1.Mohon pencerahan berkenaan perkataan kata penghubung/ kata keterangan yang tepat: Bagaimanapun atau Walau bagaimanapun atau kedua - dua boleh? 2. Mohon pencerahan penggunaan kata penghubung yang tepat: Kursus berkenaan diaddakan dari 10 hingga 15 Mei 2021 atau pada 10 hingga 15 Mei 2021 atau Bagaimana? Sekian, terima kasih. | Kata hubung "bagaimanapun" dan "walau bagaimanapun", kedua-duanya boleh digunakan mengikut konteks ayat. Kedua-dua kata hubung "dari" dan "pada" boleh digunakan mengikut konteks ayat contohnya, Kursus berkenaan akan/telah diadakan dari 10 hingga 15 Mei 2021 atau pada 10 hingga 15 Mei 2021. | Tatabahasa | 04.05.2021 |
Mohon Pencerahan sama ada penggunaan kata penghubung ayat di bawah berikut betul: Selain itu, ia membantu agensi melaksanakan perolehan dengan terancang dan teratur serta mengelakkan amalan berbelanja DI penghujung tahun atau PADA saat akhir. | Salam sejahtera, Ayat yang betul ialah: Selain itu, ia membantu agensi melaksanakan perolehan dengan terancang dan teratur serta mengelakkan amalan berbelanja pada saat-saat akhir. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 01.05.2020 |
Apakah perbezaan penggunaan "jika" dan "sekiranya" dalam ayat? Boleh bagi contoh? | Kedua-dua jika dan sekiranya ialah kata penghubung yang boleh bertukar ganti. Contoh ayat: “Pertunjukan itu akan ditangguhkan jika tiada sambutan”. “Pertunjukan itu akan ditangguhkan sekiranya tiada sambutan”. | Tatabahasa | 21.06.2007 |
Apakah beza antara apabila dan kerana. | Tuan, Apabila: kata penghubung ayat yg bererti pd ketika; semasa: ~ sampai di rumah, barulah ia membuka bungkusan itu. Kerana: merupakan kata tugas; sinonim dengan lantaran, oleh sebab, sebab, fasal, dek, demi, akibat, bahawa, untuk, tujuan, maksud, bahana, tegal, baktan, saking, asal mula., | Istilah | 22.08.2011 |
bolehkah permulaan ayat dimulakan dengan perkataan (yang) | 1. Perkataan 'yang' bermaksud kata penghubung utk menyatakan bahawa kata keterangan berikutnya dipentingkan atau menunjukkan kelainan. Oleh itu, 'yang' merupakan kata relatif yang lazimnya hadir di dalam ayat dan bukannya pada pangkal ayat. | Tatabahasa | 14.08.2007 |
bolehkah memulakan satu ayat dengan menggunakan perkataan "tetapi"? selain daripada perkataan "namun begitu" apakah perkataan lain yang boleh digunakan? | Menurut data kami perkataan tetapi tidak boleh digunakan pada permulaan ayat. Perkataan lain yang boleh digunakan sebagai kata penghubung tentangan bagi permulaan ayat ialah walau bagaimanapun. | Tatabahasa | 17.07.2020 |
Walaupun kita sudah sekian lama diajar bahawa "jika" dan "sekiranya" adalah sinonim, tetapi saya rasa kedua-dua perkataan ini ada perbezaan dari segi penggunaannya dalam ayat. Sila jelaskan perbezaan tersebut. Terima Kasih | 'Jika' ialah kata penghubung yang menyatakan syarat (janji); kalau. 'Sekiranya' bermaksud kalau atau kiranya. Dari segi makna, 'jika' dan 'sekiranya' mempumyai makna yang sama. Penggunaan kedua-dua perkataan ini adalah mengikut kesesuaian dan saling berganti. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga atau buku-buku tatabahasa bahasa Melayu yang lain. | Makna | 10.06.2008 |
Mohon penjelasan mengenai penggunaan 'apabila' dan 'bila', 'apa-apa bantahan yang timbul ' atau 'sebarang bantahan yang timbul' - mana yang betul? | 'Apabila' ialah kata penghubung ayat yang lazim digunakan dalam ayat penyata; manakala 'bila' ialah kata tanya yang digunakan dalam ayat tanya. Ungkapan yang betul ialah 'sebarang bantahan yang timbul'. | Tatabahasa | 25.02.2011 |
'Kerak ialah lapisan yang paling nipis.' Adakah 'yang' mesti digunakan dalam ayat ini? | Penggunaan kata yang dalam ayat tersebut tidak semestinya digunakan. Yang ialah kata penghubung utk menyatakan bahawa kata keterangan berikutnya dipentingkan atau menunjukkan kelainan. | Lain-lain | 22.06.2010 |
Salam, adakah 'sebelum' dan 'selepas' merupakan kata hubung? Ayat contoh: 1. Saya membasuh tangan sebelum menjamah makanan. 2. Ayah pergi bekerja selepas bersarapan. Terima kasih. | 'Kata selepas' dan 'sebelum' termasuk dalam kata penghubung. Jika kata tersebut digunakan dalam ayat, biasanya ayat tersebut merupakan ayat majmuk. | Lain-lain | 16.06.2017 |