| salam. saya sedikit keliru.ayat yang manakah yang betul. 1- hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas pesalah. 2- hakim menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah. andaian saya, ayat 2 lebih tepat kerana kepada digunakan untuk sasaran manakala ke atas menunjukkan kata arah. namun, kebanyakan berita, artikel dan naskhah2 ilmiah menunjukkan ayat 1 yang betul. | Puan Rohaizah, Kedua-dua penggunaan kata sendi nama dalam kedua-dua ayat itu betul kerana merujuk sasaran, iaitu manusia. Walau bagaimanapun, penggunaannya bergantung pada pengguna bahasa dan kebiasaan penggunaannya. | Tatabahasa | 24.02.2010 |
| daijatuhkan hukuman atau dijatuhi | Sila berikan ayat lengkap. Ayat "Pesalah itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah" salah dan yang betul ialah "Pesalah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah". | Tatabahasa | 05.03.2010 |
| Imbuhan me - i hanya digunakan untuk orang yang menjadi penyambutnya seperti menghadiahi ibu dsb. Bagaimana pula dengan di - i dan di - kan. Contoh : i) Penjenayah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati. ii)Penjenayah itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Adakah kedua-dua bentuk ayat tersebut betul atau salah satu sahaja yang betul? | Sdr. Suhaimi, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Kedua-dua ayat tersebut betul penggunaannya. Ayat yang sama juga dapat dilihat pada ayat yang berikut. Ahmad menaiki tangga dan Ahmad menaikkan tangga. Terima kasih. | Tatabahasa | 24.06.2009 |
| Bolehkah tuan terangkan penggunaan dan alasannya: 1a. dijatuhi 1b. dijatuhkan 2a. menjatuhi 2b. menjatuhkan 3a. tertarik oleh 3b. tertarik dengan 4a. membeli 4b. membelikan 5a. atau 5b. ataupun 6a. menghindari 6b. menghindarkan | 1. Perkataan "menjatuhi" diikuti objek bernyawa seperti Hakim menjatuhi pesalah hukuman gantung sampai mati, perkataan menjatuhkan diikuti objek tidak bernyawa seperti Hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah. Perkataan dijatuhi dan dijatuhkan ialah bentuk pasif perkataan menjatuhi dan menjatuhkan. Lihat contoh ayat pesalah dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan hukuman gantung sampai mati dijatuhkan kepada pesalah. 2. Frasa "tertarik oleh" dan "tertarik dengan", kedua-duanya sama maksud dan fungsinya. 3. Membeli bermaksud memperoleh barang dengan membayar, seperti "membeli kereta"; manakala membelikan bermaksud membeli untuk, seperti membelikan isterinya sebuah kereta. 4. Menghindari bermaksud menjauhkan diri daripada seperti ayat saya berusaha menghindarinya: dan menghindarkan bermaksud mengelakkan daripada seperti ayat Undang-undang telah digubal utk menghindarkan perbuatan rasuah. | Makna | 29.09.2014 |
| Tolong semak jawapan saya. Terima kasih. Tukarkan ayat aktif ayat pasif. 1.Beberapa orang pekerja sedang menebas semak samun di kiri dan di kanan lebur raya itu. Jwp: Semak samun di kiri dan di kanan lebuh raya itu sedang ditebas oleh beberapa orang pekerja. 2.Kini, kaum petani telah mengetinkan hasil buah-buahan setelah menjalani kursus industri kecil dan sederhana anjuran MARA. Jwp: Hasil buah-buahan telah ditinkan oleh kaum petani kini setelah menjalani kursus industri kecil dan sederhana anjuran MARA. 3.Saya telah menerima surat pelantikan sebagai jurulatih bola sepak pasukan sekolah kamu. Jwp: Surat pelantikan sebagai jurulatih bola sepak pasukan sekolah kamu telah saya terima. 4.Selain berbuat bising, pelajar-pelajar itu juga suka mengganggu guru yang sedang mengajar di dalam kelas. Jwp: Selain berbuat bising, guru yang sedang mengajar di dalam kelas juga suka diganggu oleh pelajar-pelajar itu. 5.Hakim telah menjatuhi ketua sindiket itu hukuman gantung sampai mati. Jwp: Ketua sindiket itu telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim. | Ayat pasif yang betul ialah: - Semak samun di kiri dan kanan lebuh raya itu sedang ditebas oleh beberapa orang pekerja.
- Kini, hasil buah-buahan telah ditinkan oleh kaum petani setelah menjalani kursus industri kecil dan sederhana anjuran MARA.
Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 483 hingga 493 dan 562 hingga 566. | Tatabahasa | 18.05.2026 |
| Salam sejahtera tuan. Saya ada beberapa pertanyaan. Adakah ayat-ayat berikut betul? Terima kasih. 1. Murid-murid yang ingin menimba ilmu haruslah banyak membaca bahan-bahan ilmiah secara konsisten. Adakah ayat ini betul? Terima kasih. Adalah penggunaan dua kata ganda tidak tidak dibenarkan dalam satu ayat? 2. Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja mengecat bangunan sekolah akan dimulakan pada cuti penggal yang akan datang. 3. Hujan yang turun lebat sejak pagi tadi kelihatan semakin reda pada petang ini. 4. Adik makan dengan seleranya sehingga perutnya kembung. 5. Ilmu yang kita cari sekian lama akan berkurangan sekiranya ilmu tersebut bukan kita amalkan dalam kehidupan seharian kita. 6. Ketua sindiket itu telah dijatuhi oleh hakim hukuman gantung sampai mati. 7. Abang menjangkakan perniagaan itu akan bertambah maju dalam jangka masa pendek. | 1. Ayat nombor 1 betul kerana dua kata ganda boleh digunakan dalam satu ayat. 2. Ayat nombor 2 betul 3. Ayat nombor 3 betul 4. Adik makan dengan berselera sehingga perutnya kembung. 5. Ilmu yang kita cari sekian lama akan berkurangan sekiranya tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. 6. Ketua sindiket itu telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim. 7. Ayat nombor 7 betul | Tatabahasa | 04.07.2021 |
| Boleh saya tahu apakah yang di maksudkan dengan "pegantungan"? Adakah ayat ini betul sekiranya; - Dadah membawa pegantungan fizikal dan psikologi ? Jika betul... Boleh tolong huraikan atau terangkan ayat tersebut? Terima kasih | Ejaan yang betul ialah pergantungan yang bermaksud 1. alat atau tempat utk menggantung; 2. tempat bergantung (mis orang yg dipercayai atau yg boleh memberikan pertolongan), tempat bersandar, tempat mengharapkan pertolongan; 3. perihal (perbuatan, sikap) bergantung (pd sesuatu): jelaslah ~ pd beberapa barangan utama akan terus menjejaskan ekonomi negara. Ayat yang betul ialah Pesalah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah. | Tatabahasa | 07.02.2010 |