1. Bagaimana membuat kata ulang (jamak) bagi: i. Yang Berhormat ii. Yang Berbahagia iii. yang Mulia 2. Ada penulis yang mencantumkan penulisan kata perintah SEBARLUASKAN, ada pula yang menceraikannya, seperti SEBAR LUASKAN. Mana satu yang betul? Sejauh ini saya mencantumkan bentuk kata perintah TINDAKLANJUTI kerana mengikut rumus transfomasi ayat dasar. Mohon khidmad nasihat. | 1.Kata ganda bagi sapaan ialah Yang Berhormat-Yang Berhormat, Yang Berbahagia-Yang Berbahagia, Yang Mulia-Yang Mulia. 2. Sebar luaskan dieja berpisah, begitu juga dengan Tindak Lanjut,kecuali ada apitan awal dan akhir seperti menyebarluaskan. | Ejaan | 12.09.2008 |
Pertanyaan penggunaan bahasa yang betul. i. Reka bentuk atau rekabentuk. Cth. Unit Rekabentuk ii. Orang Kurang Upaya atau Orang Kelainan Upaya iii. Rujukan pada kontrak/garis panduan. Cth. Menurut klausa 12 syarat-syarat kontrak. Penggunaan menurut atau mengikut? klausa atau perenggan atau para yang sesuai kepada kontrak/garis panduan? iv. kemudahan atau fasiliti. cth tanjakan aras (ramps)/ tandas OKU merupakan kemudahan atau fasiliti OKU v. kebolehaksesan atau aksesibiliti. Cth. akses kepada sistem. sekian, terima kasih. | 1. Ejaan yang tepat ialah reka bentuk. 2. Istilah yang ada dalam pangkalan data kami ialah "Orang Kurang Upaya" atau ringkasnya OKU. Kami maklum dengan perkembangan terkini, iaitu penggunaan "Orang Kelainan Upaya" yang seolah-olah menggantikan istilah OKU sebelum ini. Walau bagaimanapun, belum ada sebarang perubahan dan penggunaan "Orang Kurang Upaya" masih dikekalkan. 3. Rujukan pada kontrak/garis panduan - kedua-duanya boleh digunakan. 4. Menurut atau mengikut - kedua-dua perkataan ini boleh digunakan. 5. klausa atau perenggan atau para - kontrak/ garis panduan klausa dan perenggan sesuai digunakan manakala para merujuk kepada bilangan jamak seperti "para pelajar", para guru dan lain-lain. 6. kemudahan atau fasiliti - untuk maklum, kata facility diberikan padanan kemudahan dalam bahasa Melayu, tidak ada perkataan fasiliti dalam Kamus Dewan.Oleh sebab itu, gunakanlah perkataan kemudahan dalam penulisan tuan. 7. Istilah bahasa Melayu yang lain bagi accessibility ialah kebolehcapaian. | Istilah | 09.06.2017 |
Selamat sejahtera tuan/puan. Mohon pertolongan tuan/puan untuk menyatakan pilihan jawapan yang tepat berdasarkan pilihan jawapan di bawah. 1.Menteri-menteri besar ATAU menteri besar-menteri besar 2.Perdana-Perdana Menteri ATAU Perdana Menteri-Perdana Menteri 3.Kaki-kaki botol ATAU kaki botol-kaki botol Mohon penjelasan untuk setiap pilihan jawapan yang tepat. Terima kasih tuan/puan. Maaf untuk mengganggu | Menurut data kami, rangkai kata yang betul ialah i. Menteri-menteri Besar ii. Perdana-perdana Menteri iii. Simpulan bahasa kaki botol tidak sesuai untuk digandakan. Lazimnya untuk menunjukkan bilangan jamak boleh menggunakan kata bilangan. Contohnya sekumpulan, semua dan beberapa. | Tatabahasa | 03.09.2019 |
1. Adakah penggunaan perkataan 'antaranya @ antara' boleh hadir di pangkal ayat? Contoh ayat; Antara langkah-langkah membanteras gejala rasuah adalah..., Antaranya ialah... 2. Adakah penggunaan perkataan 'ia' boleh digunakan untuk merujuk kepada sesuatu tajuk? Contoh ayat; Bergotong-royong merupakan salah satu cara untuk mewujudkan masyarakat penyayang. Secara tidak langsung, ia akan memastikan kerjasama dalam masyarakat terjalin erat. | 1. (i) Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (ii) Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah ... (iii) Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik, yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. (iv) Kata sendi nama antara boleh juga diikuti bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu, jauh perbezaannya. (v) Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara kita, jauh berbeza. 2. Ia, kata ganti nama diri ketiga dan kata ganti benda yang dibicarakan. Penggunaan "ia" menggantikan benda/subjek (bukan binatang) yang dibicarakan adalah betul sama seperti penggunaan it dalam bahasa Inggeris yang merujuk kepada benda/subjek yang dibicarakan. | Tatabahasa | 23.08.2014 |
Apakah perbezaan antara ucap utama dengan ucaptama. Bilakah kedua-dua perkataan boleh digunakan? Apakah perbezaan perkataan antara dengan di antara? | 1. Ejaan yang betul ialah ucap utama. 2. Frasa sendi nama di antara digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat. Contohnya: i. Anak kecil itu duduk diam di antara ibu dengan bapanya. ii. Rumahnya terletak di antara dua bangunan tinggi itu. 3. (i) Kata antara yang berfungsi sebagai kata sendi nama boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan. Contohnya: Antara Fatimah dengan Rahmah banyak perbezaannya. (ii) Kata sendi nama antara biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang. Contohnya: Antara lagu persembahannya ialah ... (iii) Kata sendi nama antara hanya dapat diikuti kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik, yang membawa makna kumpulan orang dan sebagainya yang tertentu. Contohnya: Mereka berbincang antara adik-beradik. (iv) Kata sendi nama antara boleh juga diikuti bilangan tentu seperti dua, tiga, sepuluh dan sebagainya, kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, semua dan sebagainya, kata bilangan himpunan seperti kedua-dua, beratus-ratus dan sebagainya. Contohnya: Antara dua bangunan itu, jauh perbezaannya. (v) Kata sendi nama antara juga boleh diikuti oleh kata ganti nama seperti mereka, kita dan -nya. Contohnya: Antara kita, jauh berbeza. | Ejaan | 14.09.2011 |