Saya ada soalan berkaitan kata sendi dari/daripada yang bertemu dengan kata nama anggota tubuh badan. 1. Kata-kata itu keluar dari/daripada mulutnya. 2. Air matanya bertakung dan akhirnya tumpah dari/daripada tubir mataya. 3. Kata-kata itu ikhlas dari/daripada hatinya. Penggunaan anggota tubuh badan tersebut bolehkah merujuk kepada tempat atau asal kejadian sesuatu perkara? Mohon penjelasan pihak DBP. | Berikut disenaraikan ayat yang lebih tepat tatabahasanya: 1. Kata-kata itu keluar daripada mulutnya. 2. Air matanya bertakung dan akhirnya tumpah daripada tubir matanya. 3. Kata-kata itu ikhlas daripada hatinya. Penggunaan anggota tubuh badan tersebut merujuk pada sumber atau asal kejadian sesuatu benda. (Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 269-272) | Tatabahasa | 25.09.2023 |
Untuk kata-kata yang berakhir dengan huruf "i," dalam bahasa Melayu, bolehkah kita membuat andaian umum bahawa, contohnya, "menganugerahi" diikuti oleh "penerima" atau "menganugerahkan" diikuti oleh "suatu objek"? Jadi, untuk kata-kata lain yang mirip dengan ini, kita aplikasikan konsep yang sama. Apakah pendapat DBP? Terima kasih. | Apitan meN-...-i membentuk kata kerja terbitan yang bersifat transitif, iaitu kata kerja yang memerlukan objek. Kata kerja ini hadir dalam ayat aktif transitif. Contoh dalam ayat, “Ibu sedang menidurkan adik”. Kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan pula ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam ayat transitif aktif. Contoh dalam ayat, “Mekanik itu sedang membaiki kereta saya”. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2015), halaman 190 – 197 dan 202 – 208. | Tatabahasa | 28.07.2024 |
Perkataan yang sesuai untuk hal atau keadaan mengenali, menghargai dan mencintai diri sendiri? | Beberapa kata yang boleh disarankan ialah kebanggaan, kecintaan, keberahian, kepujaan, keghairahan, kekaguman, ketaasuban, kefanatikan, pengapresiasian, penghargaan, penghormatan, penyanjungan dan sebagainya. Kata-kata tersebut boleh digandingkan dengan kata "diri" menjadi kebanggaan diri, kecintaan diri, pengapresiasian diri dan sebagainya. Pemilihan kata-kata ini bergantung kepada konteks dan makna yang ingin disampaikan. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) untuk maklumat berkaitan kata dalam bahasa Melayu. | Lain-lain | 21.11.2024 |
apakah yang dimaksudkan dengan kecindan | Kata kecindan bermaksud kata-kata yang lucu dan menggelikan hati. Sila layari PRPM https://prpm.dbp.gov.my/ atau Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) untuk memperoleh maklumat tentang kata tersebut dalam bahasa Melayu. | Makna | 08.09.2024 |
apa beza berutus dan mengutus? | Assalamualaikum, Perkataan berutus bermaksud berkirim surat, berita, e-mel dan sebagainya (kelas kata: kata kerja tak transitif) Contoh ayat - Kami masih berutus e-mel walaupun jarang-jarang bertemu. Manakala perkataan mengutus mempunyai dua maksud: 1. mengirim atau menghantar (surat, berita, e-mel dan sebagainya) (kelas kata: kata kerja transitif) Contoh ayat - Dia mengutus surat kepada gadis idamannya kerana dia malu hendak bertemu muka. 2. menyuruh (seseorang) pergi sebagai wakil diri (kelas kata: kata kerja transitif) Contoh ayat - Akhirnya dia pun mengutus seseorang untuk meminang gadis pujaannya itu. (Rujukan Kamus Dewan Perdana, 2020:hlm. 2492) Terima kasih. | Makna | 22.05.2025 |
Mengapakah masih terdapat kata "memperkembangkan" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat sedangkan penggunaan yang betul ialah memperkembang berdasarkan khidmat nasihat bahasa. | Perlu diingatkan, kamus ialah perakam penggunaan dan makna sesuatu kata. Golongan/kelas kata bagi kata kembang ialah kata adjektif dan kata terbitannya iaitu berkembang merupakan kata kerja tak transitif, manakala memperkembang dan memperkembangkan ialah kata kerja transitif. Selain daripada menuruti hukum/peraturan tatabahasa, kita juga perlu merujuk pemerian makna daripada penerbitan sesuatu kata. Kata memperkembang bermaksud menjadikan sesuatu lebih kembang (rujuk Kamus Pelajar Bahasa Melayu Dewan Edisi Ketiga), sedangkan memperkembangkan bermaksud menjadikan sesuatu lebih berkembang (rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat). Analisis data korpus yang dilakukan membuktikan bahawa penggunaan kata terbitan memperkembang yang kerap digunakan sebenarnya lebih merujuk makna memperkembangkan, iaitu mendukung makna menjadikan sesuatu lebih berkembang. Sila rujuk kamus terkini, Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020: 1036 - 1037). | Makna | 16.12.2023 |
Salam tuan. Adakah kata-kata berikut betul? 1. salah tempat Contoh ayat: Kamu sudah salah tempat untuk membuat kad pengenalan. 2. tuan-tuan dan puan-puan sekalian Terima kasih. | Penggunaan yang lebih formal untuk menyatakan hal tersebut ialah seperti contoh yang berikut: 1. Kamu berada di tempat yang salah untuk membuat pengaduan. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Terima kasih. | Tatabahasa | 26.08.2023 |
Bilakah waktunya menggunakan kata kerja tanpa imbuhan dan kata kerja dengan imbuhan ketika membina ayat? | Kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja. Dalam bahasa Melayu, kata kerja terdiri daripada empat bentuk, iaitu kata kerja tunggal, kata kerja terbitan, kata kerja majmuk dan kata kerja ganda. Kata kerja tunggal ialah kata yang terbentuk tanpa imbuhan. Dalam bahasa Melayu, kata kerja jenis ini tidak sebanyak kata kerja yang terbentuk dengan imbuhan dan boleh hadir sebagai predikat tanpa imbuhan. Kebanyakan kata kerja demikian bersifat tak transitif. Antara contohnya termasuklah ada, balik, ikut, jaga, keluar, terbang dan sebagainya. Kata kerja terbitan ialah kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan, iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar dan melahirkan perkataan-perkataan terbitan. Untuk lebih lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, (DBP, 2015), halaman 67 dan 150 hingga 217. | Tatabahasa | 04.03.2024 |
kenapa barangkali dieja rapat tetapi sering kali tidak dieja rapat | Kata “barangkali” ialah golongan kata hubung dan dieja rapat, manakala kata “sering kali” yang dieja terpisah ialah kata adverba yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat. Kata adverba tidak termasuk dalam mana-mana golongan kata lain. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 72 – 75 dan 289. | Ejaan | 26.02.2025 |
Assalamualaikum, saya ingin bertanya, manakah ayat yang betul? 1. Ibu dan ayah yang kucintai. 2. Ibu dan ayah yang kucinta. | Empat golongan kata utama, iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja dan kata tugas boleh menerima apitan meN...-i untuk membentuk kata kerja. Oleh itu, ayat yang betul ialah Ibu dan ayah yang kucintai. Untuk bacaan lanjut, rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga hlmn. 203. | Tatabahasa | 05.09.2023 |