam semula jadi. | Makna | 03.03.2014 |