| Apakah maksud peribahasa bagai sirih pulang ke gagang? Saya mohon tuan jelaskan mengikut penggunaannya yang sesuai dlm konteks ayat. Adakah peribahasa ini boleh digunakan untuk menggambarkan seseorang yg pulang ke kampung halamannya setelah pergi ke sesuatu tempat selama dua hari? Terima kasih.. | Peribahasa Sirih pulang ke gagang bermaksud kembali ke tempatnya. Ini bermakna penggunaannya perlu disesuaikan dengan konteks, bukannya sesuai pada semua tempat. | Lain-lain | 31.08.2016 |
| Salam dan terima kasih kerana membantu. Berkaitan dengan sesetengah aplikasi teknologi maklumat, istilah "wall" merujuk kepada bahagian atau halaman profil seseorang yang membolehkannya memaparkan peristiwa hidup, berita dan minatnya yang lain, serta menerima komen daripada pengguna lain. "Wall" ini boleh dilihat oleh sesiapa yang dibenarkan melawat halamannya. Apakah istilah yang sesuai untuk "wall" dalam konteks di atas? Bolehkah "dinding" diterima? Terima kasih. | Waalaikumussalam, Menurut istilah bahasa Melayu daripada bidang kejuruteraan, maksud wall ialah kulit; dinding atau tembok walau bagaimanapun dalam bidang sistem maklumat masih belum wujud terjemahan bagi wall. Mengikut contoh konteks ayat yang diberikan, terjemahan yang sesuai digunakan ialah paparan atau laman. | Makna | 28.11.2019 |
| Tuan,bolehkah penanda wacana hadir di permulaan ayat di karangan? | Penanda wacana boleh hadir pada permulaan ayat seperti namun, tambahan pula, di samping itu. Contoh ayat: Ali dan keluarganya berpindah ke bandar pada akhir tahun lalu. Namun hatinya masih teringat akan kampung halamannya. Untuk lebih menguasai aspek penanda wacana, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 524. | Tatabahasa | 30.01.2011 |
| salam, saya kurang faham penanda wacana. bolehkah ianya digunakan pada permulaan ayat. bagaimana pula dengan kata hubung ? adakah boleh kita gunakan pada permulahan ayat. | Suatu wacana yang utuh mempunyai dua ciri utama, iaitu tautan dan runtutan. Tautan bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Runtutan pula bermaksud kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan teks itu bermakna. Dalam bahasa Melayu terdapat lima jenis penanda wacana iaitu penanda penghubung, penanda rujukan, penanda penggantian,penanda leksikal dan penanda elipsis atau pengguguran. Penanda wacana boleh digunakan pada permulaan ayat seperti namun, tambahan pula, di samping itu. Contoh ayat: Ali dan keluarganya berpindah ke bandar pada akhir tahun lalu. Namun hatinya masih teringat akan kampung halamannya. Untuk lebih menguasai aspek penanda wacana, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 524-529. Kata hubung seperti dan, atau, tetapi, serta tidak boleh diletakkan pada permulaan ayat kerana kata hubung bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk. | Tatabahasa | 04.03.2010 |