| Apakah perbezaan gelaran Dato' dengan Datuk? Adakah benar gelaran Dato' untuk darjah kebesaran yang diberikan oleh TYT atau Raja di setiap negeri. Manakala Datuk pula gelaran bagi mereka yang memperoleh darjah kebesaran daripada YDPA | Gelaran Dato' dikurniakan oleh negeri bersultan/beraja dan gelaran Datuk dikurniakan oleh negeri tidak bersultan/beraja atau Wilayah/Kerajaan Persekutuan. | Lain-lain | 28.01.2014 |
| Dato’ Ahmad akan menerima bintang kebesaran yang membawa gelaran datuk. Itulah gelaran kedua selepas dia menerima gelaran dato’ tiga tahun yang lalu. Adakah ejaan datuk dan dato’ dalam ayat ini tepat? | Ejaan gelaran dalam kedua-dua ayat perlu diselaraskan kepada Dato'. Berdasarkan kedua-dua ayat tersebut dapat menjelaskan bahawa pingat kebesaran yang diterima daripada negeri yang beraja. | Lain-lain | 13.01.2013 |
| Saya ada pertanyaan mengenai sapaan dalam gelaran di surat rasmi. Contohnya: (Dato'/Prof/Prof. Madya./Dr.). Soalan pertama, cukupkah sekadar sapaan bagi gelaran paling besar, iaitu (YBhg. Dato'/Prof/Prof. Madya./Dr.). Soalan kedua. atau perlukah ditulis setiap sapaan gelaran tersebut seperti ( YBhg. Dato'/ YBrs. Prof/ Tuan Prof. Madya./Tuan Dr.)? Soalan ketiga, yang manakah paling sesuai untuk Dr dan Prof. Madya? adakah Tuan atau YBrs.?Soalan terakhir, jika orang yang tiada gelaran, sapaannya ialah Tuan/Puan, jadi bagaimanakah perlu disekalikan dengan sapaan dengan orang yang ada gelaran? adakah begini? (YBhg. Dato'/ YBrs. Prof/ Tuan Prof. Madya./Tuan Dr./ Tuan/ Puan?). Terima Kasih | 1. Bagi individu yang mempunyai lebih daripada satu gelaran istana/kerajaan, pada kelazimannya hanya gelaran tertinggi yang digunakan dalam sapaan surat rasmi berserta dengan gelaran akademik, seperti YBhg. Prof. Dr. Ahmad bin Ali. Walau bagaimanapun, amalan ini bergantung pada ketetapan yang dibuat oleh empunya nama dan hal ini perlu ditujuk kepada pihak berkenaan. 2. Gelaran yang sesuai ialah YBrs. Dr. Ahmad bin Ali dan YBrs. Prof. Madya Ahmad bin Ali. 3. Susunan gelaran ialah YBhg. Dato'/YBhg. Datuk Prof/YBrs. Prof. Madya./YBrs. Dr./Tuan/Puan. | Lain-lain | 22.04.2022 |
| Apakah maksud terasul? Adakah ia bermaksud gabungan rujukan kehormat (DYMM, YAM dll) dan gelaran (Sultan, Tengku)? Apakah perbezaan kerabat damping dan kerabat diraja? Kenapa gelaran Permaisuri (dan gelaran isteri sultan-sultan) tidak diterjemahkan kepada Queen dalam bahasa Inggeris, sebaliknya gelaran ini dikekalkan dalam Melayu sahaja (cth. Tengku Permaisuri of Selangor), tetapi gelaran Raja Isteri di Brunei diterjemah kepada Queen? | Data istilah menunjukkan terasul ialah kitab panduan untuk menulis surat kiraman Melayu. Kitab ini menyediakan prinsip asas seni surat-menyurat Melayu, khususnya surat rasmi istana. Secara umumnya makna kerabat damping dan kerabat diraja ialah anggota keluarga diraja yang secara langsung mempunyai pertalian darah dengan raja/sultan. Perbezaan utamanya ialah kerabat damping merujuk kepada individu atau keluarga yang tidak berada dalam barisan utama pewarisan takhta. Untuk rujukan yang lebih rinci tuan disarankan mendapatkan sumber langsung yang sedang berkuat kuasa. Tentang terjemahan Queen bagi Permaisuri mana-mana raja boleh dikekalkan untuk penggunaan/laras umum. | Makna | 16.03.2025 |
| Assalamualaikum Mohon penjelasan berkaitan penggunaan panggilan kehormat/panggilan diraja di dalam penulisan buku terjemahan biografi. Saya agak keliru dengan kewajipan penggunaan gelaran kehormat tersebut memandangkan di dalam buku berbahasa Inggeris, gelaran tersebut tidak dinyatakan pun. Hanya nama disebut. Bolehkah jika gelaran kehormat tersebut tidak dinyatakan di dalam buku berbahasa Malaysia? Atau jika perlu dinyatakan, mohon dapat beri sedikit penerangan. 1. Contoh bagi penggunaan Tun Dr Mahathir, apakah setiap kali nama beliau dirujuk di dalam buku tersebut, harus disertakan bersama gelaran/panggilan kehormat beliau atau cukup dengan nama beliau sahaja, Mahathir? Bolehkah gelaran kehormat untuk Tun Dr Mahathir disebut sekali sahaja di dalam buku dan kemudian dirujuk sebagai Mahathir sahaja setiap kali diulang? 2. Bagi gelaran Sultan/Agong, contoh seperti Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah, perlukah disertakan bersama gelaran KDYMM Seri Paduka Baginda setiap kali disebut di dalam buku atau cukup dengan gelaran Yang di-Pertuan Agong sahaja? Mohon penjelasan. Terima kasih. | Gelaran dan nama penuh perlu dinyatakan pada setiap permulaan penulisan dalam setiap tajuk/topik dan bagi pengulangan, boleh menggunakan gelaran sahaja. Contoh: Tun Mahathir bin Mohamad ialah seorang doktor dan ahli politik. Tun merupakan Ahli Parlimen Langkawi. Begitu juga untuk gelaran Agong, perlu dinyatakan dahulu gelaran penuhnya dan boleh diulangi dengan Yang di-Pertuan Agong.
| Lain-lain | 13.10.2021 |
| Assalamualaikum, saya nak bertanya . Keturunan sebelah mak saya , yaitu kepada moyang saya ada gelaran Syed dan ada gelaran Syarifah . Tetapi moyang saya yang gelaran Syed nie berkahwin dengan orang biasa sehinggakan gelarannya dibuang . Kenapa boleh menyebabkan gelaran tu dibuang ya ? | Mohon maaf, soalan yang diberikan tidak berkaitan dengan bahasa, sastera, penerbitan dan korporat DBP. | Lain-lain | 12.03.2025 |
| Assalamualaikum.boleh bantu saya? Macam mana cara saya nak dapatkan istilah-istilah @ gelaran-gelaran salutasi rasmi dari peringkat tertinggi hingga ke bawah. | Untuk mendapatkan maklumat berkenaan, tuan boleh merujuk Surat Pekeliling Am Bilangan 4 Tahun 2014, Panggilan Hormat dan Kaedah Penggunaannya yang dikeluarkan oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa, JPM. | Lain-lain | 23.08.2021 |
| Assalamualaikum. Bagi individu yang mempunyai gelaran seperti YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. atau YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. , adakah perlu ditulis gelaran secara penuh tersebut pada surat rasmi iaitu di kata sapaan (sebelum tajuk) dan di dalam perenggan surat rasm? atau ada ringkasan gelaran yang boleh digunakan bagi gelaran/panggilan hormat yang panjang? terima kasih | Gelaran tersebut perlu ditulis secara penuh dalam surat rasmi. | Lain-lain | 07.02.2024 |
| assalamualaikum. saya mempunyai 12 orang adik beradik. kakak saya bercadang untuk memberi gelaran kepada kami semua bagi memudahkan anak-anak saudara kami untuk memanggil kami semua. jadi, apakan urutan gelaran yang sesuai? (contoh: along, angah,....) kerana kami kehabisan idea untuk mencari 12 gelaran. terima kasih | Dalam budaya Melayu, anak pertama sehingga anak kelapan ada gelaran yang khusus. Tidak ada pula gelaran untuk anak yang kesembilan dan kesepuluh. Namun, anak kedua bongsu dan yang bongsu ada gelarannya. Gelaran mengikut tertib ialah: 1. Sulung/Along @ Pak/Mak Long; 2. Angah @ Pak/Mak Ngah; 3. Alang @ Pak/Mak Lang; 4. Pandak/Andak @ Pak/Mak Andak; 5. Ateh @ Pak/Mak Teh; 6. Anjang @ Pak/Mak Anjang; 7. Hitam/Itam/Atam @ Pak/Mak Tam; 8. Muda/Uda @ Pak/Mak Uda. Anak kesembilan boleh dinamakan sendiri dengan gelaran yang sesuai. Saya cadangkan no.9. Ilan @ Pak/Mak Ilan. Adi bermaksud adik (dalam bahasa Brunei). Oleh itu saya cadangkan, no. 10. Adi @ Pak/Mak Adi. Yang kedua bongsu, dalam keluarga ini no.11. digelar Acik @ Pak/Mak Acik; 12. Bongsu/Busu @ Pak/Mak Busu/Usu. Ada juga sesetengah tempat menggunakan gelaran Enduk/ Mak Enduk yg bererti perempuan dan Wok/Mak Wok yang bererti manis manja. | Makna | 23.09.2011 |
| Assalamualaikum, Saya keliru dengan panggilan gelaran. Manakah yang betul bagi panggilan gelaran berikut? 1. Tuan Haji Dr. Ahmad bin Ali atau 2. Dr. Haji Ahmad bin Ali atau 3. Tuan Dr. Haji Ahamd bin Ali Harap mendapat penjelasan daripada Khdimat Bahasa kerana kekeliruan sering dihadapi di organisasi saya apabila melibatkan gelaran tersebut. Terim akasih. | Encik Rosli, Dalam penggunaan gelaran amalan biasa adalah dengan meletakkan gelaran tertinggi di hadapan. Walau bagaimanapun, ada kalanya pihak individu memilih bentuk yang disenangi oleh mereka, biasanya yang melibatkan gelaran seperti Dr. Prof. dsb. Bagi contoh yang diberikan ketiga-tiga bentuk digunakan. | Lain-lain | 22.10.2010 |