Salam 1Bahasa, 1. Apakah yang dimaksudkan dengan bahasa figuratif? Contoh ayat figuratif, bagaimana? 2. Ayat yang gramatis: Rakan-rakan guru diminta untuk menyalin nota itu. ATAU Rakan guru diminta untuk menyalin nota itu. Alasannya? 3. a) Sultan menamai tempat itu Melaka. (BETUL) b) Sultan menamakan Melaka untuk tempat itu. (SALAH) (Dipetik daripada Tatabahasa Dewan, halaman 394) Mohon penjelasan tentang perkara di atas. Terima kasih. | 1. Bahasa figuratif, bermaksud bahasa yang mengandungi makna perkataan, rangkaikata dan sebagainya yang bersifat abstrak dan imaginatif, berlainan daripada makna perkataan yang biasa, lazim dan harfiah, antaranya ialah ungkapan, frasa, perkataan yang memanfaatkann penggunaan bahasa kiasan, lambang, metafora dan sebagainya bagi menyatakan makna. 2. Kedua-dua ayat boleh digunakan. Rakan-rakan bermaksud banyak rakan dan rakan bermaksud rakan. Ayat lebih gramatis ialah "Rakan-rakan guru diminta untuk menyalin nota." 3. Berdasarkan muka surat yang dinyatakan, kekeliruan berkaitan Frasa Kerja dengan Dua Objek. Frasa kerja yang dibentuk oleh kata kerja transitif sebagai intinya boleh mengandungi dua frasa nama yang menjadi objek kepada kata kerja itu. Objek-objek ini mempunyai fungsi yang berbeza dan boleh disebut sebagai objek tepat dan objek sipi. Ayat ”Sultan menamai tempat itu Melaka” mempunyai hanya satu objek sahaja. Bagi ayat kedua, ”Sultan menamakan Melaka untuk tempat itu” merupakan ayat kurang gramatis kerana Melaka hanya berfungsi sebagai penerang kepada objek iaitu tempat itu dan tidak boleh dijadikan objek tepat. | Tatabahasa | 24.02.2013 |