penggunaan perkataan "pun" contonhya itu pun, lagipun, walaupun, dia pun, ataupun. Penggunaan yang mana betul? harus didekatkan atau dijarakkan ejaan pun itu? Apa bezanya di dekatkan atau di jarakkan? Rujukkan dalam DBP ada yang ejaan didekatkan ada ejaan yang di jarakakan untuk perkataan yang sama. | Pun sebagai kata penyerta dieja rapat seperti walaupun, meskipun dan kendatipun. Pun yang bermaksud juga dieja terpisah daripada kata sebelumnya seperti telah pun dan dia pun. | Tatabahasa | 18.01.2012 |
Kemarau panjang itu pun menyebabkan kebakaran yang dahsyat. Penggunaan "pun" dalam ayat di atas betul atau salah? Terima kasih. | Ayat yang diberikan mantap tanpa penggunaan partikel pun. Pun di sini membawa maksud juga. Pun tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 28.03.2013 |
Pak Mail dan isterinya datang ____ Kami sekeluarga sedang makan tengah hari. A. tatkala B apabila Apakah jawapannya apakah perbezaan tatkala dan apabila? | Tatkala bermaksud ketika (itu), pada masa (itu), waktu (itu): ~ itu anak miskin itu pun masuklah. Apabila pula bermaksud semasa, sewaktu, ketika, bila mana, apa kala: ~ ada harta si mati hendak dibahagikan, tentu sahaja ada pertelingkahan; dia semakin bimbang ~ melihat keadaan ibunya yg semakin tenat. Perkataan yang boleh digunakan ialah apabila. | Tatabahasa | 23.07.2013 |
TOYYIB Bagaimana ejaan betul jika nak guna perkataan toyyib? Adakah toiyib? Toyyib? Toyibban? Toyiban? Toiyiban? Saya faham ini perkataan Arab. Halal dan toyyib selalu diguna dalam artikel. Tapi saya kurang pasti ejaannya. Perkataan itu pun tiada dalam kamus. | Ejaan yang betul ialah "tayyib" iaitu mengikut transliterasi arab rumi. | Ejaan | 25.02.2021 |
Apakah maksud dipersembah dan dipersembahkan? Sila nyatakan kegunaaan dua perkataan ini dalam ayat yang lengkap. | Kata yang terakam dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 2025) ialah kata mempersembahkan dan dipersembahkan, yang diberikan takrif seperti yang berikut: mempersembahkan kata kerja transitif [kata pasif: dipersembahkan, persembahkan] 1 menyampaikan (sesuatu berita, surat dan sebagainya) dengan takzim dan penuh hormat; menyembahkan. Contoh penggunaan Maka menteri itu pun mempersembahkan hal tersebut kepada Betara Raden Merpati. Dengan segera perkara itu pun dipersembahkan kepada Sang Nila Utama. 2 bahasa kiasan menunjukkan atau menayangkan (tarian, filem dan sebagainya) kepada seseorang atau khalayak. Contoh penggunaan Pelajar mempersembahkan tarian tradisional masyarakat di Sarawak semasa program tersebut. Skrip drama yang telah ditulis akan dipersembahkan di atas pentas. | Makna | 30.10.2023 |
Apakah perbezaan antara "memuja" dan "menyembah"? | Perkataan "memuja" dan "menyembah" membawa maksud yang sama bergantung pada konteks dan konsep penggunaan dalam sesuatu bidang. Walau bagaimanapun, perkataan tersebut dapat dibezakan berdasarkan perbuatan pelaku. Contoh: 1. memuja: Ada kaum yang memuja berhala dan ada pula yang memuja matahari. 2. Hulubalang itu pun kembalilah dengan menyembah kaki Sri Rama dengan kemenangannya. | Makna | 12.12.2021 |
Saya ingin bertanya perihal perkataan 'pun'. 1) Adakah ianya boleh digunakan di akhir ayat seperti dalam ayat berikut: Di bilik itu tiada sesiapa pun. 2) Dalam ayat-ayat berikut, ayat yang manakah mengandungi kesilapan penggunaan 'pun'? i) Di bilik ini tiada sebuah pun kerusi. ii) Di bilik ini tiada sebuah kerusi pun. iii) Di bilik ini sebuah kerusi pun tiada. Terima kasih. | Kata penegas pun ditulis terpisah daripada perkataan yang mendahuluinya jika pun bermaksud: (a) juga - Adik pun ingin pergi ke pasar (b) bahkan - Berjalan pun dia tidak boleh, apatah lagi berlari. (c) biar - Betapa sukar pun projek itu, dia tetap akan meneruskannya. (d) menguatkan pokok ayat - Tidak ada seorang pun calon yang gagal dalam ujian itu. (e) turutan - Selepas itu, pasukan polis pun bertindak. (f) penguat kata ganti tak tentu - Sesiapa pun boleh masuk./Apa-apa pun boleh dibincangkan. Merujuk pertanyaan daripada tuan, cadangan jawapan adalah seperti yang berikut 1. Di bilik itu tiada sesiapa pun. (√) 2. Di bilik ini tiada sebuah pun kerusi (×) 3. Di bilik ini tiada sebuah kerusi pun (√) 4. Di bilik ini sebuah kerusi pun tiada (√) | Tatabahasa | 07.02.2019 |
Saya sudah menyemak Kamus Dewan mengenai perkataan 'pun'. Namun ada beberapa perkataan yang menggunakan perkataan 'pun' tidak ada dan saya keliru untuk menggunakannya, kerana ada yang dieja rapat dan ada yang dieja jauh daripada kata dasarnya. Misalnya, walaupun, sekalipun, walau bagaimanapun, meskipun (dieja rapat) dan belum pun, sudah pun (dieja jauh) Oleh itu, apakah formula yang perlu digunakan bagi memastikan sama ada perkataan itu dieja rapat atau jauh. Misalnya - walau apa pun / walau apapun walau bagaimana pun / walau bagaimanapun mahupun/ mahu pun dan lain-lain perkataan berbangkit. Diharap saudara atau saudari dapat memberikan formula untuk menentukan ejaan 'pun' | Ada 13 perkataan yang ditulis serangkai dengan kata partikel pun: adapun, ataupun, andaipun, bagaimanapun, biarpun, kalaupun, kendatipun, lagipun, mahupun, meskipun, sekalipun,sungguhpun dan walaupun. Walau bagaimanpun . Pun yang bermaksud juga ditulis terpisah dengan kata yang mengikutinya : apa pun, telah pun. | Ejaan | 11.03.2008 |
Tuan/Puan, Tolong beri nasihat sama ada PENGGUNAAN "DI" DAN "DI ATAS" dalam ayat-ayat berikut (saya cari dari korpus DBP) masih dikira betul dari segi tatabahasa sekarang? 1.Strategik merupakan satu daripada aspek yang penting dalam menentukan kejayaan usahawan untuk mengembangkan perniagaan tersebut di masa hadapan. 2.Kertas So'alan ini akan termasok: (a) so'alan2 di-atas buku2 yang di-tetapkan. (243) 3.Lampu2 letrik yang terpasang di-atas kepala-nya itu pun terasa bagiru malap sa-kali, sa-hingga tidak dapat menolong chahaya yang menerpa masok ... 4.hari sa-makin gelap bintang2 mulai timbul berkelip2 di-atas langit, udara sejok mulai menyelaputi rumah yang baharu sa-bentar di-alami oleh keganasan tentera facis-timor itu. 5. Dia berada di atas kapal/ Dia berada di dalam kapal? Sekian,terima kasih. | Untuk mendapatkan contoh penggunaan ayat yang tepat hendaklah merujuk buku Tatabahasa Dewan atau buku Tatabahasa Dewan (Edisi Sekolah Rendah). Korpus ialah rakaman data termasuk data lama dan mengekalkan bentuk kata dan ayat yang digunakan. Penggunaan ejaan, kata sendi nama "di" dan frasa "di atas" dalam contoh yang diberikan tidak tepat. Ejaan dan ayat dalam contoh yang diberi telah diperbaiki: 1. Strategik merupakan satu daripada aspek yang penting dalam menentukan kejayaan usahawan untuk mengembangkan perniagaan tersebut pada masa hadapan. 2. Kertas Soalan ini akan mengandungi: (a) soalan daripada buku-buku yang ditetapkan. 3. Lampu elektrik yang terpasang di atas kepalanya itu pun terasa begitu malap sekali, sehingga tidak dapat menolong chahaya yang menerpa masuk. 4. Hari semakin gelap bintang mulai berkelip-kelip di udara. Udara sejuk mulai menyelaputi rumah yang baharu sebentar diserang oleh tentera facis-timur itu. 5. Dia berada di dalam kapal. | Tatabahasa | 17.08.2015 |
Adakah perkataan "bias" diterima dalam BM? saya tak nampak rujukan tersebut dalam PRPM. terima kasih. | Perkataan bias ada terakam dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) dengan maksud seperti yang di bawah, iaitu: bias بياس [bi⋅jAs] ktt 1 (bkn hujan, perahu, cahaya dsb) memesong dr arah asal; membias: Maka Tun Telanai dgn kedua-dua buah perahu itu pun biaslah, jatuh ke Brunei. n 2 hujan, cahaya dsb yg terpesong dr arah asal; biasan: Bias cahaya terkepung di antara kaki Fujiyama dan pohon-pohon kayu yg kelihatan kebirubiruan di sebelah timur.Bias hujan merenjis cermin kaca. Kata-kata terbitan yang boleh terbentuk daripada bias ialah membias, membiasi, membiaskan, terbias, pembiasan dan pembias. Tuan/puan boleh merujuk Kamus Dewan Perdana untuk memperoleh maklumat yang selanjutnya. | Istilah | 25.07.2023 |