| Bagaimanakah handak membuat pantun didalambahasamelayu | Untuk makluman saudara, serangkap pantun dibina oleh lima(5) ciri yang paling asas iaitu pembayang, maksud, rima akhir, jumlah perkataan dan jumlah suku kata. Contohnya seperti Pantun Empat Kerat ini. Pucuk pauh delima batu/Air sembilan di tapak tangan/Sudah jauh di negeri satu/Jauh di mata di hati jangan. 1. Pembayang merupakan baris pertama dan baris kedua pantun .Contohnya, Pucuk pauh delima batu/ Air sembilan di tapak tangan 2. Maksud pantun pula pada baris ketiga dan keempat pantun. Contohnya, Sudah jauh di negeri satu/ Jauh di mata di hati jangan. 3. Rima akhir (persamaan bunyi suku kata pada baris akhir pantun tersebut ialah ab,ab) 4. Jumlah perkataan dalam sebaris umumnya pantun 4 kerat terdiri daripada 3 perkataan sebaris, 4 perkataan sebaris dan 5 perkataan sebaris. Contohnya seperti pantun di atas. 5. Jumlah suku kata dalam baris pantun ialah antara 8-12 suku kata. | Lain-lain | 28.07.2010 |
| Ada pantun berbunyi: Bukan ringgit dipandang orang, budi bahasa rangkaian hati. Apakah maksud 'rangkaian hati'? | “Rangkaian hati” dalam pantun tersebut boleh membawa pengertian budi bahasa yang dipilih berbanding harta benda atau dibandingkan harta benda, budi bahasa itu jauh lebih bernilai. | Makna | 06.05.2020 |
| Apakah perbezaan dua perkataan ini (atau tidak ada perbezaan): 1) hati nurani 2) sanubari . Bagaimana menggunakan dua perkataan ini? Bolehkah tuan/puan menunjukkan 4 contoh ayat bagi “ hati nurani” dan 4 contoh ayat bagi “ sanubari? Terima kasih. | Mengikut Kamus Dewan Perdana, kata “sanubari” bermaksud: 1. pusat segala perasaan; hati Contoh ayat: “Jauh dalam sanubari Bahar, tertancap kekaguman yang amat besar kepada basir yang sangat elok peribadinya”. 2. perasaan dalam hati atau batin Contoh ayat: “Tidak ada cara yang tertentu untuk menyelami isi sajak yang lahir daripada sanubari penyairnya”. Kata “Nurani” pula membawa maksud perasaan dalam diri seseorang atau berkaitan dengan cahaya. Contoh ayat: “Persembahan M Nasir cukup memukau nurani penonton”. Untuk keterangan selanjutnya, sila rujuk Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. | Makna | 11.09.2023 |
| 1. "____tanda pengahargaan, terimalah sagu hati ini sebagai kenang-kenangan," kata pegawai daerah kepada seorang penduduk kampung. a. demi b. sebagai c. bagi d. di Jawapan yang akan saya pilih ialah b. jawapan yang di beri ialah c. Bolehkah tuan tolong terangkan? 2. Rumahnya ____ jauh di kawasan pedalaman. a. terlalu b. kurang c. agak d. sekali. Tuan, yang manakah satu ialah jawapan yang paling sesuai. tolong terangkan. sekian terima kasih | 1. "____tanda pengahargaan, terimalah sagu hati ini sebagai kenang-kenangan," kata pegawai daerah kepada seorang penduduk kampung. - Perkataan demi, sebagai dan bagi boleh membawa maksud untuk tetapi jawapan yang paling tepat ialah sebagai yang membawa maksud menjadi . 2. Rumahnya ____ jauh di kawasan pedalaman. Jawapan yang tepat ialah terlalu (terlampau) atau agak (anggapan), kurang - merujuk perbandingan dan sekali - merujuk penghabisan tidak sesuai digunakan dalam ayat ini. | Tatabahasa | 08.12.2009 |
| saya masih tidak berpuas hati mengenai jawapan yang di berikan berkaitan soalan saya yang bertarikh 1/04/2010. Adakah pihak dbp membuat perubahan terhadap penggunaan tanda baca koma dalam menghuraikan sesuatu perkara?. contohnya:warna na kegemaran saya ialah biru, merah, kuning dan hitam. saya mendapat jawapan seperti berikut: di rumah saya terdapat kerusi, meja katil dan almari. Jawapan tersebut ternyata jauh berbeza dari yang saya pelajari di sekolah. sila jelaskan. | Saudara Shahfizan, Bagi penyenaraian yang setara atau sama tanda koma tidak digunakan sebelum kata sendi nama dan. Contoh: Warna biru, merah, kuning dan hitam. Saudara boleh merujuk buku Gaya Dewan untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 10.04.2010 |
| Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Apakah perbezaan simpulan bahasa yang biasa ditulis di dalam surat permohonan/jemputan ini: 1. Rendah hati 2. Rendah diri Yang mana satukah lebih sesuai digunakan di dalam surat permohonan/jemputan? Maksud di dalam carian google tidak konsisten. Tetapi berkisar kepada rasa rendah. Secara umum, samada merendahkan kemampuan diri atau tidak sombong. Kedua-dua definisi ini digunapakai secara silih berganti. "Permohonan" dan "Jemputan" juga adalah dua situasi yang berbeza yang mungkin memberi implikasi kepada penggunaan dua simpulan bahasa yang tersebut. Mohon pencerahan. Terima kasih. Arnida | Wassalam, Mengikut Kamus Simpulan Bahasa Edisi Kedua, kedua-dua simpulan tersebut terakam dan membawa maksud yang tidak jauh berbeza. 1. Rendah diri = perasaan hina: "Orang yang hendak maju hendaklah hilangkan perasaan rendah diri". 2. Rendah hati = tidak sombong: "Walaupun berpangkat tinggi tetapi dia seorang yang rendah diri". Merujuk kedua-dua kamus ini, simpulan bahasa yang sesuai untuk permohonan dan jemputan ialah "Rendah Diri". | Lain-lain | 29.01.2019 |
| 1.saya nak tahu kenapa kita tak boleh guna'di kalangan'. 2.ejaan saguhati kenapa dia dekat 3.ejaan rekabentuk kenapa jauh. | 'Di kalangan' dan 'dalam kalangan' kedua-duanya boleh digunakan. Oleh sebab 'di' telah ditetapkan untuk menunjukkan tempat, maka lebih sesuai diguanakan 'dalam kalangan'. Ejaan saguhati dieja sagu hati. | Tatabahasa | 16.03.2008 |
| Tuan, saya selalu keliru dengan kata dari/daripada, seperti dalam ayat berikut yang manakah betul? (1)Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu DARI mulut Adi tanpa disedarinya. (2)Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu DARIPADA mulut Adi tanpa disedarinya. (3)Dia mahu mendengar sendiri DARI mulut Tina. (4)Dia mahu mendengar sendiri DARIPADA mulut Tina. (5)“Madihah…! Madihah…!” Panggilan DARI mama yang benar-benar membingitkan telinga Adi. (6)“Madihah…! Madihah…!” Panggilan DARIPADA mama yang benar-benar membingitkan telinga Adi. (7)"Kalau berubah bukan DARI hati tapi kerana seseorang, baik tak payah berubah.” (9)"Kalau berubah bukan DARIPADA hati tapi kerana seseorang, baik tak payah berubah.” (10)Berubah DARI perangai yang kasar kepada perangai yang lemah-lembut macam gadis-gadis lain. (11)Berubah DARIPADA perangai yang kasar kepada perangai yang lemah-lembut macam gadis-gadis lain. (12)Azeera duduk tidak jauh DARI mereka. (13)Azeera duduk tidak jauh DARIPADA mereka. (14)"Lokman, kalau nak berubah biarlah datang DARI hati yang ikhlas." (15)"Lokman, kalau nak berubah biarlah datang DARIPADA hati yang ikhlas." (16)Leman Rongak turut muncul tersengih-sengih DALAM mimpinya. (17)Leman Rongak turut muncul tersengih-sengih DI DALAM mimpinya. Terima kasih. | Dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Contohnya: Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu daripada mulut Adi tanpa disedarinya, Dia mahu mendengar sendiri daripada mulut Tina dan “Madihah, Madihah!” Panggilan daripada mama yang benar-benar membingitkan telinga Adi. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 268. | Tatabahasa | 19.05.2012 |
| Maksud lansung | Langsung bermaksud 1. tidak berhenti-henti (perbuatan dll), tidak berantara, lantas, terus: aku pun mengambil sebuah majalah Inggeris ~ membelinya; dr jauh menjunjung duli, sudah dekat ~ menyembah; 2. kekal (utk beberapa waktu), selama-lamanya, terus: aku fikir kalau engkau dan aku benci padanya, tentu dia tak pulang ~; 3. sedikit pun, sama sekali: anak bertuah ini, ~ tak boleh menolong orang; kadang-kadang ada bahagian untuknya, kadang-kadang tidak ada ~; 4. tidak menyimpang atau menyeleweng, tepat, terus: dlm menghadapi kesulitan ini, secara ~ atau tidak, hendaklah kita memberikan sumbangan dgn tidak mengharapkan pujian dan sanjungan; 5. tidak tergendala (pekerjaan dll), diteruskan, jadi: kedua-dua orang muda itu mempunyai harapan supaya pertunangan mereka itu boleh ~; ada orang yg sakit hati kalau perkahwinan itu jadi ~; 6. terlebih drpd matlamat (tujuan, sasaran, dll): ~ dr sasaran; | Lain-lain | 04.08.2010 |
| 1. betulkah ejaan "jawaban" sudah mengantikan "jawapan" yang selalu dipakai? 2. pembelajaran/pemelajaran- mana yang betul? 3. dipukul ombak/dipukul oleh ombak -soalan-adakah semua kata pasif ganti diri ketiga mesti diikuti oleh perkataan "oleh" ? 4. kita mestilah baik hati supaya sentiasa disukai./ disukai oleh kawan kita. soalan-seperti no. 3 | 1. Ejaan jawaban dan jawapan kedua-duanya betul, dalam proses pengimbuhan kata dasar jawab + -an menghasilkan kata terbitan jawaban, tetapi kita biasa menyebutnya sebagai jawapan.2. Pembelajaran atau pemelajaran, kedua-duanya betul memgikut konteks. Pemelajaran - perihal atau proses mempelajari. Contohnya: Pemelajaran bahasa Inggeris diberi perhatian yang serius. Pembelajaran ialah proses (kegiatan) belajar; Pembelajaran dan pemelajaran daripada kata dasar ajar. pembelajaran –proses (kegiatan) belajar, sementara pemelajaran- proses mempelajari-belajar utk mengetahui sesuatu dengan mendalam.3. Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. Contoh: Barang itu sudah diambil Ali semalam, sampah sarap dibakar ayah pada pagi tadi. Namun demikian, sekiranya binaan oleh + FN terletak jauh daripada kata kerja, maka oleh tidak boleh digugurkan. Contoh: Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali, sampah sarap dibakar pagi tadi oleh ayah.4. Dalam binaan ayat pasif, struktur oleh + frasa nama yang mengikuti kata kerja boleh digugurkan.Contoh lain: Dia dipukul oleh bapanya. => Dia dipukul. | Tatabahasa | 29.04.2011 |