Salam sejahtera, saya kadang-kadang mempunyai masalah membezakan penggunaan ke, pada, kepada, dari dan daripada. Diharap saya boleh mendapatkan penerangan berkenaan perkara ini. Sekian, terima kasih | Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Contoh: i. Angin bertiup kencang dari arah selatan ii. Kajian itu dibuat dari sudut ekonomi iii.Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi. Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh ayat: Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat ini, peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan, keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. Kata sendi nama "ke" pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan tempat, arah atau masa dan ditulis terpisah contoh ke dalam sungai, ke tepi. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: 1. Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi. 2. Wang itu ada pada ibu. | Tatabahasa | 20.01.2013 |
1.Bagaimana saya hendak tahu bila hendak meletakkan (-) pada perkataan?Saya jadi confused sebab ada kata ganda yang kena letak tanda (-) dan ada juga yang tidak perlu. 2.Saya masih tidak memahami cara penulisan CAKAP AJUK CAKAP PINDAH dan saya kadang-kadang keliru dengan perbezaan CAKAP AJUK CAKAP PINDAH. | Mengikut Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia tanda sempang digunakan untuk i. menulis kata ulang, cth. anak-anak; pegawai-pegawai ii. menyambung suku kata kata dasar yang terpisah oleh penggantian baris, cth. menangguhkan penyelenggaraan pro- jek; iii. memperjelas ungkapan, cth. ber-evolusi dengan berrevolusi iv. merangkaikan huruf kecil dengan huruf besar, cth. anti-Rusia, hamba-Mu v. merangkaikan ke- dengan angka,cth. ke-3,ke-40 vi. merangkaikan angka yang menunjukkan tahun dengan akhiran -an, cth. tahun 80-an vii. menunjukkan hubungan setara atau rangkai kata istilah,cth. alat pandang dengar. Cakap ajuk ialah ujaran sebenar penutur yang lazimnya ditandai dengan intonasi atau tanda baca. Cakap pindah ialah ujaran tak langsung. Untuk keterangan lanjut tentang kata ganda dan cakap ajuk dan cakap pindah sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau buku-buku tatabahasa bahasa Melayu yang lain yang ada di pasaran. | Tatabahasa | 07.03.2009 |
Bagaimanakah ingin memastikan bahawa kita telah menggunakan apitan men...kan dan men...i dengan betul dalam dalam kata kerja transitif, sedangkan maksudnya kadang kala hampir sama sahaja? | Untuk memastikan penggunaan kata kerja yang betul sila lihat panduan yang disertakan. Untuk membezakan penggunaan apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, sila lihat fungsi antara kedua-dua apitan tersebut, iaitu:i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif. Contohnya: Ali menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad dan Ali menghadiahi Ahmad sebuah basikal.ii. Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa, manakala apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Lihat contoh di atas.iii. Bagi sebilangan kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: Ali sedang membaiki kereta yang rosak dan Ali sedang membaikkan kereta yang rosak. | Tatabahasa | 25.09.2011 |