Salam sejahtera, apakah perbezaan antara ialah, adalah dan merupakan ? Terima kasih. | Menurut tatabahasa bahasa Melayu kata pemeri hanya dua iaitu "adalah" dan "ialah". Perkataan "merupakan" ialah kata kerja dan bukan kata pemeri. Dalam penggunaannya kata pemeri tidak boleh diikuti dengan kata kerja. Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. Makna perkataan merupakan adalah seperti yang berikut : 1. membentuk (membuat, menjadikan) supaya mempunyai rupa, memberi rupa: peti rahsia itu dirupakan buku; 2. melahirkan, menggambarkan, mewujudkan: malaikat Jibrail dirupakan seorang yg cantik dan diberi bersayap; 3. menjadi, membentuk: rancangan hendak memindahkan ibu negeri ~ projek yg terpenting; getah ~ 40% drpd pendapatan negara Malaysia; 4. ki melambangkan, melukiskan, menggambarkan: Pak Kadok dan Lebai Malang ~ manusia yang dungu tetapi sebenarnya mempunyai daya berfikir; ulasan itu ialah perkataan yang ~ fikiran yang dibuat daripada satu-satu alasan; ~ diri a) menampakkan dirinya seperti (menjadi), membuat dirinya berwujud, menjelma: Puteri Gunung Ledang ~ dirinya seperti perempuan tua; ia dapat ~ dirinya seperti harimau; b) berlagak (berlaku dll) sebagai: dengan ~ dirinya sebagai seorang tukang sapu longkang, pegawai polis itu berjaya menangkap pemeras wang itu; | Tatabahasa | 24.04.2013 |
apa perbezaan menghias, menghiaskan, menghiasi? | Menurut data kami, maksud perkataan menghias ialah menjadikan sesuatu lebih cantik (dengan barang yang indah-indah, gambar dan lain-lain): Dia ~ biliknya dengan gambar dan kertas yang berwarna-warni, manakala maksud menghiaskan ialah mencantikkan (mengindahkan) dengan sesuatu: dia ~ sebutir kerosang pada bajunya; dan maksud perkataan menghiasi ialah menyebabkan kelihatan lebih cantik: Bintang-bintang ~ langit. Gambar yang berwarna-warni ~ ruangan itu | Makna | 13.02.2017 |
Antara berikut ayat manakah betul? 1. Tulis jawapan berdasarkan petikan 2. Tuliskan jawapan berdasarkan petikan 1. Tulis ayat yang betul berdasarkan gambar. 2. Tuliskan ayat yang betul berdasarkan gambar. Sekiranya ayat tersebut betul atau salah, bolehkah saya tahu mengapa. | Salam sejahtera, Tuan, Ayat yang dinyatakan betul dari segi tatabahasanya ialah ayat "Tuliskan jawapan berdasarkan petikan" dan " Tuliskan ayat yang betul berdasarkan gambar". Ayat yang dinyatakan merupakan ayat arahan. Arahan lazimnya mengandungi kata kerja dengan imbuhan kan seperti tuliskan. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 06.04.2018 |
Adakah penggunaan mewarna boleh digunakan sebagai tajuk. Contoh 1. mari sertai peraduan mewarna gambar Contoh 2. Mari mewarna huruf | Peraduan Mewarna sebagai kata nama boleh digunakan, tetapi jika selepas kata warna yang fungsinya kata kerja, warna kena diimbuhkan dengan apitan me-...-kan (mewarnakan) atau me-...-i (mewarnai) dan mesti ada objek penyambut, contohnya: i. Mari sertai peraduan mewarnai/mewarnakan gambar; ii. Mari mewarnai/mewarnakan huruf. Harap maklum. | Tatabahasa | 15.09.2006 |
perkataan yang sesuai peta/pelan ? peta laluan keluar kecemasan bangunan. / pelan laluan keluar kecemasan bangunan. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan "peta" bermaksud 1. lukisan (gambar) pd kertas dll yg menunjukkan kedudukan negeri, sungai, gunung, dll; 2. lukisan (gambar) yg menunjukkan kedudukan bintang dll di langit; ~ angin peta yg menunjukkan arah peredaran angin; ~ antarabangsa peta dunia yg biasanya berskala 1:1 000 000; ~ bahasa peta yg menggambarkan daerah bahasa-bahasa tertentu digunakan; ~ bumi peta yg khusus menunjukkan tanah (gunung, sungai, dll); ~ kontur peta yg dilukiskan dgn garisan-garisan kontur; ~ kosong peta yg belum ditandai dgn nama tempat (letak sungai, gunung, dll); ~ lakar peta sesuatu kawasan dll yg dilukis dgn secara kasar dan mengandungi hal-hal yg penting sahaja; ~ laut peta yg khusus menunjukkan laut (pulaupulau, aliran ombak, dll); ~ timbul peta yg dibuat drpd tanah liat (plastisin) dgn gambaran bukit (gunung, sungai, dll) spt yg terdapat di muka bumi; ~ topo peta lengkap sesuatu tempat (yg menunjukkan bandar, jalan, dll); berpeta berupa peta: mendedahkan panau ~-peta di bahu dan di lengannya; memeta membuat peta; memetakan 1. membuat peta tentang sesuatu, menunjukkan kedudukan (keadaan dsb) sesuatu dlm bentuk peta: sebahagian besar daerah itu masih belum dipetakan; 2. menggambarkan, melukiskan: Nasib Seorang Muda karangan Cikgu Harun ~ bagaimana seorang kerani muda yg bergaji kecil hidup; pemetaan perihal membuat peta; pemeta orang yg membuat peta. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua pula, "pelan" bermaksud 1 rajah yg menggambarkan bentuk serta ukuran sesuatu bangunan, kawasan dsb. 2 rancangan yg sudah diatur utk dilaksanakan. ~ induk rancangan menyeluruh yg merangkumi seluruh dasar dan segala rancangan kegiatan yg akan dilaksanakan (dlm pembangunan, perekonomian, dsb): Beberapa kajian terkandung dlm ~ induk projek tsb. ~ lantai lukisan mengikut skala bagi susun atur bilik dsb pd satu lantai sesebuah bangunan. ~ tindakan rancangan yg diatur yg terdiri drpd langkah-langkah utk bertindak secara bijak. Oleh itu, jawapan yang lebih sesuai ialah "pelan". | Istilah | 09.04.2013 |
Assalamualaikum. Saya nak tanya, apakah istilah yang sesuai/perkataan yang sesuai untuk "video" dalam bahasa Melayu? Wayang gambar? Saya nak perkataan selain "video" | Merujuk kepada kamus Dewan, perkataan video dalam bahasa Melayu ialah 1. Video iaitu alat ~ alat utk merakamkan dan menayangkan filem dgn menggunakan pita (disalurkan melalui televisyen) 2. = pita ~ pita bermagnet yg digunakan utk merakamkan gambar dgn suaranya sekali dr televisyen; 3. = filem ~ filem yg telah dirakamkan pd pita video dan hanya sesuai utk ditayangkan dgn menggunakan alat video; memvideokan merakamkan sesuatu (peristiwa, adegan, dsb) dlm pita video: filem-filem Melayu telah divideokan. Bersinonim dengan pertunjukan: persembahan, filem, tayangan dan lain-lain. Cadangan: Tayangan Visual, Tayangan Dokumentari, Tayangan Rencana, Tayangan Filem dsb. | Istilah | 17.02.2018 |
Objek yang dipanggil "sepanduk" (banner) dan "papan tanda" (signboard) dikategorikan sebagai "placard" di dalam bahasa Inggeris, oleh itu adakah perkataan "pelekat" boleh digunakan sebagai padanan kepada perkataan "placard"?
Hal ini kerana kedua-dua "sepanduk" dan "papan tanda" mempunyai persamaan dengan "pelekat" iaitu "sesuatu benda yang mempunyai tulisan atau gambar yang bertujuan memberi maklumat kepada orang yang melihatnya"
Terima kasih. | Dalam data kami, padanan bahasa Melayu bagi placard ialah pelekat. Kamus Dewan Edisi Empat mentakrifkan pelekat sebagai 1. sesuatu yang digunakan untuk melekatkan (gam, kanji, dsb); 2. helai plastik atau kertas yang mempunyai tulisan atau gambar untuk menandakan sesuatu, biasanya ditampalkan atau dilekatkan pada sesuatu permukaan: ~ kereta. Sila rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pelekat. | Penyemakan dan penterjemahan | 02.10.2014 |
Soalan Pertama Ayat berikut yang manakah betul? 1. Ibu bersama nenek sedang memasak di dapur. 2. Ibu sedang memasak di dapur bersama nenek. 3. Ibu sedang memasak bersama nenek di dapur. Soalan ke dua Yang mana sesuai untuk digunakan :- mengumpul setem atau mengumpulkan setem Hobi Aida mengumpul setem. Hobi Aida mengumpulkan setem. Ini kerana di dalam buku teks BM thn 2 tertulis "mengumpulkan setem" di gambar yg diberikan. Saya agak keliru dengan penggunaan "kan" di sini. Harap dapat jelaskan kepada saya. Terima Kasih | Ketiga-tiga ayat betul. Unsur keterangan dalam ketiga-tiga ayat ini berada di kedudukan yang berlainan. Ayat kedua yang betul ialah: Hobi Aida mengumpulkan setem. Kata kumpul menerima imbuhan meN...kan untuk membentuk kata kerja transitif. Untuk penerangan lanjut tentang penggunaan meN...kan sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 04.03.2009 |
Saya pernah melihat pemenggalan suku kata bagi perkataan berikut di jawap olewh Dewan Bahasa sendiri. Tetapi pemenggalan perkataan tersebut berbeza dengan apa yang DBP baru-baru ini jawap kepada saya. Jawapan yang saya perolehi baru-baru ini adalah: 1. makanan (ma.ka.nan) 2. bayaran (ba.ya.ran) Walaubaimanapun, saya ada terjumpa di online DBP menjawap pemenggalan perkataan bagi perkataan seperti di atas adalah seperti berikut: 1. makanan (ma-kan-an) 2. bayaran (ba-yar-an) Disini saya ada sertakan sekali gambar sebagai bukti pemenggalan perkataan bagi perkataan berikut yang sebelum ini saya temui dijawap oleh DBP. Mohon supaya pihak dapat memberikan pencerahan bagi situasi ini. Terima kasih:) | Salam sejahtera, Tuan, Terdapat perbezaan antara pemenggalan suku kata (pemisahan suku kata) dengan pemenggalan sebutan bagi kata bahasa Melayu. Pemenggalan suku kata ditandai oleh satu vokal, vokal itu dapat didahului atau diapit oleh konsonan. Pemenggalan kata bagi ejaan pada kata terbitan dilakukan dengan cara memisahkan imbuhan daripada kata dasarnya, contohnya meng-a-rah. Manakala, sebutan bagi kata terbitan pada dasarnya menurut pola pemenggalan suku kata berdasarkan pola ejaan iaitu, VK-, KV- dan KVK. Namun, bagi beberapa bentuk terbitan dengan awalan tertentu, terdapat cara sebutan yang bervariasi contohnya, [me.nga-rah], [daun]. Contoh: ma-kan-an (pemenggalan suku kata) ma-ka-nan (pemenggalan sebutan) ba-yar-an (pemenggalan suku kata) ba-ya-ran (pemenggalan sebutan) Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 12.02.2018 |
saya menghadapi beberapa kemusykilan tentang penggunaan kata pemeri. Merujuk tatabahasa dewan edisi ke-3 2008, subtopik 9.2.3.5 , berkenaan kata pemeri hanya ada dua iaitu adalah dan ialah. Bagaimana dengan kata 'merupakan' yang digunakan termasuk dalam teks rujukan buku ini dalam halaman 262 perenggan ke 2 dr bwh dan hlmn 444 perenggan atas. Bukankah perkataan 'merupakan' ialah bentuk kata keja transitif bukanya kata pemeri. sila bantu saya untuk memastikan perkara ini. | Puan Aina, Menurut tatabahasa bahasa Melayu kata pemeri ialah adalah dan ialah. kata merupakan ialah kata kerja. dan bukan kata pemeri. Dalam penggunaannya kata pemeri tidak boleh diikuti dengan kata kerja. Oleh itu frasa adalah merupakan tidak boleh digunakan. Dalam halaman yang saudara nyatakan perkataan merupakan itu memang bukan kata pemeri. Makna perkataan merupakan adalah seperti yang berikut : 1. membentuk (membuat, menjadikan) supaya mempunyai rupa, memberi rupa: peti rahsia itu dirupakan buku; 2. melahirkan, menggambarkan, mewujudkan: malaikat Jibrail dirupakan seorang yg cantik dan diberi bersayap; 3. menjadi, membentuk: rancangan hendak memindahkan ibu negeri ~ projek yg terpenting; getah ~ 40% drpd pendapatan negara Malaysia; 4. ki melambangkan, melukiskan, menggambarkan: Pak Kadok dan Lebai Malang ~ manusia yg dungu tetapi sebenarnya mempunyai daya berfikir; ulasan itu ialah perkataan yg ~ fikiran yg dibuat drpd satu-satu alasan; ~ diri a) menampakkan dirinya spt (menjadi), membuat dirinya berwujud, menjelma: Puteri Gunung Ledang ~ dirinya spt perempuan tua; ia dapat ~ dirinya spt harimau; b) berlagak (berlaku dll) sbg: dgn ~ dirinya sbg seorang tukang sapu longkang, pegawai polis itu berjaya menangkap pemeras wang itu; | Tatabahasa | 06.10.2010 |