Apakah "gitar", "gol", "gondol" dan "gila-gila" boleh di kategorikan sebagai simpulan bahasa? Sebagai contoh untuk perkataan "gitar", seperti ayat berikut, Model-model yang menjalankan persembahan fesyen itu semuanya berbadan bentuk gitar. "Gitar" disini membawa maksud bentuk badan wanita yang cantik. Mohon penjelasan DBP. Terima Kasih. | Untuk makluman tuan, simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna tertentu. Contoh perkataan yang tuan berikan bukanlah simpulan bahasa, sebaliknya ialah kata umum yang masih mengekalkan makna asalnya. Gitar dalam ayat tersebut masih bermaksud gitar dan tubuh wanita dalam ayat itu dikiaskan kepada bentuk gitar. | Tatabahasa | 07.11.2012 |
Saya ingin tanya ayat berikut betul salah. Trofi Olahraga Terbaik saya gondol dalam kejohanan sukan daerah. | Ayat tersebut betul penggunaan tatabahasa bahasa Melayu. | Tatabahasa | 30.07.2013 |
Apakah maksud dan asal-usul perkataan Toncit? Contoh ayat, "Jin pakai toncit". Terima kasih. | Kata "tonchet" telah terakam dalam Kamus Malay-English Dictionary (R.J Wilkinson, 1959) dengan maksud tuft or lock of hair; small queue; Hn. cf. kunchit, kunchir, kundai, chotet, konchet. Secara umumnya, makna "toncit" dalam ayat "Jin pakai toncit" bermaksud mempunyai secekak rambut yang dibiarkan panjang di kepala yang gondol atau botak, sama ada diikat tinggi atau berbentuk sanggul dan sebagainya. Dalam Kamus Dewan Perdana, terdapat kata "kuncit" yang bermaksud secekak rambut yang dibiarkan panjang di kepala yang gondol; kucir. Kata "kucir" pula bermakna secekak rambut yang dibiarkan tumbuh panjang di atas kepala yang botak; kuntung. Kata "kuntung" juga bermakna secekak rambut yang dibiarkan tumbuh panjang di atas kepala yang botak; kucir. Terdapat juga kata "tongset", kata berlabel kata klasik yang berasal daripada bahasa Cina (Kamus Dewan), dan bermaksud sanggul atau kundai. Kajian yang lebih lanjut adalah amat dialu-alukan. Bagi tujuan keselarasan ejaan, kata "toncet" atau "tuncit" adalah disarankan. | Lain-lain | 06.01.2022 |
1. Pengawas meminta para pelajar membetulkan barisan yang condong. Perkataan (condong) salah dan apakah kata adjektif yang patut digunakan untuk membetulkan ayat ini? 2. Bukit di Kampung Serdang mejadi (rendah) akibat proses pembangunan. Perkataan (rendah) salah dan apakah kata adjektif yang patut digunakan untuk membetulkan ayat ini? 3. Jika generasi kini terlalu mengagungkan budaya barat, kemungkinan besar budaya tersebut boleh (menahan) kemurnian budaya timur. (menelan) Betul? 4. Walaupun Ali anak angkat, namun ibu angkatnya mencurahkan kasih sayang (mengira-gira) terhadapnya. (tidak terkira) Betul? 5. Bermain sepak takraw merupakan aktiviti harian (semasa) para belia di Kampung Selamat pada waktu petang. Apakah perkataan yang patut menggantikan (semasa) 6. Warga emas itu terpaksa menjadi penghuni rumah kebajikan (semasa) anak-anaknya berjawatan tinggi. (sedangkan) Betul? 7. Penggunaan racun serangga tanpa kawalan (amat sangat) berbahaya jika racun tersebut meresapi sayur-sayuran. (Penggunaan amat sangat dibenarkan atau tidak?) | 1. Pengawas meminta para pelajar membetulkan barisan yang tidak lurus/bengkok/lengkung. 2. Bukit di Kampung Serdang mejadi gondol akibat proses pembangunan. 3. Jika generasi kini terlalu mengagungkan budaya barat, kemungkinan besar budaya tersebut boleh menjejaskan/menghapuskan kemurnian budaya timur. 4. Walaupun Ali anak angkat, namun ibu angkatnya mencurahkan kasih sayang tidak terkira terhadapnya. 5. Bermain sepak takraw merupakan aktiviti harian para belia di Kampung Selamat pada waktu petang. 6. Warga emas itu terpaksa menjadi penghuni rumah kebajikan sedangkan anak-anaknya berjawatan tinggi. 7. Penggunaan racun serangga tanpa kawalan amat/sangat berbahaya jika racun tersebut meresapi sayur-sayuran. Untuk menyemak penggunaan perkataan yang sesuai, sila rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak dicari. Untuk memastikan penggunaan kata penguat yang betul seperti dalam soalan ketujuh (7) rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 259. | Tatabahasa | 21.10.2011 |