1. Hai, apa khabar? 2. Hai, apa khabar! Yang manakah betul? | Ayat yang betul ialah "Hai, apa khabar?" | Lain-lain | 30.09.2022 |
Selamat malam, 1. Adakah perkataan "hai/ran" terbentuk daripada suku kata terbuka + suku kata tertutup ? kemusykilan saya ialah adakah bunyi diftong "ai" dianggap sebagai suku kata terbuka ? 2. Adakah perkataan "se/nang" dan "ta/rikh" terbina daripada suku kata terbuka dan suku kata tertutup ? Terima kasih. | Perkataan hairan, senang dan tarikh ialah suku kata tertutup. Diftong "ai" ialah suku kata terbuka. Untuk makluman, suku kata terbuka ialah suku kata yang diakhiri oleh huruf vokal, manakala suku kata tertutup ialah suku kata yang diakhiri oleh huruf konsonan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu, yang disusun oleh Encik Ismail Dahaman. | Tatabahasa | 21.01.2010 |
hai.. apakah penjodoh bilangan untuk 1 anak kunci sahaja Seen by Mohd Ridwan at 2:54pm sebentuk, sebuah atau sebiji anak kunci??? | Penjodoh bilangan untuk anak kunci boleh digunakan sebentuk atau sebatang. | Tatabahasa | 20.06.2017 |
Hai minta betulkan ayat di bawah : 1) Ali telah membentuk dirinya untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab. 2) Rasulullah memartabatkan wanita di tempat yang tinggi kerana ia mulia di sisi Allah. 3) Ani telah menguasai syarikat itu setelah ayahnya sudah meninggal. 4) Ali merupakan seorang yang tegas dalam kebersihan. 5) Menantu perempuan Eli juga mati semasa melahirkan anak. 6) Sebuah pusat latihan polis di Melaka telah membentuk pelajar untuk menjadi wira negara. 7) Tentera Rom telah menguasai salah satu daerah di Parsi setelah menumpaskan raja Hercules. 8) Kita perlulah membentuk sikap cemerlang di sekolah. 9) Allah yang menguasai segalanya. 10) Mesin itu berfungsi dengan baiknya. 11) Kanak-kanak perlu menguasai ilmu fardhu ain dari sejak kecil lagi. 12) Darah melambangkan nyawa. | Pihak DBP hanya memberikan khidmat nasihat bahasa kepada orang awam. Untuk soalan seperti di atas, sila betulkan dahulu ayat tersebut dan kemudian boleh dihantar kepada pihak DBP untuk penyemakan bagi jawapan/ayat yang betul. | Lain-lain | 13.07.2022 |
Hai, saya sedang mengumpulkan data untuk latihan ilmiah. Boleh saya tahu: 1. Apakah terjemahan yang sesuai untuk "Hot and Spicy"? 2. Yang manakah perkataan tepat untuk "lapangsasar" atau "lapang sasar"? 3. Adakah ayat ini betul "Dilarang masuk tanpa pihak berkebenaran"? | - Padanan terjemahan yang sesuai digunakan bergantung pada konteks dan penggunaan ayat ialah “Pedas dan Berempah”
- Perkataan yang betul ialah “lapang sasar”.
- Ayat yang betul ialah “Dilarang masuk tanpa kebenaran”.
| Penyemakan dan penterjemahan | 26.06.2022 |
Hai, nak tanya tentang kegunaan tatabahasa yang betul daripada 2 options di sini: 1 - Mengkhasiatkan Dunia dan Manusia Sejagat Dalam Setiap Peringkat Kehidupan atau 2 - Menyuburkan Planet and Manusia kita dalam setiap peringkat kehidupan Conclusinya, kami ingin menyampaikan mesej jenama susu khusus ini dapat membawa kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan kepada manusia, lebih-lebih lagi memberi kesan yang besar kepada manusia di bumi. Menantikan kemas kini anda tentang kerja segera ini dan terima kasih | Kami mencadangkan ayat yang berikut, jika didapati sesuai dengan kandungan khasiat susu berkenaan: “Memberikan nikmat kesihatan sejagat melalui nutrisi hebat bagi semua peringkat kehidupan” atau “Memberikan nikmat kesihatan sejagat melalui nutrisi hebat dengan aplikasi mantap bagi semua peringkat kehidupan”. | Tatabahasa | 27.02.2024 |
Hai, boleh saya tahu, apakah kata ganti nama diri ketiga untuk benda, majmuk? Contohnya ayat Bahasa Inggeris: 1) She loves them. The cats. 2) I eat them at his birthday party. | Kata Ganti Nama Diri Ketiga untuk Benda ialah itu dan ini. | Tatabahasa | 03.10.2022 |
Tuan/Puan, Saya berharap agar pihak tuan dapat (1)mencadangkan buku-buku yang berkenaan tatabahasa bahasa melayu, sejarah bahasa melayu dan juga sejarah kesusasteraan melayu. Hai ini demikian kerana saya sedang menjalani pengkajian tentang penjodoh bilangan BM. Dalam skop kajian saya, saya berharap dengan bantuan korpus yang dibekalkan oleh pihak tuan, saya dapat mangkaji masa wujudnya sesuatu penjodoh bilangan atau perubahan makna sesuatu kata sehingga berfungsi sebagai penjodoh bilangan.Tetapi pengetahuan saya tentang bahasa melayu terutamanya bahasa melayu kuno atao klasik adalah lemah. Dengan ini, saya berharap dapat melalui pembacaan dapat mengetahui bagaimana pakar bahasa membezakan bahasa kuno dan moden sehingga saya dapat mencari perbezaannya dari dua peringkat ini. (2)Soalan kedua adalah tentang translasi klasik melayu dan data yang dikumpul dalam korpus. Dalam pengetahuan saya, klasik melayu lama asalnya ditulis dengan tulisan Jawi. Saya tidak pasti sama ada dalam teks asal tersebut telah mengandungi penjodoh bilangan ataupun adalah akibat ditambah oleh penterjemah untu menyesuaikan nahu bahasa melayu standard. (3)Selain itu, karya yang dikumpul dalam korpus adalah edisi lengkap atau edisi ringkas? Bantuan pihak tuan didahului dengan ribuan terima kasih. | Tuan/Puan boleh merujuk buku-buku seperti Tatabahasa Dewan Edisi Keempat oleh Nik Safiah Karim et. al; Nahu Melayu Mutakhir Edisi Kelima oleh Asmah Haji Omar; Pelita Bahasa Melayu Penggal I - III (Edisi Baharu) oleh Zainal Abidin Ahmad (Za'ba); Ilmu Mengarang Melayu oleh Za'ba; Kitab Ilmu Bahasa Melayu oleh Za'ba, dan sebagainya. Tuan juga boleh merujuk buku-buku dalam Siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu seperti Gaya Bahasa Sastera Melayu oleh Umar Junus; Inskripsi Melayu Sriwijaya oleh G. Coedes (disunting dan diperkenalkan oleh Asmah Haji Omar), serta buku-buku sastera lama seperti Sulalat Al Salatin, Sejarah Melayu, buku-buku hikayat dan lain-lain. Semua buku ini adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Maklumat dan rujukan lain mungkin boleh didapati di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. | Lain-lain | 24.05.2011 |
Saya mahu bertanya berkenaan selepas tanda seru, huruf pertama perlu besar atau kecil? Contoh: 1) Lari! Lari! Ular hitam! Ada ular hitam! 2) Hai kawan-kawanku semua! kita binatang yang gagah dan cerdik. (Perkataan 'kita' perlu huruf besar atau huruf kecil?) | 1. Selepas tanda seru perlu huruf besar. 2. Jika perkataan "Kita" terletak pada awal ayat, ia perlu ditulis dengan huruf besar. Jika ia terletak pada tengah ayat, ia perlu huruf kecil. | Lain-lain | 11.06.2021 |
Salam, 1. Kenapa terjemahan dan padanan kata dlm kebanyakan kamus bahasa Inggeris-Melayu dan Google Translate dilihat tidak secekap dlm Kamus Online DBP - PRPM yg ada dlm terbitan DBP? Seolah-olah bahasa atau kosa kata dlm kamus Online DBP dilihat hanya hebat dan gah dlm kamus online itu semata-mata, bukan dlm semua terbitan kamus Inggeris-Melayu, bukan pula dlm Google Translate, malah bukan juga melalui penggunaannya dlm pertuturan sehari-hari. 2. Apakah peranan DBP dlm menyediakan maklumat, kemudahan, cadangan dan pembinaan bahasa Melayu dlm kemudahan "Google Translate"? dan kenapa terjemahannya juga banyak kekurangan dan kelihatan tiada kecekapan dan kekreatifan dlm istilah-istilah yg sedia ada dlm Melayu? tidak seperti bahasa Indonesia atau Melayu Riau yg kaya dgn kosa kata dan istilah. 3. Kenapa padanan kata "hello" dan "hi" dlm bahasa Inggeris hanya dipadankan dgn kata "helo" dan "hai"? sedangkan dlm masyarakat kita byk lagi kata yg dpt digunakan utk memadankan perkataan-perkataan itu spt "salam"; "selamat sejahtera"; "salam sejahtera"; "apa khabar"; "sejahtera" (singkatan drpd selamat sejahtera atau salam sejahtera); "jahtera" (singkatan drpd sejahtera, salam sejahtera atau selamat sejahtera); tabik (dlm masyarakat Nusantara); amboi (dlm peluasan makna kata selain makna lazim spt kata utk menzahirkan rasa kagum, hairan, kasihan atau utk mengusik, dsb.). Sekian, terima kasih! | 1. Terjemahan dan padanan kata dalam kamus bahasa Inggeris-Melayu (bukan terbitan DBP) dan Google Translate adalah terjemahan langsung berbeza dengan kamus dalam talian dalam PRPM yang kebanyakan kata dan istilahnya digubal bersama-sama pakar bahasa dan pakar bidang. Pemilihan padanan tersebut berbeza kerana penggunaan masyarakat dan pengguna bahasa mempunyai tingkat pengetahuan, sikap terhadap bahasa dan sumber rujukan bahasa yang berbeza. 2. DBP tidak mempunyai jalinan perkongsian data dengan Google Translate. Masih kurang penyumbang data dalam bahasa Melayu kepada Google Translate. Korpus penggunaan bahasa Melayu juga tidak seprolifik dan sekreatif penyumbang korpus bahasa Indonesia dan bahasa-bahasa lain di dunia. Keluarga Malaysia, khususnya orang Melayu perlu lebih banyak menulis dan menggunakan kata dan istilah dalam bahasa Melayu yang telah digubal. 3. Padanan kata hello dan hi dalam bahasa Inggeris hanya dipadankan dengan kata "helo" dan "hai" merupakan terjemahan langsung. Padanan ini boleh digantikan dengan perkataan lain seperti salam, selamat sejahtera, apa khabar dan sebagainya, mengikut kesesuaian konteks dan wacana yang ingin disampaikan kepada pembaca sasaran. Hal ini bergantung kepada kebijaksanaan dan kepekaan penterjemah untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada pembaca karya terjemahannya. Ada kalanya teks yang diterjemah tidak sesuai dengan kata padanan yang lazim digunakan dalam budaya masyarakat sasaran, maka terjemahan langsung lebih disarankan penggunaannya.
| Lain-lain | 02.08.2022 |