| Berdasarkan halaman 57 Pedoman Pembentukan Ejaan tentang penggunaan tanda sempang, cara menulis "kad ATMnya" dan "IDnya" akan menjadi "kad ATM-nya" dan "ID-nya". Mohon pengesahan, terima kasih. | Penggunaan tanda sempang untuk merangkaikan apa-apa kata lain yang dieja dalam huruf besar dengan apa-apa bentuk kata yang dalam huruf kecil, atau sebaliknya. Penggunaan tanda sempang, cara menulis "kad ATMnya" dan "IDnya" akan menjadi "kad ATM-nya" dan "ID-nya" adalah betul. | Tatabahasa | 27.01.2023 |
| Cikgu, saya ingin menanyakan bahawa adakah penggunaan -nya dalam merujuk objek tidak bernyawa adalah betul atau salah? Perhatikan contoh-contoh berikut: (-nya telah ditulis dengan semua huruf besar -NYA untuk memberikan penegasan) 1. Hadiah itu untuk ibu. HargaNYA mahal. 2. Apabila ejaan perkataan itu ditukarkan, maksudNYA juga akan bertukar. 3. (Dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 75) - Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaanNYA tetap terpisah. Pada pengetahuan saya, -nya hanya digunakan sebagai kata ganti nama ketiga untuk manusia. Apakah pandangan DBP? Saya memerlukan pandangan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rujukan dalam hal ini. Terima kasih DBP. | Dalam bahasa Melayu, tidak ada ejaan semua huruf besar perkataan ‘NYA’ untuk membawa penegasan. Bentuk –nya boleh hadir sebagai kata penekan dan kata pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh dalam ayat: Hadiah itu sesungguhnya sangat mahal. | Tatabahasa | 28.06.2014 |
| Boleh ke guna membawa'nya' sebab setahu saya 'nya' hanya boleh digunakan untuk manusia. Perlu tambah 'ke' sebelum pusat kitar semula sebab sudah ada 'ke' sebelum tempat pelupusan sampah? Mereka terlalu malas untuk menanam sampah sarap apatah lagi membawanya ke tempat pelupusan sampah atau ke pusat kitar semula. | Ayat yang betul ialah Mereka terlalu malas untuk menanam sampah sarap apatah lagi membawa sampah tersebut ke tempat pelupusan sampah atau ke pusat kitar semula. Kata sendi ke perlu diulang bagi menunjukkan tempat atau arah seperti yang diterangkan dalam Tatabahasa Dewan halaman 267. | Tatabahasa | 11.07.2014 |
| Dalam penulisan kreatif, adakah penggunaan "-nya" untuk merujuk kepada benda berbanding manusia dianggap tidak salah dalam bahasa Melayu? | -nya merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan hanya digunakan pada manusia. Selain itu, -nya juga berfungsi sebagai kata penekan dan pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya, seperti contoh ayat yang berikut: - Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis.
- Pokok durian itu nampaknya akan berbuah lebat.
Kata pembenda pula ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama, seperti contoh ayat yang berikut: - Lajunya ialah 100 km sejam.
- Datangnya secara mendadak.
Oleh yang demikian, penggunaan -nya tidak boleh digunakan bagi merujuk kepada benda. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 103 - 104 dan 295 - 296. | Tatabahasa | 20.09.2023 |
| Jika "nya" ialah kata ganti nama diri ke-3, apakah fungsi "nya" dalam ayat "Keterangan alat ialah unsur yang menerangkan perkakas atau benda yang digunakan yang bentukNYA terdiri daripada frasa sendi nama. Kata sendi namaNYA ialah dengan". Ayat ini dipetik daripada Tatabahasa Dewan Edisi ke-3. | Kata ganti nama diri orang ketiga –nya digunakan untuk merujuk manusia. Selain itu, dalam bahasa Melayu terdapat satu bentuk pascakata yang hadir selepas perkataan. Bentuk itu ialah –nya yang berfungsi sebagai penekan atau pembenda. Kata penekan ialah bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Kata pembenda ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Oleh itu, fungsi –nya dalam ayat pertama ialah kata penekan dan ayat kedua ialah kata pembenda. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2013), halaman 104 dan 295-296. | Tatabahasa | 06.12.2025 |
| bila masakah ganti nama "nya" dapat merujuk selain manusia? | Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda/penekan selain berfungsi sebagai kata ganti nama diri ketiga. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 295 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 02.12.2010 |
| Salam tuan,adakah penggunaan -nya di bawah ialah ayat yang gramatis? 1. Semuanya …… ringgit. Ayat tersebut biasa saya dengar apabila beli sesuatu. Saya telah semak Tatabahasa Dewan -nya ialah kata pembenda ataupun kata penekan. Saya rasa “semuanya” di sini memberikan penekanan kepada harga sahaja,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? 2. Suaminya di mana? Ayat tersebut telah saya dengar semasa tonton video. Seorang wanita berkata sedemikian dengan marah apabila ditanya ada suami ke tidak. Dia seorang yang belum ada jodoh. Saya rasa “suaminya” di sini,cuma memberikan penekanan kepada realiti bahawa dia tidak ada suami,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? | 1 “Semuanya … ringgit.” Kata ganti nama orang ketiga –nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda. Dalam ayat di atas, kata ganti nama –nya berfungsi sebagai penekan. 2. 2. “Suaminya di mana?” Dalam ayat di atas, -nya berfungsi sebagai kata ganti nama orang ketiga. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 103 dan 296. | Tatabahasa | 23.04.2024 |
| Assalamualaikum, Mohon penjelasan penggunaan pada dan kepada yang terdapat dalam ayat berikut: Allah menampakkan sedikit kesempurnaan-Nya yang tidak terhingga itu pada@kepada kewujudan insan kamil. Kepada @Pada insan kamil ini, Allah memperlihatkan ciptaan-Nya dan membahagikan kasih sayang-Nya. | Kata sendi nama pada menunjukkan keterangan waktu atau tempat, manakala kata sendi nama kepada untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Namun ayat contoh yang diberi tidak menunjukkan keterangan tentang waktu atau tempat dan juga sasaran. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 272 - 276. | Tatabahasa | 28.10.2011 |
| 1)Diperkenalkannya imbuhan Ke pascakata sebab ade nya..kalau merupakan imbuhan apitan di-kan...nya bertindak sebagai apa 2)kebergantungan..imbuhan awalan apa?ke ade dua imbuahan awalan.. 3)pertama adakah kata tugas..persoalannya boleh kah menjadi imbuhan awalan per+tama | 1. Imbuhan dipeR- ...-kan ialah apitan yang membentuk kata kerja pasif transitif, contoh ayat: Dasar Wanita diperkenalkan untuk membantu kaum wanita. "Nya" ialah kata ganti nama diri orang ketiga. 2. Mengambil contoh perkataan "kebergantungan", terbit daripada akar kata gantung, mendapat awalan beR- menjadi berguna dan menerima pula apitan ke-...-an. Dalam bahasa Melayu, tidak wujud apitan kebeR-...-an untuk menghasilkan bentuk kata seperti kebergantungan. 3. Kata tugas ialah unit yang tidak dapat berdiri sendiri yang memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Fungsinya sebagai penghubung, penerang, penguat, pendepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, dan pemeri. Contoh : dan, atau, wah, sila, maka, akan, sangat, pun, dan ialah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 91 - 93. | Tatabahasa | 07.08.2018 |
| Assalamualaikum. Mohon pencerahan sama ada penggunaan 'nya' dalam ayat ini betul: 'Telefon anda boleh dibuka kuncinya oleh orang lain jika telefon itu dihalakan rapat ke wajah anda.' Apakah fungsi 'nya' dalam ayat tersebut? Terima kasih. | Ayat yang betul: Kunci telefon anda boleh dibuka oleh orang lain jika telefon itu dihalakan rapat ke wajah anda. -nya merupakan kata ganti diri ketiga dan hanya boleh digunakan pada manusia (TATABAHASA DEWAN EDISI KETIGA halaman 103-104)
| Tatabahasa | 20.08.2019 |