Bagaimanakah menggunakan tanda sempang dalam kata ganda? | Dalam bahasa Melayu, terdapat 3 jenis penggandaan, iaitu: i. penggandaan penuh ii. penggandaan separa iii. penggandaan berentak. Tanda sempang digunakan dalam semua kata ganda kecuali kata ganda separa yang melibatkan kata dasar tunggal. Penggandaan separa yang berlaku pada kata dasar tunggal lazimnya melibatkan pengulangan suku kata pertamanya sahaja dan letak gandaannya pada bahagian sebelum kata dasar. Vokal dalam bentuk gandaan itu mengalami proses pelemahan menjadi vokal e pepet, contohnya: laki ---> lalaki --- >lelaki siku ---> sisiku ---> sesiku jari --- > jajari --- >jejari Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau buku Kata Ganda Bahasa Melayu: Tinjauan Bentuk Berdasarkan Data Korpus . Terima kasih. | Tatabahasa | 08.02.2009 |
Wujudkah kata ganda untuk perkataan berikut: i) mak cik ii) pak cik Difahamkan kedua perkataan tersebut harus dieja seperti yang tertera di atas. Jika wujudnya kata ganda, adakah ia akan dicantumkan seperti contoh; makcik-makcik & pakcik-pakcik? Terima kasih. | Mak cik dan pak cik lazimnya ditemukan dalam wacana tidak rasmi kerana dalam bentuk rasmi penggunaan yang betul ialah ibu saudara dan bapa saudara. Walau bagaimanapun sekiranya ada keperluan untuk menggandakan perkataan tersebut, ejaan yang betul ialah pak cik-pak cik dan mak cik-mak cik. | Ejaan | 10.03.2020 |
Saya amat keliru tentang jenis-jenis gaya bahasa. Soalan saya: i. Adakah kata ganda merupakan salah satu daripada gaya bahasa? kerana kebanyakan buku rujukan menyatakan kata ganda merupakan salah satu jenis gaya bahasa. Kalau betul, bagaimana pula dengan kata majmuk, kata nama, kata sendi nama, kata adjektif ? ii. adakah unsur bunyi seperti asonansi dan aliterasi merupakan salah satu daripada gaya bahasa? | Kata ganda ialah bentuk kata dan bukan gaya bahasa. Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga menyatakan bahawa kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata tersebut diulang keseluruhannya atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Manakala gaya bahasa ialah cara pemakaian bahasa. Gaya bahasa terdiri daripada pelbagai jenis seperti personifikasi, simile, metafora, aliterasi, hiperbola dan sebagainya yang sering digunakan dalam karya-karya sastera seperti sajak, cerpen, novel dan lain-lain. | Tatabahasa | 04.07.2015 |
Assalamualaikum..merujuk kepada buku teks Bahasa Malaysia Tahun 4 terbitan DBP, pada muka surat surat 146, ada dinyatakan tentang kata ganda SEPARA berimbuhan berserta contoh: berlari-lari (awalan), sayur-sayuran (akhiran), bersalam-salaman (apitan) dan beberapa contoh yang lain. (Sila rujuk lampiran fail yang saya sertakan) Saya ingin mendapatkan kepastian sama ada kata ganda SEPARA berimbuhan benar-benar wujud dan adakah bentuknya seperti yang tercatat dalam buku teks tersebut? TERIMA KASIH. | Merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. i. Penggandaan separa kata tunggal : laki menjadi lelaki, pohon menjadi pepohon. ii. Penggandaan separa kata berimbuhan berlari = berlari-lari kenang= kenang-kenangan kuning = kekuning-kuningan Sila rujuk halaman 77 untuk lebih lanjut.
| Tatabahasa | 03.10.2014 |
1. Bagaimana membuat kata ulang (jamak) bagi: i. Yang Berhormat ii. Yang Berbahagia iii. yang Mulia 2. Ada penulis yang mencantumkan penulisan kata perintah SEBARLUASKAN, ada pula yang menceraikannya, seperti SEBAR LUASKAN. Mana satu yang betul? Sejauh ini saya mencantumkan bentuk kata perintah TINDAKLANJUTI kerana mengikut rumus transfomasi ayat dasar. Mohon khidmad nasihat. | 1.Kata ganda bagi sapaan ialah Yang Berhormat-Yang Berhormat, Yang Berbahagia-Yang Berbahagia, Yang Mulia-Yang Mulia. 2. Sebar luaskan dieja berpisah, begitu juga dengan Tindak Lanjut,kecuali ada apitan awal dan akhir seperti menyebarluaskan. | Ejaan | 12.09.2008 |
1.Bagaimana saya hendak tahu bila hendak meletakkan (-) pada perkataan?Saya jadi confused sebab ada kata ganda yang kena letak tanda (-) dan ada juga yang tidak perlu. 2.Saya masih tidak memahami cara penulisan CAKAP AJUK CAKAP PINDAH dan saya kadang-kadang keliru dengan perbezaan CAKAP AJUK CAKAP PINDAH. | Mengikut Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia tanda sempang digunakan untuk i. menulis kata ulang, cth. anak-anak; pegawai-pegawai ii. menyambung suku kata kata dasar yang terpisah oleh penggantian baris, cth. menangguhkan penyelenggaraan pro- jek; iii. memperjelas ungkapan, cth. ber-evolusi dengan berrevolusi iv. merangkaikan huruf kecil dengan huruf besar, cth. anti-Rusia, hamba-Mu v. merangkaikan ke- dengan angka,cth. ke-3,ke-40 vi. merangkaikan angka yang menunjukkan tahun dengan akhiran -an, cth. tahun 80-an vii. menunjukkan hubungan setara atau rangkai kata istilah,cth. alat pandang dengar. Cakap ajuk ialah ujaran sebenar penutur yang lazimnya ditandai dengan intonasi atau tanda baca. Cakap pindah ialah ujaran tak langsung. Untuk keterangan lanjut tentang kata ganda dan cakap ajuk dan cakap pindah sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau buku-buku tatabahasa bahasa Melayu yang lain yang ada di pasaran. | Tatabahasa | 07.03.2009 |
Assalamualaikum, saya perlukan nasihat atas beberapa istilah sains berikut yang sepadan dengan istilah Bahasa Melayu. Baltimore virus classification Class I: double stranded DNA virus Class II: single stranded positive sense DNA virus Class III: double stranded RNA virus Class IV: positive sense single stranded RNA virus Class V: negative sense single stranded RNA virus Class VI: single stranded positive sense RNA virus with reverse transcriptase Class VII: double stranded DNA virus with reverse transcriptase 5′ (Five-prime) methylated cap 3′ (Three-prime) polyadenylated tail 5′ (Five-prime)-leader-untranslated region (UTR) RNA dependent RNA polymerase DNA dependent RNA polymerase DNA directed DNA polymerase RNA directed DNA polymerase Terima kasih | Sekiranya bersesuaian dengan konteks penggunaan puan, kami mencadangkan istilah-istilah yang berikut: Pengelasan Virus Baltimore: - Kelas i: Virus DNA bebenang ganda dua
- Kelas ii: Virus DNA bebenang tunggal deria positif
- Kelas iii: Virus RNA bebenang ganda dua
- Kelas iv: Virus RNA bebenang tunggal deria positif
- Kelas v: Virus RNA bebenang tunggal deria negatif
- Kelas vi: Virus RNA bebenang tunggal deria positif dengan transkriptase berbalik
Bagi mendapatkan padanan yang sesuai untuk istilah sains Kelas VII, mohon pihak puan untuk memberikan terjemahannya terlebih dahulu untuk kami semak dari segi bahasa. Puan juga boleh merujuk laman web prpm.dbp.gov.my untuk mendapatkan istilah yang bersesuaian. | Istilah | 04.04.2020 |
Mel Ahmad Bagaimana tentang tanda sempang - dengan 90-an, hamba-Nya | Penggunaan sempang i. kata ulang contoh anak-anak, ii. menyambung suku kata yang dipisahkan oleh penggantian baris,iii. memperjelaskan ungkapan,iv. merangkaikan huruf besar dgn huruf kecil, contoh hamba-Mu, pro-Malaysia, v. merangkaikan ke dengan angka, contoh, ke-125, ke-2000. vi. hubungan antara kata-kata pada rangkai kata setara tertentu atau istilah contoh alat pandang-dengar. Tanda sempang (-) juga digunakan dalam kata ganda tidak perlu dijarakkan. Ejaan yang dijarakkan ialah tanda pisah ( - ) seperti yang digunakan dalam ayat bagi memisahkan keterangan idea atau mengganti perkataan hingga seperti Jun - September. | Ejaan | 09.01.2017 |
Apakah perbezaan antara "orang kaya-orang kaya", "orang kaya-kaya" dan "orang-orang kaya"? Boleh terangkan setiap satu dari segi golongan kata? | Orang kaya bermaksud i. orang yang mempunyai banyak harta.ii. orang yang tinggi kedudukannya(pangkatnya,martabatnya). Kedua-dua perkataan ini tergolong dalam golongan kata kata nama. Makna pertama lebih bersifat umum dan yang kedua merujuk pada gelaran. Bentuk kata ganda bagi kata ini ialah orang-orang kaya. | Tatabahasa | 04.06.2008 |
Tentukan kata berikut sama ada kata nama tunggal atau kata nama majmuk: 1) UKM 2) Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 3) Kugiran 4) Pusat Perlindungan Hidupan Liar 5) Profesor Emeritus 6) Profesor Ir. Dr. Mohd Ali bin Hashim 7) Kuala Lumpur 8) Anugerah Hari Kemerdekaan Negara | Kata Nama dibahagikan kepada (i) kata nama tunggal, (ii) kata nam aterbitan, (iii) kata nama majmuk, dan (iv) kata nama ganda. Kata Nama Tunggal ialah perkataan yang terdiri daripada satu morfem bebas sahaja, dan perkataan yang demikian boleh masuk ke dalam ayat sebagai perkataan yang lengkap dan menjadi inti pada frasa nama. Contoh kata nama tunggal ialah yu, wanita, ADUN, Proton, Bernama, dan jentolak. Kata Nama Majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata nama majmuk dieja terpisah, contohnya guru besar, Leftenan Jeneral, temu duga, dan anak emas. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. | Tatabahasa | 26.03.2018 |