| bagaimana saya ingin membezakan penggunaan imbuhan diper- dan diper-kan contoh; jalan itu diperbesar atau jalan itu diperbesarkan, memper- dan memper-kan contoh ayat pihak tentera telah memperkuatkan kubu pertahanan atau memperkuat kubu pertahanan, pe-an dan per-an contoh ayat, pelantikan dan perlantikan, ada yang mengatakan per-untuk menunjukkan proses perkara itu dilakukan. 2. bagaimana untuk membezakan perkataan yang menggunakan imbuhan per- an dan pe-an. jika pihak tuan boleh menunjukkan proses /formula untuk membezakan penggunaan per-an dan pe-an, ramai yang keliru termasuk saya. | 1. Awalan diper- dan apitan diper-...-kan ialah bentuk pasif bagi kata kerja memper- dan memper-...-kan. Awalan mempeR- pembentuk kata kerja yang wujud hanya dalam satu bentuk. Dalam bahasa Melayu bentuk ini biasa juga dirujuk sebagai hanya awalan peR-. Namun demikian, dalam ayat aktif peR- tidak boleh wujud tanpa awalan meN- kecuali dalam ayat perintah. Bentuk ini berubah menjadi dipeR-dalam ayat pasif. Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 177 - 183. Apitan memper-...-kan Hanya golongan kata nama dan kata kerja yang boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan. Kata adjektif tidak boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan. Apitan memper-...-kan akan menghasilkan kata kerja pasif diper-...-kan. Rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 208 - 211. 2. Apitan pe-...-an dan peR-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran. Apitan peR-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat, seperti perkampungan dan perhentian. Apitan peR-...-an membentuk kata nama yang membawa abstrak, Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya seperti perakuan dan persengketaan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewa, halaman 126 - 129.
| Tatabahasa | 30.03.2014 |
| Saya pernah tanya satu soalan pada 25/7/2008: 1. Adakah frasa "bertanyakan saya tentang jalan ke Muzium Perlis" betul atau salah? Jawaban yang diberi oleh pihak DBP ialah '........bertanya saya tentang jalan ke Muzium Perlis' atau '....bertanyakan tentang jalan ke Muzium Perlis'. Saya kurang bersetuju dengan jawaban yang kedua yang diberikan. Hal ini demikian kerana selepas perkataan "bertanyakan" bukankah tidak boleh letak perkataan "tentang" kerana adanya imbuhan -kan di perkataan sebelumnya. Harap pihak berkenaan dapat memberi penjelasan tentang hal tersebut. Sekian, terima kasih. | Memang benar pendapat saudara. Pilihan jawapan yang kedua sepatutnya berbunyi begini: '....bertanya tentang jalan ke Muzium Perlis' | Tatabahasa | 03.11.2008 |
| Bolehkah saya tahu mana satu ayat yang lebih betul? Mengapa? 1) Ibu pimpin tangan adik semasa melintas jalan. 2) Ibu memimpin tangan adik semasa melintas jalan. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah Ibu memimpin tangan adik semasa melintas jalan. Perkataan memimpin dalam ayat tersebut merupakan kata kerja transitif, iaitu kata kerja yang menerima penyambut sesudahnya, yang disebut objek. Kata kerja ini terbahagi kepada dua, iaitu kata kerja dalam ayat aktif dan kata kerja dalam ayat pasif. Kata kerja transitif yang wujud dalam ayat aktif ialah kata kerja yang menerima awalam meN- dengan atau tanpa akhiran -kan atau -i. Awalan meN- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf seperti m, n, ny, l, w dan y. Termasuk dalam jenis ini ialah kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar berubah bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya, iaitu m bagi p, n bagi t dan ny bagi s. Contohnya pimpin menjadi memimpin. | Tatabahasa | 01.08.2021 |
| apakah perbezaan penggunaan imbuhan apitan meN...kan dan meN...i | MAKNA APITAN meN…kan - Berbuat sesuatu: membangunkan kawasan, menenggelamkan taman, memusnahkan hutan, mencemarkan bahasa…
- Menjadikan/menyebabkan sesuatu: membenamkan tubuh, memantulkan cahaya, menaburkan benih, melucutkan kain, membersihkan bilik…
- Bermanfaat: mendapatkan hadiah, menghadiahkan senyuman, memberikan bunga, mencantikkan rumah, melebarkan jalan…
APITAN meN…i - Apitan meN…i dapat membentuk kata kerja transitif daripada kata lain dalam pelbagai kelas.
- Awalan meN pada kata yang berapitan meN…i bertugas sebagai penanda ayat aktif.
- Akhiran i pada kata yang berapitan meN…i bertugas untuk menggantikan kata sendi akan, atas, di, … Contoh:
mengakui = mengaku akan/tentang mempercayai = percaya kepada - Oleh sebab itu, KS tidak boleh wujud selepas kata yang berapitan meN…i: mempercayai pada,* menguasai akan,* mencurangi akan,
* menghadiri di/dalam,* meragui terhadap,*…
| Tatabahasa | 13.06.2009 |
| 1.sata teramat gembira apabila ketahui khabar baik ini. adakah betul penyata ini? bolehkah teramat digunakan untuk bermaksud sangat? 2.dia melalui jalan itu atau dia lalu jalan itu? mengapa? 3.bahawa kegiatan samseng semakin berleluasa di sekolah adalah benar? adakah soalan ini salah dari segi ayat tergantung? 4.i)saya menghidangi tetamu makanan.(ii)saya menghidangkan makanann kepada tetamu. tetapi (iii) saya mengambilkan tetamu makanan. apakah beza ketiga-tiga ayat ini? apakah kontex kegunaan imbuhan me...i, me...kan? terima kasih atas bantuan yang dihulurkan | 1. Ayat itu betul, teramat gembira atau tersangat gembira. 2. Dia melalui jalan itu, kata kerja transitif perlu ada imbuhan me. 3. Ayat itu tidak lengkap. 4. Dua ayat itu betul, ayat ketiga sepatutnya Saya mengambilkan makanan untuk tetamu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 191 dan 202. | Tatabahasa | 12.05.2010 |
| Saya ingin tahu. Perkataan dalam Bahasa Inggeris, kalau (NAMA KHAS) khas adakah ianya perlu di italic kan atau tidak? Selain daripada (NAMA KHAS) saya rasa ia perlu di italic kan. BETUL ATAU TIDAK. Lihat petikan ini yang saya dapat dalam laman web DBP Minda Tertutup Memori Terhakis Dunia Bahasa, Pilihan Utama Penyokong PPSMI yang hingga kini enggan mengakui kalah, cuba mengelirukan penggubal dasar dan orang ramai tentang penggunaan bahasa Inggeris dengan penguasaan sains dan matematik. SOALAN: 1) Saya ingin tahu. Perkataan bahasa Inggeris. Mana satu penulisannya yang betul. (a) Bahasa Inggeris ATAU (b) bahasa Inggeri. Perkataan bahasa itu ( huruf besar atau huruf kecil). 2) Rujuk kepada sains dan matematik. Perkataan sains dan matematik itu semestinya huruf besar (a) Sains dan (b) Matematik. TETAPI dalam petikan web DBP ditulis dengan huruf kecil? Mohon penjelasan. terima kasih. (Rusli Kamaruddin) PA YB. Dato' Speaker Merangkap Ketua Pelapor Perbahasan Dewan Undangan Negeri PULAU PINANG. 04-2611955 | 1. Berdasarkan gaya penerbitan DBP, nama khas dalam bahasa Inggeris seperti nama tempat, nama orang, nama jalan, nama bangunan dan sebagainya tidak diitalikkan. Walau bagaimanapun, nama buku dan petikan ayat dalam bahasa Inggeris perlu diitalikkan. 2. Sekiranya perkataan tersebut merujuk kepada nama mata pelajaran, perkataan itu mesti bermula dengan huruf besar, iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Sekiranya tidak merujuk kepada nama mata pelajaran, huruf 'b' tidak perlu menggunakan huruf besar (bahasa Inggeris). Begitu juga dengan perkataan sains dan matematik, contohnya ahli sains dan ahli matematik. | Ejaan | 11.02.2012 |
| Apakah ada perbezaan di antara MERENTAS dan MERENTASI? | Kata dasar untuk perkataan tersebut ialah RENTAS yang membawa maksud lintang; garis(an) ~ garis(an) yg melintang; keratan ~ keratan yg melintang; merentas 1. meretas, membuka, memutuskan: kena balung ayam kenantan habis direntas taji ayam orang sebelah; 2. melalui atau menempuh (sesuatu kawasan), memintas, melintasi, menjalani: jalan raya yg ~ negeri itu sangat banyak; kita ~ padang yg penuh dgn lalang; berlari ~ desa; 3. merintis; ~ jalan a) merintis (membuka) jalan; b) memintas jalan; 4. ki mencakup atau merangkumi: bahasa Melayu kini mampu ~ semua bidang ilmu; rentasan garisan dll yg merentas: nilaian n dapat diperoleh dr ~ graf pd paksi melintang dan ~ graf pd paksi tegak; salah satu cara yg mudah sekali utk menggambarkan kontur ialah dgn melukis ~; perentas (Mat) garisan lurus yg memotong dua atau lebih garisan lurus; ® retas. (Kamus Dewan Edisi Keempat). Pengimbuhan ialah proses yang menggandingkan imbuhan dengan kata dasar. Proses ini menghasilkan perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan kedudukan imbuhan itu dalam perkataan. Empat jenis imbuhan ialah awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Perkataan MERENTAS dan MERENTASI ialah kata kerja terbitan yang mengalami proses pengimbuhan awalan dan apitan. Contoh: - Awalan kata kerja me- (me+rentas)
- Apitan kata kerja me-...-i (me+rentas+i)
Perkataan merentas dan merentasi membawa maksud yang sama, contoh penggunaannya: - Jejambat yang merentas/merentasi jalan kereta api itu penuh sesak.
- Dia merentas/merentasi padang yang penuh dengan lalang.
| Tatabahasa | 07.02.2019 |
| Apakah perbezaan di antara PENYENGGARAAN dan PENYELENGGARAAN. Contoh : Kementerian telah menyelenggara/ menyelenggara Jalan bagi tahun 2020 dengan kos sebanyak RM500 juta. Terima kasih | Kedua-dua penyenggaraan dan penyelenggaraan adalah betul dan mempunyai makna yang sama Penyenggaraan - perbuatan menyenggarakan, pengendalian, pengurusan; selenggara. (Kamus Dewan Edisi Keempat) Penyelenggaraan - perbuatan menyelenggarakan sesuatu, pelaksanaan, pengelolaan.
| Lain-lain | 25.07.2022 |
| Kerajaan telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk memperbaiki sistem jalan raya di negara kita. Adakah penggunaan kata kerja transitif memperbaiki dalam ayat di atas betul? Kalau tidak, tolong berikan jawapan yang betul dan jelaskan sebabnya. Adakah imbuhan memper....i tidak boleh dibubuhkan pada kata adjektif lagi? Terima kasih. | Bagi kata memperbaiki adalah lewah kerana perkataan tersebut seharusnya menerima awalan meN- atau memper-, apitan men-i atau apitan memper-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 211 untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 12.08.2010 |
| Salam Saya hendak bertanya, dalam bahasa Melayu adakah perkataan adangan dan teradang? Kata dasar perkataan ini ialah adang? Apakah maksud kata adangan dan teradang? terima kasih | Mengikut Kamus Dewan, perkataan “Adang” itu sendiri mempunyai beberapa maksud iaitu adang-adang penyekat (yg memisahkan, mengasingkan, dsb): tiap-tiap meja disekat dgn satu ~; ~ pintu penyekat di muka pintu; mengadang 1. = mengadangi menahan (seseorang) drpd dapat lalu atau masuk ke sesuatu tempat (dgn mendepangkan tangan, merintangkan sesuatu, dsb), menghalang(i), menyekat: Hamid ~nya di pintu, tidak mahu memberinya masuk; 2. menyekat laluan (di jalan raya): mereka ~ jalan dgn meletakkan tong-tong kosong; sebatang pokok yg tumbang ~ jalan dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas; 3. menunggu dgn tujuan hendak menyergap (menyerang hendap): merancang utk ~ musuh; 4. menuju, memaksudkan, menghadapi; 5. menempuh (bahaya, kesukaran, dsb); musuh jangan diadang, selisih jangan dicari prb pertelingkahan atau perselisihan janganlah dicari-cari; sungguhpun kawat yg dibentuk, ikan di laut yg diadang prb sungguhpun nampaknya tidak ada sesuatu maksud tetapi ada juga benda yg dituju; mengadangkan menggunakan sbg adang, merentangkan (sesuatu), mendepangkan (tangan): diadangkannya lengannya; pengadangan 1. tempat utk mengadang; 2. perbuatan mengadang; pengadang 1. penghalang, perintang (di jalan dll), sekatan; 2. orang yg mengadang (menghalang atau menyekat orang lain); 3. penyamun dsb yg mengadang (menunggu dan menyerang hendap). (Kamus Dewan Edisi Keempat). Saudara yang budiman, Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkataan andang, sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari" atau sila rujuk Kamus Dewan edisi Keempat. | Tatabahasa | 23.10.2018 |