| Apakah yang dimaksudkan dengan simbol ' ; ' . Bagaimanakah ingin menggunakan simbol tersebut? Seringkali saya terlihat simbol ' ; ' digunakan dalam puisi dan cerpen. | Mengikut buku Gaya Dewan Edisi Ketiga, tanda koma bertitik digunakan untuk: 1. Memisahkan dua atau beberapa klausa utama yang biasanya disambung dengan kata hubung "dan", "tetapi", "atau", "namun" dan "lalu". Contohnya: Membaca menambah ilmu; berfikir mempertajam akal; jadikanlah kedua-dua ini pegangan hidupmu. 2. Memisahkan klausa yang dimulai dengan kata hubung "juga", "walau bagaimanapun", "malah", "di samping itu", "oleh yang demikian". "sesungguhnya" dan sebagainya. Contoh: Harga barang di pasaran tidak turun; malah bertambah naik. 3. Memisahkan klausa-klausa yang terdapat dalam sesuatu ayat. Contoh: Karya ini menggunakan berbagai-bagai pendekatan; ada yang menghasilkan kembali analisis Za'ba, disesuaikan dalam buku teks; ada yang menerapkan teori-teori baharu. 4. Memisahkan klausa yang bersiri, yang berlainan kategori seperti: Kepada mereka yang selamat, diucapkan syukur; kepada mereka yang cedera, diucapkan sabar; dan kepada keluarga mereka yang gugur, diucapkan takziah. | Lain-lain | 31.12.2016 |
| Bagaimana menggunakan tanda titik koma dengan betul dalam ayat,bagaimana ingin membezakan tanda baca titik koma dengan tanda baca koma dalam ayat,mengapa tanda baca ini jarang digunakan dan sila nyatakan beberapa contoh ayat yang mengandungi tanda baca titik koma. | Dibetulkan istilah tanda baca, daripada 'titik koma' kepada 'koma bertitik'. Tanda koma bertitik (;) digunakan apabila: (a) memisahkan dua atau beberapa klausa dalam satu ayat. Contohnya: (i) Membaca menambah ilmu; berfikir mempertajam akal; jadikanlah kedua-dua ini pegangan hidupmu. (ii) Malam makin larut; kerja masih banyak. (b) memisahkan klausa induk daripada klausa atau frasa yang bermula dengan kata hubung juga, walau bagaimanapun, di samping itu, oleh yang demikian, sesungguhnya, dan sebagainya. Contohnya: (i) Harga barang-barang di pasaran tidak turun; malah bertambah naik. (ii) Antara pendekatan yang boleh digunakan termasuklah pendekatan psikologi; pendekatan androgogi; dan pendekatan sinergogi. (c) memisahkan klausa yang bersiri yang berlainan maklumat dalam satu ayat yang lengkap. Contohnya: kepada mereka yang selamat, diucapkan syukur; kepada mereka yang cedera, diminta bersabar; dan kepada keluarga mereka yang gugur, diucapkan takziah. Tanda koma (,) digunakan: (a) sebagai unsur pemisah. (b) sebagai unsur yang mengapit keterangan subjek, predikat atau objek. Contohnya: (i) Duit syiling itu jatuh, dan sebelum sempat dipungutnya, bergolek laju ke dalam lubang. (ii) Pagi tadi, sebelum datang ke sini, saya singgah sebentar di pejabat. (iii) Lima belas orang, termasuk dua orang wanita, telah menyertai bengkel itu. (c) mewujudkan ada perkataan yang telah dihilangkan. Contohnya: Saya mahu kopi. Dia, teh tarik. Tanda koma bertitik jarang digunakan, mungkin disebabkan pengguna kurang faham. Perbezaan penggunaannya tidak ketara, boleh menggunakan sama ada tanda koma atau koma bertitik untuk memisahkan beberapa klausa dalam ayat. Kecuali, jika dalam beberapa klausa ada penggunaan tanda koma. | Lain-lain | 04.03.2012 |
| salam, saya ingin bertanyakan tentang penggunaan tanda (:) dan penggunaan tanda (;). sebagai contohnya dalam tafsir ayat al-Quran. Maksudnya: Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.huma. menceritakan, Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila air mencukupi dua kolah nescaya air itu tidak akan menjadi cemar (atau kotor)”. Dalam lafaz hadis yang lain disebutkan; “… tidak akan menjadi najis”. boleh tuan/puan jelaskan dengan terperinci kegunaan kedua simbol (; dan :) ini. terima kasih. | Lazimnya tanda titik bertindih digunakan untuk memisahkan subjudul dengan judul utama buku, contohnya Ekonomi Kini: Prinsip dan Persoalan. Tanda koma bertindih pula digunakan untuk memisahkan dua atau beberapa klausa utama yang biasanya disambung dengan kata hubung dan, tetapi, atau, namun dan lalu. Contohnya Membaca menambahkan ilmu; berfikir mempertajam akal; jadikanlah kedua-dua ini pegangan hidupmu. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan. | Tatabahasa | 19.04.2012 |