Salam sejahtera..terlebih dahulu terima kasih atas jawapan-jawapan yang telah pihak DBP berikan terhadap persoalan-persoalan yang pernah saya kemukakan sebelum ini. Soalan saya mengenai golongan kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif yang tidak mempunyai imbuhan. Adakah perkataan "makan" dan "minum" golongan kata kerja transitif? contohnya: i.Dia minum.(Bolehkah ayat ini dipasifkan) ii. Dia minum air. iii. Dia minum di kantin. iii. Air diminumnya. (Adakah diminum bentuk pasif?) i.Dia makan.(Bolehkah ayat ini dipasifkan) ii. Dia makan roti. iii. Dia makan di kafeteria. iv. Roti dimakannya. (Adakah dimakan itu pasif) | Makan dan minum adalah kata kerja transitif. Ayat yang gramatis ialah 'Dia minum air' dan 'Dia makan nasi', kedua-dua ayat ini boleh dipasifkan. Dalam buku Tatabahasa Dewan, diterangkan ada tiga bentuk ayat pasif, yang lazim diketahui ialah ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif 'di' dan 'ke' (lihat halaman 489). Jika ayat aktif boleh diikuti oleh keterangan, begitulah juga dengan ayat pasif, contohnya: Dia minum air di kantin (aktif) boleh diubah menjadi Air diminum olehnya di kantin (pasif), contoh yang lain Dia makan roti di kafetaria (aktif), boleh diubah menjadi Roti dimakan olehnya di kafetaria (pasif). | Tatabahasa | 17.02.2011 |
Saya telah membaca jawapan tuan dalam Arkid Soalan tentang "sejak belakangan"/ "Sejak kebelakangan" / Kebelakangan ini. Saya mendapati jawapan-jawapan yang diberi berkontradiksi, yang mana satu yang betul? Sekian, terima kasih. | Kedua-duanya betul dan hendaklah digunakan mengikut konteks ayat yang betul. | Tatabahasa | 13.05.2010 |
Apakah beza makna (jika ada) antara silih berganti dengan bersilih ganti? Atau adakah salah satu sahaja yang gramatis? [Ruang Khidmat nasihat digunakan secara yakin oleh pengguna seperti saya. Malangnya, terdapat percanggahan jawapan yang amat ketara antara jawapan-jawapan yang diberikan. Tidak tekal.] [Kedua, saya bertanya melalui Khidmat Nasihat ini dengan harapan dimuatnaikkan ke dalam ruang tersebut kerana belum ada "posting"/pertanyaan sedemikian. Hal ini dapat membantu pengguna lain jika dicari menerusi ruang itu kelak.] Sekian, terima kasih. | Kata 'silih berganti' dan 'bersilih ganti' mempunyai makna yang sama, iaitu bergilir-gilir atau berganti-ganti. Kedua-dua kata tersebut betul dan boleh digunakan sebagai pilihan. Untuk makluman saudara, kami berusaha untuk memantapkan jawapan dalam Arkib Khidmat Nasihat Bahasa. Oleh kerana jumlah soalan yang agak besar (mulai September 2006 hingga kini) kami memerlukan masa untuk memurnikannya. | Tatabahasa | 09.02.2011 |
Saya menukarkan penjelasan audio menjadi teks bercetak. Mohon nyatakan istilah yang tepat untuk usaha itu, sama ada transliterasi/mentransliterasikan, transkripsi/mentranskripsikan, atau alih bentuk/mengalih bentuk. Mungkinkah ada istilah lain yang persis? Terima kasih saya ucapkan kepada pihak tuan atas jawapan-jawapan yang terdahulu dan jawapan terhadap soalan ini. Wassalam. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, transkripsi bermaksud 1. (penyediaan) skrip atau teks yang penuh atau lengkap berdasarkan catatan-catatan trengkas dan lain-lain, atau daripada rakaman ucapan dan lain-lain 2. penukaran bahan bertulis daripada sesuatu bentuk ke dalam bentuk lain (misalnya yang menggunakan sistem fonetik, huruf dalam abjad lain, dan lain-lain). Oleh itu, istilah yang betul ialah transkripsi. | Istilah | 09.05.2012 |
Bagaimana ejaan yang betul? jawaban atau jawapan | Jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi, iaitu pengimbuhan kata dasar jawab + akhiran -an, manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. | Tatabahasa | 15.12.2011 |
Ali memberikan seekor ikan _______ ikan kepada kucingnya. Jawapan pilihan : A. kepada B. pada Jawapan yang diberi adalah " pada", adakah jawapan ini sesuai ? Mengapakah jawapan ini dipilih ? Terima kasih. | Pada hemat saya, contoh ayat yang saudara berikan itu salah. Sepatutnya ayat yang betul ialah Ali memberikan seekor ikan ______ kucingnya. Jawapan bagi tempat kosong yang patut diisi ialah A. kepada kerana kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, dan unsur mujarad. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 272. | Tatabahasa | 03.04.2009 |
Mengapakah jawapan yang diberikan oleh pihak tuan kurang mantap? Contohnya, jawapan yang diberikan pada 21/04/09 ialah sejak akhir-akhir ini bukannya akhir-akhir ini. Tetapi jawapan yang diberikan pada 07/05/09 ialah kedua-duanya pun betul. Saya rasa keliru dengan jawapan yang diberikan. Mengapakah jawapan diberikan itu berbeza? | Frasa sejak akhir-akhir ini dan akhir-akhir ini, kedua-duanya betul dan boleh digunakan. Penggunaan sejak hanya berfungsi sebagai penanda waktu atau masa. Perkataan akhir-akhir ini merujuk kebelakangan ini. | Tatabahasa | 14.05.2009 |
Tuan/Puan meletakkan soalan saya (tarikh soalan 2/2/12)sebagai jawapan dan tidak memberi jawapan bagi soalan saya. Harap Tuan/Puan boleh memberi jawapan yang mana betul: perkataan 'perdiangan' atau 'pendiangan' ? dan 'dengan sekelip mata' atau 'dalam sekelip mata' ? Berikut ialah soalan yang dihantar pada 2/2/12 dan tuan/puan tidak memberi jawapan. 1. Yang mana betul: pendiangan atau perdiangan? Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga, perkataan itu ialah 'perdiangan'. Mengikut Kamus Inggeris-Melayu Dewan, perkataan untuk 'fireplace' ialah 'pendiangan'. Mengikut Tesaurus Bahasa Melayu Dewan, perkataan itu ialah 'pendiangan'. Mengikut Khidmat Nasihat Bahasa, perkataan itu ialah 'pendiangan'. Adakah Kamus Dewan betul atau salah? 2. Yang mana betul: 'dengan sekelip mata' atau 'dalam sekelip mata'? Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga (entri 'kelip'), ayat contoh diberi: 'Dengan sekelip mata sahaja dompet wang itu telah disambar orang.' Mengikut Khidmat Nasihat Bahasa, 'dalam sekelip mata' itu betul. Agak mengelirukan. Harap tuan/puan boleh memberi jawapan hari ini. | 1. Mengikut Kamus Dewan, Edisi Keempat Pendiangan ialah tempat berdiang dan kata ini lazimnya digunakan dalam penulisan umum, manakala kata Perdiangan juga merujuk tempat berdiang atau dapur atau palong padanannya bahasa Inggeris ialah hearth. Namun, kata perdiangan lebih banyak digunakan dalam bidang peristilahan. 2. Frasa yang gramatis dari aspek tatabahasa ialah "dalam sekelip mata", namun frasa "dengan sekelip mata" juga banyak digunakan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, kedua-dua frasa tersebut diterima dan boleh digunakan. Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 03.02.2012 |
salam. Diharapkan pihak tuan dapat mengemaskinikan arkib soalan dengan menyemak semula jawapan yang mengelirukan pengguna.Contohnya jawapan berkaitan hukum DM.Ada jawapan yang menyenaraikan penghawa dingin betul dan pendingin hawa jawapan yang betul.Begitu juga dengan kata majmuk dan kata ganda. Contohnya ada jawapan yang menyenaraikan sampah sarap dan sopan santun sebagai majmuk dan ada yang mengatakan sebagai kata ganda serta perlu ada tanda (-).Harap pihak tuan mengambil tindakan yang sewajarnya dengan menggugurkan jawapan yang salah daripada senarai arkib soalan.Pengguna yang keliru. | Encik Ahmad Alhadi Bakar, Terima kasih atas teguran yang diberikan. Untuk makluman tuan, pihak kami sedang menguruskan pengemaskinian arkib soalan yang dimaksudkan. | Lain-lain | 30.03.2010 |
Apakah perbezaan antara jawapan dengan jawaban | Tidak ada perbezaan antara jawapan dengan jawaban. Kedua-duanya betul. Jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. | Istilah | 17.03.2010 |