| Yang berikut ialah kekerapan perkataan berkenaan dirakamkan dalam Kamus DBP tertentu: kadangkala Kamus Dewan - 33 kali Kamus Pelajar - 5 kali Kamus Pelajar II - 12 kali Kamus Komputer – 1 kali Jumlah 51 kali kadang kala Tiada dalam mana-mana kamus DBP ada kala Kamus Dewan - 1 kali Kamus Pelajar - 1 kali Kamus Pelajar II - 5 kali Jumlah 7 kali ada kalanya Kamus Dewan - 47 kali Kamus Pelajar - 4 kali Kamus Pelajar II - 5 kali Kamus Komputer - 1 kali Jumlah 57 kali adakalanya Kamus Dewan - 1 kali Jumlah 1 kali adakala Kamus Dewan - 3 kali Jumlah 3 kali 1. Ejaan untuk kata kadangkala adalah jelas satu perkataan. 2. Perhatikan bahawa adakala dimasukkan sebagai satu perkataan di tiga (3) tempat dalam Kamus Dewan termasuklah sebagai lema/entri utama/kata masukan, tetapi di tempat lain dimasukkan sebagai ada kala sebanyak tujuh (7) kali, malah ada kala dengan partikel -nya (ada kalanya) dirakamkan sebanyak 57 kali dalam Kamus DBP. Dengan kekerapan yang tinggi sebagai dua perkataan (ada kala/ada kalanya), mustahil berlaku kesilapan semasa penyuntingan, juga mustahil semasa atur huruf. Jadi, muktamadnya, kata ini harus dieja bagaimana? Qiu Syah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) | Kami ambil maklum atas kekeliruan yang berlaku. Pihak kami akan berbincang dengan bahagian lain yang terlibat di DBP seperti Bahagian Perkamusan serta Bahagian Peristilahan dan Leksikologi bagi mencari satu ketetapan untuk dijadikan panduan. Pihak kami akan menghubungi saudara melalui alamat e-mel yang diberikan dengan kadar segera. | Lain-lain | 15.08.2012 |
| Contoh ayat: Tuhan (Pencipta) menghulurkan pertolongan/bantuan kepada umat-Nya (makhluk ciptaan-Nya). Tuhan memakbulkan doanya dengan membantu/menolongnya terlepas daripada pemenjaraan. apakah jawapan saudara dan sila huraikan jawapan saudara yang boleh membantu saya melihat perbezaan penggunaan kedua-dua perkataan tersebut. terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan perkataan pertolongan sama maksudnya dengan bantuan dan begitu juga dengan membantu sama maksudnya dengan menolong. Oleh itu, tidak ada perbezaan maksud bagi kedua-dua pasangan kata tersebut. | Makna | 11.01.2012 |
| Assalamualaikum, Ekoran pertanyaan saya berkaitan penggunaan -nya keada bukan manusia, bolehkan -nya digunakan untuk merujuk binatang atau tumbuhan. Contohnya dalam ayat yang berikut: a. Binatang: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkainya dibiarkan di tepi jalan. b. Tumbuhan 1. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harganya meningkat dengan mendadak. Terima kasih | Waalaikummussalam saudara Mohd Januri, Nya ialah kata ganti diri nama orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" merujuk kepada manusia bukannya merujuk kepada haiwan dan tumbuhan. Menerusi contoh ayat yang diberikan memadai sekiranya diganti dengan menggunakan perkataan di bawah: 1. Anjing itu mati dilanggar kereta. Bangkai anjing itu dibiarkan di tepi jalan. 2. Bawang semakin sukar didapati di pasaran. Harga bawang meningkat dengan mendadak. Selain bertindak sebagai kata ganti nama diri orang ketiga 'nya' juga bertindak sebagai kata pembenda/penekan. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 08.09.2012 |
| apakah maksud dasar menurut kamus dewan beserta muka surat ke berapa dalam kamus dewan tersebut? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, halaman 317, dasar bermaksud 1. bahagian yg di bawah sekali (laut, sungai, tasik, dsb): mutiara didapati di ~ laut; 2. bahagian yg di bawah sekali sama ada di sebelah dalam atau di sebelah luar sesuatu bekas (spt kuali, botol, dll): serbuk kopi itu mendap ke ~ gelas; ~ kuali yg hitam spt arang; 3. lantai: rumah itu atapnya zink, dindingnya papan, dan ~nya simen; 4. lapisan yg di bawah sekali (pd gambar, kain, dll), latar: ~ kain batik pd umumnya berwarna perang; corak yg terdiri drpd kuntum-kuntum bunga pd ~ yg berwarna gelap; 5. sifat, perangai (yg sudah sebati dgn seseorang): dia pantang ditegur memang begitu ~nya; 6. pertimbangan (cara, sistem, dll) yg pokok bkn sesuatu, asas, prinsip, teras: Vietnam Selatan mengirim beberapa orang pegawai tentera ke Malaysia utk mempelajari ~-~ perang gerila; apakah ~nya pendapat tuan itu? 7. pendirian yg menjadi asas segala tindakan (sikap, keputusan, dll), polisi: ~ kerajaan; ~ sesebuah parti politik; ~ ekonomi negara; 8. yg menjadi bahagian (faktor) terpenting, asas, pokok: setelah dicapai persetujuan tentang soal-soal ~, baru dibincangkan butir-butirnya; 9. Id memang, sebenarnya: sudah ~ pencuri; 10. kertas dsb yg dipotong mengikut bentuk baju dan dijadikan asas utk menggunting pakaian; | Makna | 04.07.2010 |
| Salam, saya perlukan sedikit pencerahan, perkataan Rabb atau Rab? Dan Rab-Nya atau Rabnya? | Perkataan yang betul ialah “Rab” dan “Rabnya”. Perkataan “-nya” dalam “Rabnya” merujuk kata ganti diri ketiga iaitu hamba Allah, manakala perkataan “-Nya” dieja dengan huruf besar, merujuk Allah. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1545 dan 1792. | Tatabahasa | 11.08.2024 |
| 1)apakah maksud amalan dari segi istilah dan bahasa ? 2)apakah maksud agama dari segi istilah dan bahasa? | Kamus Dewan Edisi Keempat mentakrifkan kata amalan ialah sesuatu yg dilakukan (dilaksanakan, dikerjakan, dsb) sbg suatu kebiasaan; pd ~nya yg sebenarnya berlaku atau terdapat, pd praktiknya, pd kebiasaannya: pd ~nya, hanya sebuah parti politik dan sebuah kesatuan sekerja sahaja yg dibenarkan bergerak dlm sesebuah ladang; 2. perbuatan baik, kebajikan. Manakala maksud agama ialah kepercayaan pd Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya, kepercayaan pd yg Maha Kuasa: ~ Islam, ~ Kristian; orang yg memeluk ~ Islam disebut juga orang Mukmin; ~ langit agama yg bukan ciptaan manusia; 2. kepercayaan pd sesuatu dewa dll (yg dipuja dsb dan dianggap sbg sesuatu yg amat berkuasa); | Istilah | 25.03.2009 |
| Apakah ejaan jawi terkini bagi akhiran "-nya" ? ڽا atau ڽ? Sebagai contoh, adakah perkataan "jujurnya" dieja sebagai جوجورڽ atau جوجورڽا? Terima kasih | Ejaan Jawi bagi kata dalam bahasa Melayu "-nya" ialah ڽ, contohnya perkataan "jujurnya" dieja جوجورڽ. Sila rujuk Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu, Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi dan Kamus Dewan Perdana untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan bahasa Melayu.
| Ejaan | 22.02.2024 |
| Kata singkat ku pada awal boleh ditulis sebagai kumakan, kusanjung dan lain-lain. Bagaimanakah Ku-firman untuk Tuhan, perlu disusuli tanda sempang seperti dalam contoh Ku-firman? Harap dapat memberikan penjelasan. Terima kasih Dr S. Nathesan | Dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua, firman bermaksud kata-kata atau perintah Allah. berfirman bersabda; bertitah. difirmankan disabdakan (Allah); diperintahkan (Allah). Kata ganti singkat yang ditulis dengan permulaan huruf besar, iaitu -Ku, -Mu dan -Nya ialah kata ganti nama diri bagi Allah dan Tuhan dan lazimnya terletak di hujung perkataan seperti hidayah-Nya, rahmat-Nya dan balasan-Ku. Sekiranya diletakkan di hadapan, lazimnya menggunakan seperti Allah SWT berfirman... | Tatabahasa | 23.08.2017 |
| Salam sejahtera. Mohon jelaskan soalan-soalan yang dilampirkan. Terima kasih:) | LAMPIRAN: Dewan Bahasa dan Pustaka.docx Salam sejahtera 1) Penggunaan dia dan -nya dapat dibezakan melalui ayat berikut. Apabila dia (sebagai ganti nama) kembali ke kampungnya (ganti nama) setelah sepuluh tahun meninggalkan kampung tersebut,dia amat terperanjat dengan pelbagai perubahan yang berlaku. Berdasarkan penerangan di atas, adakah”-nya” bermaksud “dia punya”? Sekiranya benar, adakah penggunaan “-nya” dalam ayat di bawah betul? 1 1. Saya memberikan hadiah itu kepadanya. 2. Dia telah membeli beberapa buah buku yang disukainya. 3. Katanya, masalah ini harus diselesaikan dengan segera. 2 2) Adakah kenyataan berikut betul? Kata hubung seperti jika, kalau, jikalau dan sekiranya mempunyai maksud dan penggunaan yang sama dan digunakan untuk menunjukkan syarat yang harus dipenuhi untuk mencapai atau melakukan sesuatu perkara. Kata hubung seperti andai kata dan seandainya pula digunakan untuk menerangkan peristiwa yang dianggap mungkin terjadi. Berdasarkan contoh ayat yang diberikan, semua penggunaan kata “-nya” yang hadir dalam ayat tersebut berfungsi sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, bukan merujuk maksud kepunyaan individu. Bagi penggunaan kata hubung “jika”, “kalau”, “jikalau”, “andai kata” dan “seandainya” yang hadir dalam ayat boleh berfungsi untuk menyatakan syarat, harapan, andaian, menyatakan kemungkinan sesuatu akan berlaku dan sebagainya berdasarkan konteks pengunaannya dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman: 253 – 254 dan Kamus Dewan Perdana, halaman: 93-94 dan 903. | Tatabahasa | 12.11.2024 |
| Adakah slogan ini betul dari sudut maksud nya itu sendiri. Tranformasi bervisi peneraju altruistik mahasiswa | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, maksud perkataan pada slogan di atas adalah seperti yang berikut: 1. transformasi - perubahan bentuk, rupa, sifat, keadaan dan sebagainya sesuatu sistem, pentadbiran dan sebagainya 2. visi - pandangan jauh, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan bagi mencapai matlamat penting sesebuah organisasi atau negara; wawasan 3. peneraju - orang atau pihak yang menerajui 4. altruistik - suka mengutamakan kebajikan atau kebahagiaan orang lain lebih daripada diri sendiri 5. mahasiswa - pelajar atau penuntut di universiti Slogan ini perlu disesuaikan mengikut konteks penggunaannya. | Makna | 26.01.2023 |