Cikgu, saya ingin menanyakan bahawa adakah penggunaan -nya dalam merujuk objek tidak bernyawa adalah betul atau salah? Perhatikan contoh-contoh berikut: (-nya telah ditulis dengan semua huruf besar -NYA untuk memberikan penegasan) 1. Hadiah itu untuk ibu. HargaNYA mahal. 2. Apabila ejaan perkataan itu ditukarkan, maksudNYA juga akan bertukar. 3. (Dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 75) - Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaanNYA tetap terpisah. Pada pengetahuan saya, -nya hanya digunakan sebagai kata ganti nama ketiga untuk manusia. Apakah pandangan DBP? Saya memerlukan pandangan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rujukan dalam hal ini. Terima kasih DBP. | Dalam bahasa Melayu, tidak ada ejaan semua huruf besar perkataan ‘NYA’ untuk membawa penegasan. Bentuk –nya boleh hadir sebagai kata penekan dan kata pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh dalam ayat: Hadiah itu sesungguhnya sangat mahal. | Tatabahasa | 28.06.2014 |
Adakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"? Contoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri. Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama. Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri. Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Ia menjadi perkataan yang lewah dan berlebihan. Ia juga tidak menjadikan perkataan seolah-olah sebagai penegasan. Adakah betul pendapat saya? | Antara fungsi -nya ialah sebagai kata tugas, iaitu penegas dalam ayat seperti dalam contoh ayat yang tuan berikan. Kata -nya perlu hadir untuk melengkapkan ayat tersebut. Untuk lebih jelas sila lihat contoh yang lain seperti sesungguhnya pemuda itu telah difitnah sebelum ini. | Tatabahasa | 29.05.2020 |
Tuan, saya faham bahawa: Dalam frasa 'dengan teliti' , perkataan 'teliti' ialah kata adjektif. Dengan berdasarkan rumus tatabahasa, kata adjektif tidak boleh hadir selepas kata sendi nama. Untuk menangani masalah ini, panel penulis Tatabahasa Dewan telah memasukkan kata pembenda -nya sebagai kata tugas dalam bahasa Melayu.Kata pembenda :-nya :ialah kata tugas yang menjadikan perkataan yang bukan kata nama sebagai kata nama. Oleh hal yang demikian, frasa 'dengan teliti' perlu dibetulkan menjadi 'dengan telitinya'. Bagaimanakah pula dengan perkataan seperti berikut : 1. dengan berhati-hati atau dengan berhati-hatinya. 2. dengan tertib atau dengan tertibnya 3. dengan bersungguh-sungguh atau dengan bersungguh-sungguhnya Ribuan terima kasih diucapkan terlebih dahulu. | Penggunaan frasa yang betul ialah “dengan telitinya”, “dengan berhati-hati”, “dengan tertibnya” dan “dengan bersungguh-sungguhnya”. Dalam frasa “dengan berhati-hati”, kata pembenda tidak digunakan kerana perkataan “berhati-hati” bukan kata adjektif, sebaliknya kata kerja. | Tatabahasa | 30.06.2022 |
Adakah kata hubung "kerana" dapat diganti dengan "sebab" seperti berikut? 1. Dia tidak hadir kerana sakit. 2. Dia tidak hadir sebab sakit. | Encik Ong terima kasih kerana menghubungi KNBDBP.Kerana dijelaskan dalam kamus dewan sebagai --kata yg digunakan sebelum memberikan keterangan atau penjelasan yg menjadi punca (permulaan, alasan, dsb) sesuatu keadaan, kejadian, masalah, perbuatan dll, sebab, oleh sebab, lantaran: mereka berjaya ~ kecekapan dan usaha yg sungguh-sungguh; pertem puran berlaku ~ kedua-dua pihak tidak mahu bertolak ansur; dia marah ~ dihinakan orang; apa ~nya maka begitu apa mulanya (sebabnya) maka begitu; ~ apa sebab apa; ~ Allah a) menurut kemahuan (perintah) Allah; b) dgn percuma (tidak menuntut apa-apa bayaran), utk mendapat pahala sahaja; oleh ~ = dari ~ disebabkan oleh, kerana. manakala sebab pula dijelasakan seperti ini - -yg mengakibatkan sesuatu, fasal, kerana, lantaran, mula: doktor dapat mencari ~ penyakit itu; ia dipecat ~ malas; oleh ~ kerana; ~-musabab berbagai-bagai sebab; Dalam ayat yang tuan berikan kedua-dua perkataan itu boleh saling berganti. | Tatabahasa | 11.07.2009 |
Salam sejahtera. Mohon jelaskan soalan-soalan yang dilampirkan. Terima kasih:) | LAMPIRAN: Dewan Bahasa dan Pustaka.docx Salam sejahtera 1) Penggunaan dia dan -nya dapat dibezakan melalui ayat berikut. Apabila dia (sebagai ganti nama) kembali ke kampungnya (ganti nama) setelah sepuluh tahun meninggalkan kampung tersebut,dia amat terperanjat dengan pelbagai perubahan yang berlaku. Berdasarkan penerangan di atas, adakah”-nya” bermaksud “dia punya”? Sekiranya benar, adakah penggunaan “-nya” dalam ayat di bawah betul? 1 1. Saya memberikan hadiah itu kepadanya. 2. Dia telah membeli beberapa buah buku yang disukainya. 3. Katanya, masalah ini harus diselesaikan dengan segera. 2 2) Adakah kenyataan berikut betul? Kata hubung seperti jika, kalau, jikalau dan sekiranya mempunyai maksud dan penggunaan yang sama dan digunakan untuk menunjukkan syarat yang harus dipenuhi untuk mencapai atau melakukan sesuatu perkara. Kata hubung seperti andai kata dan seandainya pula digunakan untuk menerangkan peristiwa yang dianggap mungkin terjadi. Berdasarkan contoh ayat yang diberikan, semua penggunaan kata “-nya” yang hadir dalam ayat tersebut berfungsi sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, bukan merujuk maksud kepunyaan individu. Bagi penggunaan kata hubung “jika”, “kalau”, “jikalau”, “andai kata” dan “seandainya” yang hadir dalam ayat boleh berfungsi untuk menyatakan syarat, harapan, andaian, menyatakan kemungkinan sesuatu akan berlaku dan sebagainya berdasarkan konteks pengunaannya dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman: 253 – 254 dan Kamus Dewan Perdana, halaman: 93-94 dan 903. | Tatabahasa | 12.11.2024 |
1. Adakah penggunaan perkataan 'antaranya @ antara' boleh hadir di pangkal ayat? Contoh ayat; Antara langkah-langkah membanteras gejala rasuah adalah..., Antaranya ialah... 2. Adakah penggunaan perkataan 'ia' boleh digunakan untuk merujuk kepada sesuatu tajuk? Contoh ayat; Bergotong-royong merupakan salah satu cara untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Secara tidak langsung, ia akan memastikan kerjasama dalam masyarakat terjalin erat. | 1. (i) Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (ii) Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah ... (iii) Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik, yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. (iv) Kata sendi nama antara boleh juga diikuti bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu, jauh perbezaannya. (v) Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara kita, jauh berbeza. 2. Ia, kata ganti nama diri ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan. Penggunaan "ia" menggantikan benda/subjek (bukan binatang) yang dibicarakan adalah betul sama seperti penggunaan it dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada benda/subjek yang dibicarakan. | Tatabahasa | 23.08.2014 |
Dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 796), kata 'ianya' dimasukkan/dirakamkan kerana kata ini hadir dalam penggunaan masyarakat penutur bahasa Melayu, khususnya dalam karya-karya klasik. Sila lihat contoh penggunaan kata 'ianya' yang diberikan dalam kamus ini. Bandingkan juga contoh penggunaan bagi kata 'ia'. Dalam kamus dewan perdana, contoh "ianya" juga merangkumi penggunaan ayat moden yang menyatakan itu ialah kata ganti diri bukan manusia walaupun sudah terang-terangan pakar bahasa menyatakan ianya ialah betuk bahasa yang salah, mohon pencerahan. Menteri itu mencadangkan ianya diseragamkan dengan kaedah penilaian barangan import. | 1. Pemasukan kata ianya berserta takrif dan contoh perkataan adalah bertujuan perakaman penggunaan kata tersebut. 2.Tatabahasa Dewan (DBP, 2008: 104) tidak menyenaraikan ianya sebagai kata ganti nama diri orang ketiga. Namun buku ini menyatakan kata ganti nama diri orang ketiga -nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda. 3. Nahu Melayu Mutakhir (DBP, 2009:91) menyatakan bahawa ianya merupakan ganti nama diri bukan manusia (kata nama abstrak) yang digunakan dalam teks-teks lama. Menurut buku ini lagi, kata ianya muncul semula dalam tahun 1960-an. 4. Analisis korpus terkini mendapati bahawa penggunaan kata ianya terdapat dalam teks moden yang ilmiah walaupun pengajaran di sekolah telah menyatakan bentuk ini adalah salah. Hasil analisis mendapati bahawa makna bagi kata ianya adalah seperti yang terkandung dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:796). | Makna | 26.08.2022 |
Salam tuan,selamat hari raya di sana! Saya ada dua soalan yang memerlukan penerangan tuan. 1) Mengapakah "teringat dengan" tidak boleh diterima? Ayat: Saya teringat dengan dia. 2) Adakah kata nama boleh ditambah -nya untuk menunjukkan kesan penekanan? Ayat: Suaminya di mana? ( "suaminya" di sini tidak merujuk kepada suami dia. Pemcakap cuma ingin berkata jodohnya belum ditemui lagi,jadi adakah "suaminya" betul?) Saya telah semak nota berkaitan kata pembenda,kata penekan. Namun saya tidak nampak sumber yang boleh membuktikan ayat itu benar. ----- Ayat yang biasa dengar,pelayan selalu akan sebut "semuanya dua puluh ringgit.". Adakah "semuanya" di sini betul juga? Adakah "semua" ialah kata adjektif membuatkannya betul? ---- Terima kasih tuan! | 1. Frasa “teringat dengan” atau ayat “Saya teringat dengan dia” tidak betul kerana kata sendi nama “dengan” yang terletak di hadapan kata nama atau frasa nama, hanya digunakan untuk membawa maksud seperti yang di bawah sahaja, iaitu: i. Membawa maksud bersama-sama atau berserta ii. Membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan iii. Membawa maksud memakai atau menggunakan, iaitu sebagai alat iv. Menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama Ayat yang betul ialah “Saya teringat akan dia”. 2. Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1546, perkataan “-nya” merupakan kata ganti nama diri orang ketiga yang ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya, seperti rumahnya, suaminya dan yang seumpama dengannya. Selain itu, kata ganti nama diri orang ketiga “-nya” boleh berfungsi sebagai penekan dan pembenda. Bentuk kata ini hadir selepas perkataan. Antara bentuk kata yang demikian ialah sesungguhnya, nampaknya, lajunya dan datangnya. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 104 dan 295-296.
| Tatabahasa | 11.04.2024 |
Tuan, mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, bukan : 1.=bukannya. Antara ayat, "Bukannya mudah hendak menyesuaikan diri dengan adat resam orang-orang di sana." dengan, "Bukan mudah hendak menyesuaikan diri dengan adat resam orang-orang di sana."; Adakah terdapat perbezaan dari segi penekanan maksud atau penekanan terhadap mana-mana (subjek atau objek) dengan menggantikan perkataan 'bukan' dengan 'bukannya'? Sekiranya ada, apakah yang ditekankan dalam ayat ini dan mengapa? Atau tiada apa-apa perbezaan langsung? Terima kasih. | Perkataan "nya" dalam konteks yang tersebut berfungsi sebagai penegas, boleh hadir atau digugurkan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 07.01.2015 |
Adakah ayat . Antaranya kita dapat menambah ilmu pengetahuan. Antaranya kita betul atau salah. | Perkataan "antara" berfungsi sebagai kata hubung dan hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Manakala, perkataan “-nya” dalam ayat tersebut berfungsi sebagai kata untuk menguatkan maksud. Ini bermakna, penggunaan “antaranya” di hadapan ayat tidak boleh digunakan, kecuali perkataan tersebut digunakan untuk menguatkan maksud sesuatu ayat. Contoh: Terdapat banyak cara untuk menjaga kebersihan, antaranya mandi dua kali setiap hari dengan menggunakan sabun. | Tatabahasa | 09.11.2020 |