adakah ayat 'bertanya akan masalah adik' betul? bukankah 'akan' digunakan untuk menjelaskan kata kerja berunsur emotif? bolehkah 'akan' digunakan untuk menggantikan imbuhan '-kan'? Jika boleh, apakah syaratnya? terima kasih | Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Oleh itu ayat; Bertanya akan masalah adik adalah salah. Kata sendi nama 'akan' tidak boleh digunakan untuk menggantikan imbuhan '-kan' | Tatabahasa | 22.09.2008 |
(a) Adakah kata adjektif emotif (perasaan) tidak boleh menerima kata penguat depan dan kata penguat belakang dengan serentak, misalnya amat takut sekali / sangat bimbang sekali? (b) Jika kata penguat "amat sangat" diterima, bagaimanakah pula dengan "amat sungguh", ataupun "sungguh sangat"? (c) Adakah kata hubung "jikalau" merupakan singkatan daripada "jika" dan "kalau"? Dan, bolehkah "jikalau" digunakan sebagai bahasa baku? Sekian, terima kasih. | (a) Semua kata adjektif boleh menerima kata penguat depan dan kata penguat belakang dengan serentak, contohnya seperti yang dinyatakan dibawah.. i. se+kata adjektif + gandaan + kata nama - sepandai-pandai tupai, sekeras-keras batu ii. ter+ kata adjektif - terpandai,terbaik iii. paling+kata adjektif - paling lazat, paling cerdik iv. kata adjektif+ sekali - tinggi sekali, cantik sekali Namun begitu, binaan ter+kata adjektif tidak perlu diikuti oleh perkataan sekali, begitu juga dengan binaan paling+ kata adjektif kerana ter, paling dan sekali sudah membawa maksud darjah penghabisan. Awalan ter yang digabungkan dengan kata penguat bebas amat atau sangat dan hadir sebelum kata adjektif merupakan penanda darjah penghabisan. Binaan darjah penghabisan boleh juga menerima kata penguat belakang sekali dengan kata penguat bebas amat, sangat atau sungguh yang hadir sebelum kata adjektif. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 244. (b) Dalam tatabahasa Bahasa Melayu, tidak ada kata penguat "amat sangat", "amat sungguh" dan "sungguh sangat", tetapi dari segi penggunaannya adalah salah satu daripadanya dan tidak ada gabungan, contohnya amat, sungguh dan sangat. Rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 244. (c) Betul. Kata hubung"jikalau" merupakan kata penghubung yg menyatakan syarat (janji), kalau: ~ dibenarkan, tentu saya akan pergi; ~ (se)kiranya seandainya; kalau. Perkataan ini terhasil singkatan daripada "jika" dan "kalau". Oleh itu, perkataan ini diterima pakai dalam bahasa Melayu baku. | |
|
| Tatabahasa | 25.06.2008 |
patuh kepada arahan atau patuh akan arahan? terima kasih | Frasa yang betul ialah "patuh kepada arahan", kata sendi nama akan hadir selepas kata adjektif yang bersifat emotif seperti "saying akan anaknya". | Tatabahasa | 13.06.2013 |
Salam sejahtera, Saya ingin meminta tunjuk ajar dalam penggunaan kata sendi nama "akan". Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008;282), kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Persoalan saya, adakah kata sendi nama "akan" oleh digunakan sekiranya rujukan dalam sesuatu ayat (kata nama/frasa nama) bukan merujuk manusia? Contoh 1: Raksasa itu takut akan bunyi letupan. Adakah penggunaan "akan" dalam contoh ayat 1 betul? Sekian, terima kasih. | Ayat contoh yang saudara berikan, Raksasa itu takut akan bunyi letupan adalah betul. Binaan ayat terdiri daripada subjek (raksasa itu) + predikat (frasa adjektif), rumus frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi nama + kata nama), iaitu takut (kata adjektif) + akan (kata sendi nama) + bunyi (kata nama). Contoh yang lain, Badannya lemah dengan tiba-tiba - kata sendi nama dengan. Saudara perlu melihat ayat tersebut dari aspek binaan ayat frasa adjektif (lihat halaman 414, Tatabahasa Dewan) dan jangan dikaitkan dengan fungsi kata sendi nama "akan" dengan kata adjektif yang bersifat emotif. | Tatabahasa | 16.10.2011 |
Salam sejahtera, saya menghadapi kemusykilan dalam penggunaan kata sendi nama "akan". Menurut Tatabahasa Dewan edisi keempat, kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Adakah ini bermakna sekiranya kata/frasa nama itu bukan merujuk manusia, maka kata sendi nama “akan” tidak boleh digunakan? Contohnya dalam ayat, "Mulai hari ini, Nurul tidak perlu runsing akan wang lagi." Adakah penggunaan kata sendi nama "akan" dalam ayat ini betul? Saya tidak pasti sama ada "akan" boleh digunakan dalam ayat ini atau tidak kerana kata nama yang mengikuti kata sendi nama "akan" dalam ayat ini, yakni "wang" merujuk kepada benda dan bukannya manusia. Sekiranya "akan" digunakan dalam ayat ini, maka penggunaan "akan" telah melanggar hukum tatabahasa yang menyatakan bahawa "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia. Dalam konteks sedemikian, perkataan "akan" boleh diterima atau perlu diganti dengan perkataan yang lain?Mohon beri tunjuk ajar. Sekian, terima kasih. | Penggunaan kata sendi nama "akan" seperti yang dijelaskan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 282 - 283. Yang dimaksudkan dengan keterangan yang merujuk manusia ialah subjek yang terletak di hadapannya, bukan unsur yang mengikuti kata sendi nama selepasnya. Oleh itu, dalam ayat contoh yang diberikan, iatu "Mulai hari ini, Nurul tidak perlu rungsing akan wangnya lagi" (ayat yang sepatutnya), yang dikatakan merujuk manusia ialah Nurul, bukan wang. Sila lihat contoh ayat yang bernombor 340 dan 342 dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Dalam ayat 340, yang dirujuk sebagai manusia ialah rakyat, bukan negara. Begitu juga dengan ayat bernombor 342, manusia dalam ayat tersebut ialah kami, bukan kelakuan. Semoga dengan penjelasan ini, dapat menghuraikan kekeliruan saudara dari aspek penggunaan kata sendi nama "akan". | Tatabahasa | 10.06.2010 |
kesalahan penggunaan kata sendi akan dan imbuhan –kan dalam ayat bahasa Melayu | Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Contohnya: 1. Wanita itu amat rindu akan anaknya. 2. Semua rakyat mesti sayang akan negara tempat tumpah darahnya. Kesalahan penggunaan kata sendi nama akan adalah seperti yang berikut: 1. Wanita itu amat rindukan anaknya. 2. Semua rakyat mesti sayangkan negara tempat tumpah darahnya. Untuk maklumat lanjut tentang akhiran -kan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 183 -186 | Tatabahasa | 23.03.2012 |
Ayat berikut yang mana lebih sesuai digunakkan? (a) Halim dan Ani sayang kepada ibu bapa mereka. (b) Halim dan Ani sayang akan ibu bapa mereka. Jika dua ayat di atas betul, apakah perbezaan 'sayang kepada' dan 'sayang akan'? Harap tuan/puan boleh memberi jawapan hari ini. Sekian, terima kasih. | Kedua-dua ayat tersebut betul. Walau bagaimanapun untuk menggambarkan unsur emotif kata 'akan' lebih sesuai digunakan seperti ... sayang akan ibu bapanya. | Tatabahasa | 10.02.2012 |
Yang mana betul?(dan kenapa?) (a)Remaja mudah TERIKUT-IKUT DENGAN tingkah laku kawan-kawan. (b)Remaja mudah TERIKUT-IKUT AKAN tingkah laku kawan-kawan. | Ayat yang betul ialah "Remaja mudah terikut-ikut dengan tingkah laku kawan-kawannya". Penggunaan kata sendi nama 'akan' (seperti dalam ayat kedua) mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. | Tatabahasa | 02.03.2011 |
Tuan, Saya ada kemusykilan tentang penggunaan perkataan kepada dan akan. Saya sayang akan ibu dan Saya sayang kepada ibu. Perkataan mana lebih sesuai, akan atau kepada dan mengapa? | Saya sayang akan ibu saya. Ayat ini lebih sesuai kerana kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. | Tatabahasa | 06.02.2009 |
Biasanya perkataan "akan" ini akan dipendekkan dan disambung pada kata adjektif yang di depannya, seperti: i.Wanita itu amat rindukan anaknya. ii. Saya amat sayangkan kamu. Daripada ditiadakan perkataan "akan", adalah lebih baik digantikan dengan perkataan "pada" atau "terhadap" (terutama antara kata diri pertama dan kedua). Mohon diperbetulkan jika ada kekhilafan daripada fakir yang kurang ilmu ini." | Kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. | Tatabahasa | 20.08.2013 |