TUan/Puan, Penggunaan perkataaan ADALAH Bolehkah perkataan adalah digunakan dalam ayat seperti berikut: 1. Tujuan pengauditan dijalankan ADALAH BAGI menentukan keberkesanan.....; atau 2. Tujuan pengauditan dijalankan ADALAH UNTUK menentukan keberkesanan.....; atau 3. Tujuan pengauditan dijalankan ADALAH menentukan keberkesanan.....; atau 4. Tujuan pengauditan dijalankan BAGI/UNTUK menentukan keberkesanan.....; Mohon pencerahan tuan/puan. | Kata pemeri "adalah" mesti diikuti dengan kata sendi nama atau kata adjektif, seperti dalam contoh ayat pertama dan kedua. Dalam ayat ketiga kata sendi nama "untuk/bagi" perlu hadir selepas kata "adalah" bagi melengkapkan ayat, namun dalam ayat keempat kata pemeri "adalah" boleh digugurkan. | Tatabahasa | 28.02.2014 |
sejauhmanakah keberkesanan kamus dewan online dengan buku sebenar... | Soalan yang dikemukakan oleh saudara ini memerlukan kajian khusus untuk menjawabnya. Untuk makluman saudara, maklumat tentang analisis/kajian tersebut tidak ada dalam sumber rujukan kami. Bagi membantu saudara menyelesaikan tugasan ini, saudara perlu datang ke Pusat Dokumentasi Melayu, DBP untuk membuat penyelidikan. | Lain-lain | 13.04.2012 |
Definasi keberkesanan, budaya, senggaraan dan tentera darat yang betul di dalam bahasa melayu. | Keberkesanan ialah perihal berkesan. Budaya bermaksud tamadun, peradaban atau kemajuan fikiran, akal budi dan sebagainya. Senggaraan atau penyenggaraan ialah perbuatan menyenggarakan atau mengendalikan sesuatu. Tentera darat ialah bahagian angkatan perang yang bertugas di daratan | Makna | 06.04.2010 |
Ada berapa morfem bagi kata ' keberkesanan' dan 'kemenjadian' ?terima kasih | Perkataan "keberkesanan" terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan "kesan" dan tiga morfem terikat iaitu "ke", "ber" dan "-an". Manakala perkataan "kemenjadian" terdiri daripada satu morfem bebas iaitu perkataan "jadi" dan tiga morfem terikat iaitu "ke", "men" dan "-an". | Lain-lain | 03.03.2010 |
Mengapakah kata seperti kebertanggungjawaban, keberadaan, keberhasilan, keberkesanan dan kata - kata seumpamanya menggunakan apitan ke-...-an dan bukannya per-...-an seperti pergaduhan (bergaduh), permainan (bermain), perjanjian (berjanji), percintaan (bercinta) dan seumpamanya? Salahkah jika kebertanggungjawaban saya tulis sebagai pertanggungjawaban, keberadaan sebagai peradaan, keberkesanan sebagai perkesanan dan keberhasilan sebagai perhasilan? Saya mohon pencerahan dan berterima kasih jika pihak DBP menjawab pertanyaan (kebertanyaan?) saya. | Apitan pe-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran. Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya seperti perakuan dan persengketaan. Untuk mengenal pasti kelas kata terbitan daripada apitan ke-...-an hendaklah melihat konteks penggunaannya dalam ayat. Dalam buku Tatabahasa Dewan, perkara ini diterangkan di bawah tajuk Aspek makna apitan ke-...-an (halaman 213), contohnya perkataan kehujanan ialah kata nama sepertimana fungsinya dalam ayat "Dia kehujanan di jalan". Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 212-213 | Tatabahasa | 22.11.2017 |
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat perkataan "keberkesanan". Soalan saya: 1. Apakah kata dasar perkataan tersebut ialah "berkesan"? 2. Jika kata akarnya ialah "berkesan", apakah justifikasi yang digunakan? Mengapa kata "kesan" tidak dianggap sebagai kata akarnya? | Berkesan dan keberkesanan, kata dasar kedua-dua kata tersebut ialah "kesan". | Tatabahasa | 18.07.2008 |
Adakah buku ini ada dalam stock/simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nama Buku: Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah Penulis: Hussein Mahmood | Sekiranya anda telah mendaftar menjadi ahli Rakan Dewan, anda boleh merujuk buku ini di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. 1. Kepemimpinan dan keberkesanan sekolah Hussein Mahmood Dewan Bahasa dan Pustaka (Terbitan) 1993. 371.20709595 Hus | Lain-lain | 17.06.2007 |
TAJUK TESIS SAYA "KEBERKESANAN PROGRAM USAHAWANAN MUDA DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH NEGERI TERENGGANU" . Tolong berikan penjelasan yang kukuh kenapa saya perlu menggunakan perkataan "DALAM KALANGAN PELAJAR" bukannya "DI KALANGAN PELAJAR". Terima kasih | "di kalangan" dan "dalam kalangan", kedua-dua frasa itu adalah betul, yang tidak boleh digunakan ialah di dalam kalangan. Oleh itu ayat "KEBERKESANAN PROGRAM USAHAWANAN MUDA DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH NEGERI TERENGGANU", betul dan boleh digunakan. | Tatabahasa | 11.07.2008 |
Terjemahan perkataan efficiency Enjoy maximum efficiency with PETRONAS PRIMAX Selain daripada 'kecekapan' dan 'keberkesanan', sesuai tak kalau saya terjemahkan kepada 'efisiensi'? Contohnya 'Alami efisiensi maksima...' Adakah maksudnya dapat difahami pembaca? Saya semak PPRM, banyak digunakan di bahagian istilah Indonesia dan hanya satu dua sahaja dalam istilah Malaysia | Perkataan "efisiensi" memang ada ldam PRPM tetapi penggunaannya terhad dalam bidang dan konteks tertentu sahaja. Kami memang tidak menggalakkan penggunaan perkataan tersebut kerana telah ada perkataan bahasa Melayu yang sesuai. Oleh itu, saya mengesyorkan tuan menggunakan "kecekapan" atau "keberkesanan" bergantung pada mana yang lebih sesuai dalam konteks tersebut. | Tatabahasa | 11.04.2014 |
COST EFFECTIVENESS | KEBERKESANAN KOS KOS BERKESAN (UMUM) | Istilah | 10.11.2010 |