Salam sejahtera, Encik, adakah ayat-ayat di bawah betul atau sebaliknya. 1) Pelbagai aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah perlu para pelajar sertai untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. 2) Para pelajar di sekolah itu sangat sayang akan Cikgu Hamzah yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab. 3) Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman akan diadakan oleh kami pada minggu hadapan. 4) Puan Ani menasihati anak-anaknya agar mencontohi akan kejayaan anak-anak Puan Ainun dalam pelajaran. 5) Saya tidak tahu mengapa Adik Induk duduk di samping ibu sejak dari tadi. 6) i) Kerja-kerja memperlebar lebuh raya itu sedang dijalankan dengan giat. ii) Saya yakin akan keikhlasannya dalam menjalin persahabatan dengan saya. iii) Kereta perkarangan rumah banglo itu mewah-mewah belaka. 7) Sejak daripada tadi pemuda itu termenung di situ. 8) Ali terpinga-pinga bila ditegur oleh lelaki yang bukan dikenalinya. 9) Beberapa orang kanak-kanak merupakan penduduk yang tertinggi sekali di kampung kami. | Ayat yang betul :1. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah perlu disertai oleh para pelajar untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. 2. Para pelajar di sekolah itu sangat sayang akan Cikgu Hamzah yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab. 3. Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman akan kami adakan pada minggu hadapan. 4. Puan Ani menasihati anak-anaknya agar mencontohi kejayaan anak-anak Puan Ainun dalam pelajaran. 5. Saya tidak tahu mengapa Adik Induk duduk di samping ibu sejak tadi. 6. Ayat ini betul. 7. Sejak tadi pemuda itu termenung di situ. 8. Ali terpinga-pinga apabila ditegur oleh lelaki yang tidak dikenalinya. 9. Beberapa orang kanak-kanak merupakan jumlah penduduk yang tertinggi di kampung kami. | Tatabahasa | 14.07.2008 |
Salam sejahtera, boleh tuan/puan beritahu saya apakah jawapan untuk soalan yang disertakan atau soalan tersebut langsung tidak mempunyai jawapan yang tepat. soalan: Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan cergas dengan betul. I Bersenam menjadikan otak kita cergas. II Dia bergiat cergas dalam bidang olahraga. III Kami berasa cergas setelah bekerja seharian. IV Suara budak itu memang cergas apabila berpidato. A. I dan II sahaja. B. I dan III sahaja. C. II dan IV sahaja. D. I, II, III dan Iv | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, makna cergas ialah: 1. bertenaga dan giat (bkn orang, tubuh, otak, dsb), aktif: Aminah kanak-kanak yg ~; 2. pantas, cepat: mereka bergerak ~ sebaik-baik sahaja diberi perintah; 3. banyak menjalankan atau terlibat dlm kegiatan dsb, giat, aktif: mengambil bahagian ~ dlm aktiviti sukan sekolahnya; sebuah jawatankuasa yg ~; 4. banyak kegiatannya menjual dan membeli (bkn pasaran saham); 5. (masih) mengeluarkan wap dan lahar (bkn gunung berapi), aktif: gunung berapi Etna masih ~. Berdasarkan takrifan tersebut, maka pilihan yang betul ialah ialah I, II, dan III. Untuk mengelakkan kekeliruan, saudara digalakkan merujuk penyedia soalan tersebut. | Tatabahasa | 24.06.2010 |
Saya ada satu cerpen, sekiranya di hantar kepada DBP untuk diterbitkan, adakah akan mendapat bayaran?Berapa bayarannya? Di ruangan manakah akan diterbitkan? Kepada siapa perlu di hantar cerpen tersebut. sekian. TQ | Tahniahl kepada sdr. berminat dalam bidang penulisan dan berjaya menghasilkan sebuah cerpen. Mudah-mudahan sdr. giat lagi berkarya dengan menghasilkan cerpen-cerpen yang bermutu. Berhubung dengan kadar saguhati atau honorarium (mengikut Surat Pekeliling Kewangan Bil. 2/2006) yang dibayar kepada cerpenis yang cerpen mereka disiarkan oleh pihak DBP adalah seperti yang berikut: i. Terbit di majalah a) Dewasa/umum = RM 300.00/siaran b) Remaja = RM 200.00/siaran c) Kanak-kanak = RM 100.00/siaran ii. Jurnal = RM 300.00/siaran iii. Tabloid = RM 100.00/siaran Karya sdr. boleh di hantar kepada Editor Dewan Sastera atau Editor Dewan Siswa atau Editor Dewan Pelajar (mengikut kategori cerpen), Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur. Selamat berjaya! Salam. | Lain-lain | 08.10.2008 |