1.Aslkm.Tuan, apabila kita menulis teks pengacaraan, mana satukah yang tepat- menulis nama tetamu kemudian jawatannya atau menyebut jawatannya dahulu baru nama tetamu. 2.Apakah makna perkataan road show dalam bahasa malaysia? 3. Apakah maksud perkataan rausyanfikir? 4. Adakah betul cara menulis angka di bawah 10 dengan menggunakan perkataan? terima kasih | 1. Dalam situasi pengacaraan, kami cadangkan saudara mendahulukan jawatan dan diikuti dengan nama. 2. Terjemahan road show ialah jerayawara. 3. Bahasa Parsi yang bermaksud pemikir reformasi celik atau ahlifikir. 4. Kenyataan saudara adalah betul, nombor sepuluh dan ke bawah ditulis dengan perkataan. | Penyemakan dan penterjemahan | 15.11.2008 |
Soalan 2 Beliau …………daripada jawatannya kerana didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin. Mengapakan jawapan adalah A dilucutkan Mengapakan tak boleh B dipecatkan | Jawapan yang betul ialah Beliau “dilucutkan/dipecat” daripada jawatannya kerana didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin. Kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan bersilih ganti dalam contoh ayat yang diberikan kerana “pecat” membawa maksud memberhentikan seseorang daripada jawatannya, manakala “lucut” pula bermakna menghentikan atau menarik balik pangkat/kuasa dan lain-lain. Walau bagaimanapun, perkataan “dipecatkan” tidak boleh digunakan kerana pembentukan kata yang betul ialah “dipecat”. | Tatabahasa | 02.08.2020 |
Pengurus syarikat pengangkutan yang pecah amanah itu telah pun dipecat daripada jawatannya. Adakah penggunaan frasa 'telah pun' betul? Jika salah, mengapakah salah? | Penggunaan frasa telah pun yang betul. | Tatabahasa | 17.09.2012 |
Sekiranya seseorang pegawai itu mempunyai gelaran Datuk, adakah kita perlu menyatakan gelarannya dipangkal hadapan jawatannya. Contoh: jawatan beliau Ketua Eksekutif, adakah perlu dinyatakan sebagai Datuk Ketua Eksekutif dalam surat menyurat | Sekiranya surat tersebut ditujukan kepada Datuk, maka penulis hendaklah menggunakan kata sapaan yang sesuai kepada Datuk, iaitu Yang Berbahagia Datuk di awal surat. Jawatan seperti Ketua Eksekutif ditulis selepas nama datuk tersebut di bahagian alamat. Contoh ; YBhg. Datuk Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran Pengarah, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. | Tatabahasa | 09.07.2013 |
Assalamualaikum, 1.Carian saya dalam rekod Khidmat Bahasa tentang nama dan jawatan, pihak DBP menjelaskan bahawa dalam teks pengacaraan, dicadangkan untuk menyebut nama jawatan dahulu dan diikuti nama tetamu. Soalan saya, bagaimana cara teks jika tetamu disapa dengan tuan haji dan jawatannya pun disapa dengan kata tuan. Contoh, YBhg. Tuan Pengarah, Tuan Haji Aman b. Mat. Adakah gramatis jika perkataan Tuan diulang sebanyak dua li untuk mengalamatkan tetamu berkenaan 2. Adakah menyalahi protokol majlis jika, tetamu disapa dengan menyebut namanya dahulu dan diikuti oleh jawatan. Contoh: YBhg. Tuan Haji Aman bi Mat Pengarah..... Terima kasih, tuan | Dalam teks pengacaraan, nama jawatan boleh medahului nama tetamu atau sebaliknya seperti YBhg. Tuan Haji Aman b. Mat, Pengarah ... atau YBhg. Pengarah... Tuan Haji Aman b. Mat | Lain-lain | 07.10.2018 |
Assalamualaikum, mohon pencerahan berkaitan panduan penulisan surat rasmi Panggilan Hormat Penerima atau Kata Sapaan (Surat yang ditujukan kepada agensi kerajaan). Kata sapaan dengan gelaran kebesaran atau dimulakan dengan ‘Tuan’. Contoh 1: Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri TERENGGANU. Contoh 2: Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri TERENGGANU. Contoh 3: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Contoh 4: Sahibus Samahah Dato’ Mufti Negeri TERENGGANU. Contoh 5: Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja, Kepada K.D.Y.M.M. Sultan TERENGGANU. Di atas kerjasama dan perhatian yang bersegera tuan saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.Sekian. | Panggilan hormat ialah bentuk sapaan atau rujukan kepada orang tertentu mengikut gelar dan jawatannya. Bagi orang yang bergelar tetapi tidak memegang jawatan dalam kerajaan, maka panggilan hormat kepadanya berdasarkan pada gelar yang dimilikinya, sebagaimana yang ditetapkan oleh Bahagian Adat Istiadat Perdana Menteri. Sebagai contoh, orang yang bergelar Dato’ tetapi tidak memegang jawatan kerajaan dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berbahagia. Orang yang berjawatan pula, katakanlah ia menteri, maka sama ada ia bergelar atau tidak ia dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berhormat. Jika ia bergelar, contohnya gelar Dato’, maka gelar itu tidak mempengaruhi panggilan hormat yang didasarkan pada jawatannya. Beliau tetap dirujuki atau disapa dengan panggilan hormat Yang Berhormat. | Lain-lain | 20.02.2019 |
Salam hormat, Saya ingin mengajukan pertanyaan dan pandangan berhubung penggunaan tanda kurungan ( ) bagi nama penandatangan surat rasmi. Baru-baru ini dalam satu perbincangan ada disebutkan tentang perkara ini. Situasi 1: penggunaan tanda kurungan ( ) bagi penandatangan surat rasmi bagi pihak (b.p.) ketua jabatan. Contoh: tandatangan (NAMA HURUF BESAR) Jawatan b.p. Ketua jabatan Situasi 2: tiada penggunaan tanda kurungan ( ) bagi penandatangan surat rasmi bagi jawatannya sendiri Contoh: tandatangan NAMA HURUF BESAR Jawatan *sebelum ini saya dan kebanyakan pegawai di organisasi saya telah menggunakan tanda kurungan ( ) bagi semua situasi. mungkin kami tidak begitu arif cuma mengikut keadaan saja. Jadi, saya ingin memohon pandangan daripada pihak DBP berhubung perkara ini supaya saya dapat memaklumkan kepada ketua saya dan membetulkan keadaan sekiranya perlu. Sekian, terima kasih. | Salam hormat, Semua surat rasmi yang ditandatangani walaupun dokumen tersebut ditandatangani oleh pegawai yang mewakili iaitu 'bagi pihak', mengikut Gaya Dewan hendaklah diletakkan kurungan dan ditulis dengan huruf besar. Contohnya: (DATUK ABANG SALLEHUDDIN BIN ABG. SHOKERAN) Pengarah, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, b.p. Ketua Pengarah Walaubagaimanapun, gaya penulisan surat rasmi bergantung kepada sesebuah institusi berdasarkan gaya penerbitan penulisan surat rasmi institusi masing-masing. | Lain-lain | 11.12.2012 |