Sejarah memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat kita agar dapat terus ____ ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Perkataan "melangkah" sesuai ?? | Antara maksud langkah ialah perbuatan/pekerjaan yang baru bermula. Jika ayat tersebut merujuk asas kepada perbuatan/perkara tersebut, maka perkataan melangkah boleh digunakan. | Tatabahasa | 17.08.2013 |
Minta Tanya, adakah kesalahan tatabahasa? 1) Reka cipta adalah satu proses yang boleh...... 2) ... dikawal ketat oleh polis marine. 3) Pelbagai iktibar dilakukan untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar-pelajar. 4) Cara mengguna pisau adalah dengan memegang... Terima kasih! | 1. Reka cipta ialah satu proses yang boleh... 2. ...dikawal ketat oleh polis marin. 3. Penggunaan perkataan "iktibar" tidak sesuai; boleh diganti dengan perkataan yang lain seperti "langkah", "cara" dan lain-lain. 4. Cara menggunakan pisau adalah dengan memegang.. | Tatabahasa | 18.03.2013 |
Saya seorang pesara guru. Jawatan terakhir saya ialah pengetua cemerlang. Saya telah menyiapkan autobiography saya setebal lebih 400 ms. Ia mengandungi pengalaman hidup saya semasa kecil di kampung dan sebagai guru hinggalah bersara. Saya menganggap buku ini sesuai dibaca oleh jenerasi muda sekarang ini dan lebih-lebih lagi untuk bacaan guru-guru juga untuk dijadikan iktibar. Bagaimana cara menentukan buku ini sesuai untuk diterbitkan? Adakah DBP bersedia menilai dan menerbitkannya? Saya bersedia menghantar skripnya bila-bilamasa. | Assalamualaikum, DBP bersedia menerbitkan judul yang berkenaan dengan syarat judul tersebut diserahkan kepada DBP untuk dibuat penilaian awal untuk melihat kesesuaian sama ada boleh diterbitkan atau tidak. Mohon kemukakan judul tersebut kepada: Ketua Editor, Bahagian Sains Sosial dan Kemanusiaan, Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Peti surat 10803, 50926 Kuala Lumpur. Terima kasih | Lain-lain | 02.04.2010 |
Salam sejahtera, 1. Apakah golongan kata bagi perkataan 'saran'? (Kamus Dewan (ed.4) tidak menunjukkan maklumat ini). 2. Antara definisi KD utk 'saran' (I) ialah 'cadangan' atau 'pendapat'. Saya andaikan definisi tersebut sama spt dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) utk 'saran' yg KBBI kategorikan sbg kata nama. Mohon klarifikasi dari pihak DBP sekiranya penggunaan 'saran' sebagai kata kerja dlm akhbar [contoh: 'TPM saran pelajar teroka bidang baru utk cipta kejayaan' (Utusan, 19/3/2010) atau 'Isteri PM saran ambil iktibar negara bergolak' (Utusan, 22/3/2010)] salah, betul, atau dibenarkan sbg kata kerja untuk tajuk berita. Sekiranya penggunaan 'saran' (dan bukan 'menyarankan') sbg kata kerja semakin popular, mungkin BM dapat menerima evolusi bahasa tersebut? Terima kasih. | Saran ialah kata nama bermaksud pendapat yang dikemukakan untuk dipertimbangkan atau usul. Perkataan menyarankan pula menjadi kata kerja yang bermaksud mengemukakan sesuatu pendapat; memberi saran; atau memberi usul. Ada kata kerja yang tidak memerlukan imbuhan seperti makan, minum dan tidur. Walau bagaimanapun dalam konteks ayat perkataan saran digunakan untuk laras bahasa akhbar sahaja tetapi penggunaan yang betul dari segi tatabahasa adalah dengan meletakkan imbuhan menjadi menyarankan. | Tatabahasa | 22.04.2010 |
Salam, Saya sedang menyediakan satu karya berbentuk puisi. Saya tidak pasti untuk mengkategorikannya. Saya turunkan sebahagian daripadanya di bawah ini: Kami perantau dari desa Menjejak kota mengisi dada Menimba ilmu mengasuh minda Menjadi perintis bahasa ibunda Menyahut seruan negara tercinta Membina jenerasi anak bangsa Kami perantau tiada nama Hidup susah serba sederhana Beranikan diri meredah dunia Mengejar cita-cita sampai jaya Membina hidup yang lebih selesa Membalas budi ibubapa dan negara Kami kini meniti usia Banyak bersyukur dengan yang ada Muhasabah diri membersih dada Mengenang yang lalu mengambil iktibar Memandang ke depan mengumpul bekal Mengisi usia yang masih tinggal Mohon bantun. Terima kasih. | Setelah meneliti karya saudara, ia memang sebuah karya puisi moden, iaitu sajak tentang kehidupan. Hanya cadangan saya, saudara perlu menulis puisi tersebut mengikut format yang betul, iaitu memecahkannya kepada baris demi baris supaya ia dapat dihayati oleh pembaca dengan baik. Syabas atas usaha saudara dan teruskan menulis. | Lain-lain | 10.11.2011 |