Adakah perkataan mengimarahkan relevan dengan ayat seperti yang berikut: "Memperkasa dan memupuk kecintaan khazanah warisan 1Malaysia melalui pelaksanaan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan mengimarahkan warisan negara sehingga terserlah di persada dunia." Persoalan ini saya ajukan kerana di dalam ruangan carian, takrif yang ada hanya merujuk kepada amalan di masjid atau surau sahaja. Mohon penjelasan lebih lanjut. | Mengimarahkan bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah, dan kebiasanya berbentuk keagamaan. Sehingga kini belum ada lagi peluasan makna untuk perkataan imarah/mengimarahkan yang merujuk kegiatan bukan berbentuk keagamaan. Oleh itu, perkataan mengimarahkan tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 13.12.2009 |
Sesungguhnya, dasar dan sistem pendidikan dapat dianggap sebagai satu daripada alat "terpenting" dan berkesan untuk menyemai dan memupuk semangat kebangsaan dan kecintaan terhadap bangsa dan negara, membina jati diri dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya di negara ini. adakah terpenting merupakan kata kerja?? terpenting merupakan Kata kerja tak transitif tak berpelengkap??? terima kasih.. | Tepenting ialah kata kerja tak transitif. | Tatabahasa | 24.03.2012 |
1) Sesungguhnya, dasar dan sistem pendidikan dapat dianggap sebagai satu daripada alat terpenting dan berkesan untuk menyemai dan memupuk semangat kebangsaan dan kecintaan terhadap bangsa dan negara, "membina" jati diri dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan murid daripada pelbagai latar belakang kaum, agama dan budaya di negara ini. 2)Bahasa Melayu telah membuktikan keupayaan dan kejayaannya sebagai wahana untuk "membina" kehidupan nasional dan negara yang moden dan maju. 3)Dalam zaman pembinaan negara, misi raksasa pemimpin dan rakyat adalah untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan "membinanya" sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran, bahasa persekolahan dan bahasa budaya tinggi yang mampu mendukung pengucapan struktur pemikiran moden dan canggih, selain sebagai bahasa supraetnik yang mengatasi garis ras untuk menyatukan pelbagai kaum di negara ini. adakah membina merupakan kata kerja transitif aktif dalam ketiga-tiga ayat di atas? | Perkataan membina dalam ketiga-tiga ayat tersebut ialah kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek untuk melengkapkan maksudnya. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 157. | Tatabahasa | 24.03.2012 |
Apakah langkah-langkah mengatasi masalah bahasa? (seperti bahasa rojak) | Penggunaan bahasa yang baik dan santun hanya dapat dibudayakan melalui pendidikan. Semua pihak perlu menjadikan pendidikan sbg wadah utk membina sahsiah generasi kita termasuk dalam soal penggunaan bahasa kecintaan kepada bahasa warisan bangsa. Kedua, penguatkuasaan dan pengawasan secara bersepadu oleh semua pihak berwajib untuk memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihormati penggunaannya pd papan tandam nama jaln, tempat banguna dsb. Dalam bidang penyiaran Suruhanjaya Komunikasi Multimedia bertanggungjawab memastikan garis panduan yang mensyaratkan 60% siaran mesti dalam bahasa Melayu dipenuhi oleh stesen radio dan televisyen swaasta dan kerajaan. Untuk maklumat lanjut silalah berkunjung ke Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. | Makna | 09.10.2006 |
Apakah hubung kait peranan Bahasa Melayu dengan jati diri rakyat Malaysia dan wawasan negara | Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, ada tiga ciri utama bangsa Melayu; beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Gabungan tiga unsur ini membentuk identiti yang unggul dan ampuh. Aspek kedua yang mesti dipertahankan ialah bahasa Melayu. Bahasa tidak dapat dipisahkan daripada bangsa. Pepatah Melayu mengatakan bahasa jiwa bangsa. Kekuatan sesuatu bahasa terletak pada keupayaannya menjadi wahana ilmu yang dilambangkan menerusi penulisan dan komunikasi pelbagai bidang ilmu. Itulah jati diri Melayu asli, tulen dan murni. Jati diri yang mesti dipertahankan, dicontohi dan diteladani yang memperkembangkan sahsiah, keyakinan diri, keimanan, memperteguhkan semangat, jati diri dan kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanah air. | Lain-lain | 19.07.2007 |
Assalamamualaikum... Saya mempunyai satu soalan untuk dikemukakan kepada pihak DBP, berkenaan polisi baru pihak kerajaan dalam Sistem Pendidikan yang baru digubal beberapa waktu lalu. Pembelajaran Sains dan Matematik yang kembali diajar semula dalam Bahasa Melayu menjadi kelegaan kepada banyak pihak terutama bagi yang memang selesa dan menjiwai bahasa Malayu itu sendiri. Bagi menyediakan prasarana itu,adakah pihak DBP mempunyai projek-projek terbaru untuk merialisasikan cita-cita kerajaan untuk memanggil semula minat pelajar-pelajar yang telah pudar dalam Sains dan Matematik? Bagi pandangn saya, DBP punya peranan yang sangat besar sebesar peranan Baitul Hikmah yang wujud tatkala zaman Kerajaan Abbasiah suatu ketika dahulu, yang mana, ia menjadi perpustakaan terbesar menempatkan sumber ilmu tak mengira bidang, dan yang lebih mengujakan, kebanyakan buku tersebut adalah dalam bahasa ibunda,iaitu bahasa Arab.... Adakah pihak DBP juga dalam perancangan kearah itu, atau hanya tertumpu kepada bidang kesasteraan Melayu semata? saya warga Malaysia yang punya harapan yang sangat tinggi terhadap DBP agar ia wujud menjadi badan yang bisa meyuntik penawar kepada tahapan ilmu dan kecintaan ilmu di kalangan rakyat Malaysia yang masih dalam kategori rendah dibaningkan dengan negara-negara membangun yang lain. Sekian. | Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu lebih kepada pedagogi pendidikan yang ditagani oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Dalam hal ini DBP tetap meneruskan fungsi dan peranannya dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang dilaksanakan melalui pelbagai kegiatan di sektor awam dan swasta. DBP akan mengemaskinikan dan menerbitkan lebih banyak buku dan istilah yang berkaitan seperti istilah Sains, Matematik dan Teknologi. Selain itu, kegiatan penggalakan dan pengembangan bahasa Melayu akan dipertingkatkan dan diperluas. | Lain-lain | 16.07.2009 |
Tuan, apakah peranan DBP: 1. Secara langsung kepada sekolah 2. Secara tidak langsung kepada sekolah | Assalamualaikum, Saudari Ramziah. 6 fungsi utama DBP ialah: 1. Membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi. 2. Memperkembang bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan. 3. Mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain. 4. Membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. 5. Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. 6. Menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Berdasarkan fungsi utama di atas, peranan secara langsung DBP kepada sekolah adalah yang berkaitan dengan usaha penyebaran ilmu pengetahuan melalui penerbitan buku dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia seperti berikut: 1. Menerbitkan buku teks untuk kegunaan sekolah rendah dan menengah. 2. Menerbitkan majalah yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar sekolah seperti Dewan Pelajar dan Dewan Siswa. Majalah-majalah lain yang juga dapat dimanfaatkan oleh pelajar ialah Tunas Cipta, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Ekonomi. Dewan Kosmik dan Dewan Bahasa. 3. Menerbitkan Kamus untuk kegunaan pelajar misalnya KAMUS MELAYU-INGGERIS (EDISI PELAJAR), KAMUS ARAB-MELAYU RENDAH DEWAN, KAMUS MELAYU-INGGERIS DEWAN, KAMUS TAMIL-MELAYU DEWAN, KAMUS MANDARIN-MELAYU DEWAN dan banyak lagi. Kesemua kamus ini masih dalam proses penerbitan dan ada yang dijangka terbit dalam tahun 2010 dan 2011. Manakala peranan secara tidak langsung adalah yang berkaitan dengan usaha mengembangkan minat pelajar serta guru dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi serta memupuk minat dan bakat dalam bidang kesusasteraan seperti penulisan, pembacaan, penghasilan karya, kebudayaan dan sebagainya melalui pelaksanaan aktiviti yang melibatkan pelajar dan guru seperti berikut: 1.Program Kebahasaan: -Pertandingan Forum Pelajar (untuk pelajar sekolaj jenis kebangsaan) -Pertandingan Forum Remaja - Peraduan Mengarang Esei -Pertandingan Koir -Pertandingan Deklamasi Puisi -Pertandingan Pidato -Pertandingan Bercerita 2.Program pengembangan kesusasteraan : 1. Sesi bercerita. 2. Program 'Seronoknya Membaca'. 3. Minggu Penulis Remaja. 4.Bengkel Penulisan Hadiah Tunas Remaja. 5. Program Kelab Tunas Renaja. 6. Kuiz Sastera Perdana 7. Bengkel Penghayatan Sastera KOMSAS untuk Guru. 8. Bengkel Teknik Bercerita Untuk Jurulatih(Guru) 9. Ceramah Sastera di sekolah. 10. Bengkel Penulisan untuk Pelajar Sekolah dan lain-lain lagi. Selain aktiviti yang dinyatakan di atas, sebenarnya ada banyak lagi yang tidak disebutkan. Terdapat program atau aktiviti yang berlainan dilaksanakan oleh DBP di peringkat cawangan seperti Sabah dan Sarawak dan di pejabat Wilayah DBP di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan. Namun kesemuanya menjurus ke arah matlamat meningkatkan kecintaan dan kemahiran penggunaan bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar dan guru. Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan oleh DBP melalui kerjasama dengan pihak lain seperti sekolah, Jabatan Pelajaran Malaysia di peringkat negeri serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain. Sekian terima kasih. AZHAR MOHD. DORA Bhg. Dasar dan Pembangunan Korporat DBP azhar@dbp.gov.my | Lain-lain | 12.07.2010 |
Apakah makna atau erti istilah SAYANG dan CINTA dan apakah beza antara kedua-dua perkataan ini. | Encik Kamal, Perkataan sayang bermaksud 1 menaruh rasa kasih atau rasa cinta: ~ benar dia kpd suaminya. 2 perasaan kasih atau cinta: Dr mana datangnya ~, dr mata turun ke hati. 3 menaruh perasaan belas atau kasihan; berasa kesal: ~ aku melihat pengemis tua itu. ~ sekali jika kamu tidak melanjutkan pelajaranmu. 4 panggilan utk orang yg dikasihi; buah hati: ~, mari ayah dukung. bersayang-sayangan saling berasa sayang; berkasih-kasihan. menyayangi 1 berasa sayang akan; mengasihi; mencintai: Dia sangat ~ anak dan isterinya. 2 berasa kesal terhadap sesuatu; menyesali: Apa gunanya ~ perkara yg telah berlaku? kesayangan 1 rasa kasih dan sayang; perasaan sayang; cinta kasih: ~nya terhadap cucunya itu amat mendalam. 2 apa-apa yg disayangi atau yg disukai: Dia terpaksa meninggalkan anak dan isteri ~nya utk melanjutkan pelajaran ke luar negara. penyayang (orang yg) bersifat sangat menyayangi sesuatu: ibu yg ~. Perkataan cinta bermaksud 1. perasaan atau berperasaan sangat sayang kpd (negara, orang tua, kebebasan, dll): walaupun ~nya kpd keamanan amat kuat tetapi ia tetap mengangkat senjata kalau dicerobohi; 2. perasaan atau berperasaan sangat berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: ~ kpd suaminya masih tinggal bersarang dlm hati; barangkali kau masih ~ pd tunanganmu; 3. sl perasaan atau berperasaan dukacita (risau, bimbang, sedih, dll): tiada terperikan ~nya serta bercucuran air matanya; 4. perasaan atau berperasaan ingin akan sesuatu, rindu: putera raja itu amat sangat ~ akan burung yg dilihatnya itu; ~ berahi terlalu sangat cinta (asyik maksyuk); ~ kasih sangat cinta dan kasih (kasih sayang); ~ monyet cinta yg hanya sementara dan tidak serius, terutamanya di kalangan remaja; ~ pandang pertama cinta yg timbul terhadap seseorang walaupun baru pertama kali melihat atau bertemu dengannya; cintakan cinta akan, mencintai; bercinta 1. menaruh rasa cinta atau berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan: elakkan drpd ~ sebelum lulus pelajaran; 2. berasa rindu; 3. ki berat rasa hati utk melakukan sesuatu (kerana sesuatu sebab yg kurang menyenangkan): kami sangat ~ utk pergi ke bank memandangkan lalu lintas yg sangat sesak; bercintakan 1. menaruh cinta atau kasih kpd, berahi kpd: sbg laki-laki yg ~ seorang wanita, bagaimana jua pun setia wanita itu kepadanya, namun curiga hatinya akan timbul juga barang sedikit; 2. berperasaan rindu akan, ingin akan: ia ~ benda yg sukar diperoleh; 3. sl berdukacita akan sesuatu, berasa sedih (pilu) hati akan sesuatu: tujuh hari baginda tiada nobat ~ Bendahara Seri Wak Raja; janganlah kakang emas ~ permintaan Ratu Dewi Kesuma Indera itu; bercinta-cintaan 1. cinta-mencintai, berkasih-kasihan: baru hendak ~ dgn seorang perempuan, tiba-tiba ia diberi malu dan dihina; 2. bercengkerama atau bercumbu-cumbuan (antara lelaki dan perempuan): sebelum hari malam, dia ~ dgn tunangannya; mencinta 1. menaruh cinta atau kasih (kpd); 2. sl berdukacita (akan), bersedih hati, menyesal; mencintai 1. mengasihi, menaruh cinta pd: ia ingin ~ dan dicintai; 2. merindukan(hendak memperoleh sesuatu dll), mengharapharapkan, menginginkan: tidak ada orang yg tak ~ duit; tercinta (yg) dicintai (dikasihi, disayangi): engkau pisahkan aku dr anakku yg ~; kecintaan 1. perasaan cinta, kasih, kesayangan: yg mempertalikan hati suami dan isteri itu ialah ~ yg diikat oleh kesetiaan; seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh ~ kpd bahasa kebangsaan; 2. yg dicintai (dikasihi), kekasih: pemuda ~nya bekerja sbg wartawan; 3. sl kerinduan kesedihan, kebimbangan; 4. sl menanggung cinta (sedih dll); percintaan 1. perihal bercinta-cintaan atau berkasih sayang (antara laki-laki dan perempuan): kahwin itu ialah kemuncak ~;2. sl perasaan dukacita (sedih, pilu, rindu, menyesal, dll), kesedihan, kesusahan: maka oleh bonda baginda kedua anakanda baginda, kedua-dua anakanda baginda dipeluk dicium, maka ~ bonda baginda pun hilanglah; pencinta orang yg meminati dan mencintai sesuatu: ~ sastera; ~ buku. Daripada makna yang diberikan jelaslah bahawa kedua-dua perkataan ini bersinonim. | Kamus Dewan Edisi Empat | | |
| Makna | 13.06.2010 |