Memasak. ' Letakkan' sedikit garam dalam campuran bahan ini, atau 'masukkan' sedikit garam dalam campuran bahan ini, yanag mana betul. | Yang betul ialah 'Masukkan sedikit garam'. | Tatabahasa | 20.12.2007 |
apakah maksud peribahasa membuang garam ke laut dengan mencurah air ke daun keladi? adakah kedua-duanya sama maksud? | Peribahasa "Membuang garam ke laut" bermaksud menolong orang yang tidak perlu ditolong; atau berbudi kepada orang kaya. Peribahasa lain yang sama makna ialah memberi garam kepada laut atau memberi lauk kepada orang membantai. Mencurah air ke daun keladi bermaksud memberikan nasihat (ajaran dan sebagainya) yang tidak dapat meresap ke dalam hati. | Lain-lain | 09.05.2012 |
Salam sejahtera, Saya ingin meminta bantuan bagi ayat berikut: Hablur garam akan terbentuk daripada larutan tepu lampau apabila dituangkan ke/kepada/pada tempat penukleusan. Antara ke, kepada, dan pada, mana satukah penggunaan yang tepat? Terima kasih. | Salam sejahtera Hablur garam akan terbentuk daripada larutan tepu lampau apabila dituangkan ke tempat penukleusan. | Tatabahasa | 23.06.2016 |
apakah peribahasa yang sama erti dengan 1. hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih? 2.mencurah garam ke laut? | Dalam buku Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, peribahasa yang betul ialah "Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya", walau bagaimanapun tidak dinyatakan peribahasa yang sama makna dengannya. Peribahasa yang kedua ialah "Memberi garam kepada laut" dan peribahasa yang sama makna ialah "Umpama semut mempersembahkan paha belalang kepada raja". | Lain-lain | 08.09.2011 |
Penggunaan perkataan larut.. Gula dan garam larut di dalam air.. betulkah ayat ini? Adakah larut hanya boleh digunakan dengan kata nafi dan mesti menggunakan melarut di ayat di atas.. | Ayat tersebut betul kerana larut bermaksud hancur dan perkataan melarut juga betul dalam konteks ayat tersebut kerana melarut bermaksud menjadi hancur. | Makna | 07.08.2012 |
Salam sejahtera, Soalan saya ialah I Gula dan garam larut di dalam air. Adakah ayat ini betul atau salah... Adakah larut ialah kata kerja tunggal.. Boleh kah mendapat senarai kata kerja tunggal BM? Terima kasih. | Melihat kepada makna kata tersebut dalam Kamus Dewan, kedua-dua perkataan larut dan melarut betul dalam konteks ayat tersebut. Tidak banyak contoh kata kerja tunggal dalam buku Tatabahasa Dewan, antaranya ada, balik, datang, pulang, gagal dan hancur. Kebanyakan kata kerja tunggal bersifat tak transitif. Untuk maklumat lanjut, lihat halaman 150. | Tatabahasa | 01.08.2012 |
Kata hubung: Perbezaan antara kemudian dan lalu. Soalan:encik lim membuka pintu _____masuk ke dalam pejabatnya. Sayuran itu direndam dengan air garam ______dibasuh bersh-bersih. Dia mengasingkan buku itu ________disusun di atas rak. Nani mengambil buku latihannya ______disusun di atas rak buku. Minta tunjuk ajar,tq | Tidak ada rujukan yang khusus dalam pangkalan data kami tentang perbezaan antara kedua-dua kata hubung tersebut. Kata kemudian dan lalu digunakan bagi menghubungkan dua perkara yang berlaku berturut-turut, tetapi tidak ditemukan batas panggunaan atau pengkhususan bagi kedua-duanya. Melihat kepada aspek makna, kemudia bermaksud selepas sesuatu waktu dan lalu bermaksud yang sudah lepas. Berdasarkan aspek makna, kedua-dua kata hubung tersebut bertukar ganti dalam banyak keadaan. 1. Encik lim membuka pintu kemudian/lalu masuk ke dalam pejabatnya. 2. Sayuran itu direndam dengan air garam kemudian/lalu dibasuh bersh-bersih. 3. Dia mengasingkan buku itu kemudian/lalu menyusunnya di atas rak. 4. Nani mengambil buku latihannya kemudian/lalu menyusunnya di atas rak buku. | Tatabahasa | 09.04.2014 |
Saya ingin bertanyakan maksud perkataan: -AIR SIRIH NAIK KE KENING, AIR PINANG NAIK KE MUKA. -GARAM TAK MASIN ASAM TAK MARI, PECAH LIUR KECAP DIBIBIR, yang diambil dan diadaptasi daripada kumpulan mantera melayu ulit mayang - harun daud Terima kasih | Tidak ada maklumat tentang petikan teks tersebut dalam pangkalan data kami. | Lain-lain | 26.02.2015 |
maksud perkataan ulum | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat kata alum bermaksud 1. layu (Jw)2. sejenis garam sulfat berganda bagi natrium dan kalium(digunakan untuk membuat samak, bahan ubat,dll.),tawas. | Makna | 17.01.2008 |
Salam sejahtera, saya ingin bertanya lebih lanjut mengenai soalan yang saya ajukan terdahulu, mengenai penggunaan "kemudian" atau "dan kemudian" untuk merujuk kepada "and then". Laras teks bagi penggunaan kata tersebut merupakan teks berbentuk panduan seperti buku resipi atau manual. Contoh: Ayakkan tepung dan kemudian tambahkan garam klik setiap kekunci dan kemudian tentukan nilai kekunci tersebut. Dalam konteks di atas, adakah penggunaan "kemudian" sahaja sudah memadai untuk menerangkan maksud yang ingin disampaikan? Terima kasih. | Dan serta kemudian kedua-duanya kata hubung. Untuk menghasilkan ayat yang gramatis, gunakan salah satu daripada kata hubung yang tersebut. Ayakkan tepung dan tambahkan garam klik setiap kekunci dan kemudian tentukan nilai kekunci tersebut atau Ayakkan tepung kemudian tambahkan garam klik setiap kekunci dan kemudian tentukan nilai kekunci tersebut. | Tatabahasa | 29.05.2015 |