| Selamat pagi . Adakah ayat berikut betul ??? 1. Kita mestilah menghormati guru kita setiap masa. Soalannya: Perlukah saya mengajar murid saya meletak - lah di belakang perkataan kata bantu ??? Baru-baru ini saya mendapat maklumat bahawa dalam Ujian UPSR Bahagian C , jika murid menulis contohnya mestilah , patutlah , haruslah dikira salah . Adakah ini betul ??? Terima kasih . | Partikel -lah, -tah dan -kah merupakan kata penegas. Ia dirangkaikan dengan kata yang ingin ditegaskan dan mengalami proses pendepanan. Contoh: Itulah rumah idamanku, bukan : Rumah idamanku itulah. Ayat yang cikgu berikan adalah betul. Untuk menerangkan dengan lebih jelas lagi tentang penggunaan partikel -lah sebagai kata penegas, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 261. | Lain-lain | 31.07.2009 |
| Dengan berdasarkan jawapan tuan, saya masih tidak jelas akan kedudukan perkataan ini dalam bahasa Melayu. Adakah "penyuraian" wujud dalam bahasa Melayu walaupun kata terbitan ini tidak disenaraikan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat? Terima kasih. | Untuk makluman tuan/puan, penyuraian ialah kata terbitan yang berasal daripada kata “surai”. Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan definisi yang berikut: bersurai berpisah-pisah, bercerai-cerai: setelah mayatnya ditimbus, semua yg hadir pun ~lah pulang ke tempat masing-masing; menyurai, menyuraikan menjadikan bersurai, membubarkan (perkumpulan dll), memisah-misahkan, mencerai-ceraikan: polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata utk menyuraikan perkumpulan haram itu. Untuk makluman tuan/puan juga, walaupun kata "Penyuraian" tidak dinyatakan dalam Kamus Dewan (kata dasarnya "surai"), tapi kata tersebut boleh diterima pakai dalam konteks penggunaan bahasa Melayu. | Lain-lain | 22.08.2017 |
| Bolehkah tuan/puan perincikan maksud "malam semalam" berserta contoh yang jelas? Misalnya, bilakah masanya yang merujuk kepada malam semalam sekiranya hari ini adalah hari Isnin? Ini kerana kata ini banyak digunakan oleh media massa dan saya memerlukan pencerahan DBP sebagai pakar. | Semalam sebagai kata nama boleh merujuk kepada malam tadi sebelum tibanya waktu siang (Kamus Dewan Perdana hlmn. 1397). Sekiranya hari ini ialah hari Isnin, semalam ialah malam pada hari Ahad (7.00 malam - 12.00 tengah malam), manakala malam semalam ialah malam pada hari Sabtu (7.00 malam - 12.00 tengah malam). Oleh itu, malam semalam boleh digunakan dalam ayat seperti contoh yang berikut: Durian yang Pak Lah pungut di dusun malam semalam masih ada lagi. | Makna | 29.08.2023 |