| Salam.. Apakah contoh ayat bagi perkataan kekisi? Terima kasih.. | Kekisi yang dipasang itu tidak lurus menyebabkan tingkap tersebut senget. | Tatabahasa | 26.07.2013 |
| apa beza kekisi ngan kekuda | Untuk mendapatkan makna perkataan, layari laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan tulis kata kunci kata yang diperlukan dalam ruangan "Carian Spesifik". | Makna | 02.08.2016 |
| Apakah perbezaan antara "jeriji" dengan "kekisi"? | Jeriji sama maksudnya dengan kekisi. | Makna | 28.05.2015 |
| Apakah perbezaan antara 'kekisi dan tetupai? Tolong berikan contoh ayat. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "kekisi" bermaksud 1. jeruji, terli, kisi-kisi 2. (kim) susunan atom, ion atau molekul dalam tiga dimensi yang tetap, seperti yang terdapat dalam hablur. Sementara "tetupai" pula bermaksud "tupai-tupai" iaitu kepingan kayu, logam dan lain-lain untuk menyokong, menyambung atau mengukuhkan sambungan, biasanya digunakan dalam pembinaan rumah dll. | Makna | 05.08.2014 |
| saya farah hani binti mohd azizuddin.saya ingin bertanyakan bahawa apakah maksud kekisi,kekuda,tetupai,dan sesiku? saya harap pihak tuan/puan akan beri jawapan dengan secepat mungkin. | Kekisi bermaksud batang-batang daripada kayu atau logam (besi dan lain-lain) yang dipasang berdiri pada tingkap dan lain-lain, atau jeruji. Kekuda bermaksud kayu penyangga tulang bumbung rumah atau kayu palang untuk menyangga (kayu yang akan ditarah dan lain-lain. Tetupai bermaksud keratan kayu yang dilekapkan (dipakukan) pada tiang dan lain-lain untuk menyangga sesuatu. Sesiku bermaksud sejenis alat berbentuk `L' atau `T' (untuk melukis atau mengukur sesuatu sudut tepat); atau sejenis alat segi tiga daripada kayu dan lain-lain (dan bersudut 90°, 60°, dan 30° atau 90°, 45°, dan 45°). | Makna | 27.06.2009 |
| Bolehkah kata tanya digunakan dalam pertengahan ayat? Cth: Pelan grid, pelan jalan grid, atau pelan corak kekisi ialah sejenis rancangan bandar "di mana" jalan terletak pada sudut tegak antara satu sama lain, membentuk suatu grid. Kalau tidak boleh, apakah cadangan perkataan bagi memggantikannya? | Kata tanya digunakan dalam ayat tanya. Ayat penyata tidak menggunakan kata tanya dan hendaklah digantikan dengan perkataan lain atau dipisahkan menjadi dua ayat yang berasingan. Pelan grid, pelan jalan grid, atau pelan corak kekisi ialah sejenis rancangan bandar. Dalam rancangan bandar ini jalan terletak pada sudut tegak antara satu sama lain, membentuk suatu grid. | Tatabahasa | 01.11.2020 |
| Terdapat satu jenis topologi struktur kekisi yang bernama 'octet-truss'. Boleh saya tahu apa perkataan yang sesuai dalam bahasa melayu? Setakat ini saya guna oktet-trus. Terima kasih | Cadangan terjemahan bagi "octet-truss" ialah "Kekuda Oktet". | Penyemakan dan penterjemahan | 25.02.2022 |
| tuan, apakah jawaban untuk soalan ini? _____ Ali berdarah tertusuk duri. A. kekisi B. lelangit C. jejari Bolehkah 'duri' dalam soalan tersebut bermakna 'ikan tulang'? Perlukah kita hanya tulis 'duri' sahaja atau perlu tulis 'duri ikan' baru membawa erti 'tulang ikan'? Sekian, terima kasih. | Jawapan yang betul ialah B. lelangit. 'Duri' dalam Kamus Dewan bermaksud bahagian tajam yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan atau binatang. Untuk lebih jelas dan tidak mengelirukan lebih baik ditulis duri ikan sekiranya memang merujuk kepada tulang ikan. | Makna | 20.05.2011 |
| (A) kami menunggunya pada pukul 4 petang. Betulkah ayat ini? (B) ______ kelambu itu telah koyak. (a) kekisi (b) lelangit | Ayat yang betul ialah: (A) Kami menunggunya pada pukul 4 petang. (B) Lelangit kelambu itu telah koyak. | Tatabahasa | 12.08.2014 |
| Apakah maksud “pepasu”? Saya tidak dapat mencari perkataan ini dalam kamus. | Salam sejahtera, Kata pepasu tergolong dalam kata ganda separa, iaitu kata ganda yang hanya mengulangi suku kata pertama kata dasarnya, biasanya terdapat perubahan vokal, dan lazimnya. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Contoh kata ganda separa yang lain ialah kekisi, lelayang, bebutang, pepasu, tetikus, tetupai, jejari, kekuda, pepatung dan bebola. Kata ganda separa ada yang membawa maksud tunggal, misalnya tetamu, kekuda, tetikus, dan ada yang membawa maksud jamak, misalnya pepohon dan dedaun. Hasil carian dalam Internet, terdapat beberapa contoh penggunaan pepasu namun kekerapan penggunaannya agak rendah. Antara contoh penggunaannya: 1. Bila dah kahwin ni tak larat nak angkat pepasu tu semua pindah ke rumah mak mertua... 2. Biar dia letak pepasu itu kat rumah dia. 3. Pepasu banyak itu hari... tinggal hat nie jaa... Berdasarkan beberapa contoh tersebut, pepasu boleh diandaikan membawa maksud jamak, iaitu pelbagai jenis pasu atau banyak pasu. Sekian, terima kasih. | Makna | 19.01.2025 |