Salam, Harap berikan sedikit tip tentang penggunaan imbuhan "kan'. Saya perhatikan bahawa sama ada imbuhan itu ada ataupun tidak ada, perkataan masih berbentuk kata kerja. Jadi, saya sedikit keliru sama ada nak tambah "kan" ataupun tidak. Terima kasih. | Kata kerja tidak semestinya mempunyai imbuhan kerana kata kerja terdiri daripada empat bentuk, iaitu kata kerja tunggal, kata kerja terbitan, kata kerja majmuk dan kata kerja ganda. Kata kerja tunggal ialah kata yang terbentuk tanpa imbuhan. Contohnya, terbang. Kata kerja terbitan ialah kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan, sama ada awalan, akhiran, apitan atau sisipan. Contohnya, memasak, bukukan, membesarkan dan menggeletar. Kata kerja majmuk terdiri daripada rangkaian dua morfem bebas atau lebih. Contohnya, kenal pasti. Kata kerja ganda pula merupakan proses yang hanya menggandakan kata dasar tanpa melibatkan sebarang imbuhan. Contohnya, geleng-geleng. Berdasarkan bentuk kata kerja tersebut, akhiran -kan membentuk kata kerja terbitan. Golongan kata yang boleh bergabung dengan akhiran ini ialah kata nama, kata kerja tak transitif, kata kerja transitif, kata adjektif dan kata tugas. Akhiran –kan membentuk kata kerja transitif yang biasanya menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja yang menerima akhiran –kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat, iaitu dalam ayat pasif dan ayat suruhan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam beberapa imbuhan lain, iaitu meN-…-kan, beR-…-kan, mempeR-…-kan, di-…-kan dan dipeR-…-kan. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 143-223. | Tatabahasa | 28.06.2021 |
Pak Rahim (mengesat) peluh yang mengalir di dahinya semasa dia bertungkus-lumus di sawah padi. Mengapakah kita tidak boleh menggunakan "mengelap" ? | mengesat1. menyapu-nyapu atau menggosok supaya kering: budak itu menggeleng-geleng sambil ~ air matanya; ~ peluh; ~ darah; 2. bp menyapu-nyapu (menggosok) kerana membersihkan sesuatu (drpd habuk, kotoran, dll); mengelapmenyapu atau mengeringkan dgn kain lap dll, menyeka: dia berdiri seketika, kemudian ~ dahinya; tidak mengapa tumpah sedikit saya boleh lap; Berdasarkan makna yang diberikan di atas, apabila dipadankan dengan contoh ayat , menunjukkan kedua-dua kata tersebut boleh digunakan, namun yang lebih tepat dan biasa digunakan ialah mengesat. | Makna | 02.10.2009 |