Selamat sejahtera. Adakah perkataan 'jurutera' merupakan gabungan imbuhan dan akronim iaitu 'juru' + 'jentera'? Sebahagian pelajar subjek bahasa Melayu berpendapat bahawa 'tera' ialah morfem terikat dan digabungkan dengan imbuhan 'juru'. Terima kasih atas perhatian dan kerjasama. | Jurutera ialah kata terbitan daripada awalan juru + jentera, namun mengalami pengguguran suku kata "jen" dan terhasillah jurutera. Bagaimanpun jika ada pandangan lain dan disertakan dengan dapatan ilmiah maka bolehlah dikemukakan kepada pihak yang lebih pakar untuk diperhalusi atau dikemukakan dalam seminar untuk perbincangan yang lebih tuntas. | Tatabahasa | 14.03.2017 |
Soalan di lampiran | Untuk makluman pihak tuan, akronim ialah kata yang terbentuk daripada gabungan huruf awal, suku kata atau bahagian lain beberapa perkataan lain atau frasa yang boleh diujarkan sebagai satu perkataan, contohnya PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia), MARDI (Malaysian Agricultural Research Development Institute), jentolak (jentera tolak), ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan Bernama (Berita Nasional Malaysia). Pembentukan akronim YAPEIM dibuat dengan mencantumkan suku kata pertama bagi perkataan pertama dengan huruf awal perkataan-perkataan yang berikutnya, dengan penyeragaman penggunaan keseluruhan huruf besar bagi nama khas. Oleh yang demikian pembentukan akronim YAPEIM betul dan boleh digunakan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 47 dan buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2014), halaman 105 - 106. | Tatabahasa | 20.11.2024 |
Boleh pihak DBP bezakan antara akronim dengan singkatan frasa contoh perkataan ABIM..LKIM..ADUN.LUTH.ini ialah akronim..sedangkam PkP, SOP DASAR WAWASAN NEGARA (DEN)dikira sebagai singkatan kata.TERIMA KASIH | Kata nama akronim merupakan perkataan yang dihasilkan melalui percantuman bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan. Bahagian-bahagian perkataan terdiri daripada huruf, suku kata atau bahagian-bahagian daripada perkataan. Kata nama akronim boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu: 1. Akronim dibentuk dengan menggabungkan huruf awal sesuatu rangkai kata: Contoh: "ADUN" (Ahli Dewan Undangan Negeri) 2. Akronim dibentuk dengan menggabungkan suku kata dan huruf awal sesuatu rangkai kata: Contoh: "Perlihitan" (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) 3. Akronim dibentuk dengan menggabungkan suku kata sesuatu rangkai kata: Contoh: "Bernama" (Berita Nasional Malaysia) 4. Akronim dibentuk dengan menggabungkan bahagian awal perkataan pertama dengan bahagian lain perkataan yang mengikutinya. Contoh: "jentolak” (jentera tolak) Manakala singkatan pula bermaksud sesuatu yang disingkatkan, kependekan, ringkasan. Contoh: "Encik" (En.) "Yang Berbahagia" (YBhg.) "Tengah Hari" (Tgh.) | Tatabahasa | 09.11.2022 |
Salam. Adakah huruf ringkas merupakan sejenis akronim? Atau adakah akronim hanya terhad kepada singkatan yang dibaca mengikut ejaan sahaja seperti "UMNO" dan "UNESCO", tetapi bukan huruf ringkas yang dibaca dengan cara mengeja seperti "SKMM" dan "WHO". Terima kasih. | Kata nama akronim merupakan perkataan yang dihasilkan melalui percantuman bahagian-bahagian daripada serangkaian perkataan. Bahagian-bahagian perkataan itu boleh terdiri daripada huruf, suku kata atau bahagian-bahagian daripada perkataan. Kata nama akronim boleh dibahagiakan kepada sekurang-kurangnya empat jenis, iaitu: 1. Kata nama akronim cantuman huruf awal perkataan. Contohnya, “ADUN” (Ahli Dewan Undangan Negeri) 2. Kata nama akronim cantuman huruf dan suku kata perkataan. Contohnya, “Perhilitan” (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) 3. Kata nama akronim cantuman suku kata awal perkataan. Contohnya, “Bernama” (Berita Nasional Malaysia) 4. Kata nama akronim cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan bahagian lain perkataan yang mengikutinya. Contohnya, “jentolak” (jentera tolak) | Tatabahasa | 13.02.2022 |