Salam sejahtera, 1) Apakah beza antara "pelahiran" dan "kelahiran" iaitu "labour" dan "delivery". 2) Adakah menterjemahkan "fatigue" sebagai lesu atau "letih" tepat. Jika pembaca sasaran golongan ibu berpendidikan saya kira lebih baik buat pinjaman, iaitu kekalkan menjadi fatig. Terima kasih. Selamat mengundi 5 Mei nanti. Orang DBP baik belaka. | 1. Pelahiran ialah perihal atau perbuatan melahirkan seperti ayat pelahiran golongan pencinta muzik tradisional dalam kalangan generasi muda ... dan kelahiran ialah perihal keluar dari kandungan ibu seperti ayat pada saat kelahiran anaknya itu, Ani menangis .... 2. Terjemahan fatig ada digunakan tetapi khusus dalam bidang perubatan, manakala dalam konteks umum fatigue diterjemahkan kepada penat, letih atau lesu. | Makna | 11.04.2013 |
Ada dua kekeliruan penggunaan kata noktah dan huruf besar. 1. Contoh ayat : a.Jawapannya ya, ada! Tidak terlewat untuk Malik melakukan "Perancangn Kewangan". - tanda noktah ( . ) selepas tanda petik atau sebelum penutup tanda petik? - Huruf P dan K (perancangan kewangan) perlu huruf besar atau kecil? 2. Purata umur masyarakat meningkat disebabkan jangka hayat yang lebih panjang dan juga pengurang kadar kelahiran.2 - penggunaan perkataan 'pengurang' betul ke? atau 'pengurangan' lebih sesuai. - Nota kaki selepas kelahiran. tanda noktah perlu selepas nombor nota kaki atau selepas nombor nota kaki? harap saudara/saudari dapat membantu saya. Terima kasih | Berikut merupakan penjelasan daripada DBP: - Tidak jelas sama ada ini perikan daripada pembicaraan atau ayat penyata. Sekiranya ayat penyata, penggunaan tanda baca yang betul ialah Tidak terlewat untuk Malik melakukan perancangan kewangan.
- Purata umur masyarakat meningkat disebabkan jangka hayat yang lebih panjang dan juga kadar kelahiran² yang berkurangan.
Puan boleh merujuk Buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu dan buku Gaya Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 26.06.2014 |
Adakah ayat di bawah salah: 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Pada pendapat saya, 3 & 4 tidak mempunyai kesalahan tetapi 1 & 2 sepatutnya, 1. Tiap-tiap/ Setiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. 2. Pengusaha kilang itu tidak mematuhi larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. atau ( patuh akan larangan ) Apakah pendapat tuan/ puan. Terima kasih. | 1. Tiap pelajar perlu berpakaian kemas dan memakai lencana sekolah. Betul kerana tiap sama dengan setiap dan tiap-tiap. 2. Pengusaha kilang itu tidak patuh larangan membuang sisa toksik ke dalam sungai itu. Salah, yang betulnya ... tidak mematuhi larangan .... 3. Encik Ali mengadakan kenduri kesyukuran atas kelahiran anak sulungnya. Tiada kesalahan. 4. Puan Fatimah membeli alat-alat keperluan perkhemahan untuk abang di kedai itu. Tiada kesalahan.
| Tatabahasa | 17.10.2012 |
berikan maksud Hari Keputeraan Baginda dan maksud diputerakan? | 1. Maksud Hari Keputeraan Baginda ialah hari ulang tahun kelahiran dan 2. maksud diputerakan pula ialah dilahirkan (anak): Contoh ayat: baginda ~ di Istana Anak Bukit pd 28 November 1927; | Lain-lain | 28.07.2010 |
apakah maksud produktif dan kompetitif dalam maksud yang tepat | Produktif bermaksud 1. berupaya atau boleh mengeluarkan hasil yg banyak; 2. mencapai banyak hasil, berhasil; 3. berupaya membiak, melahirkan anak atau menyebabkan kelahiran, subur. Kompetitif pula bermaksud bersifat persaingan, cenderung atau suka bersaing. | Makna | 18.04.2007 |
Apakah bezanya kekah dan korban | Encik Ismail terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. akikah- Ar penyembelihan binatang ternakan (lembu, kambing) yg dilakukan selepas kelahiran bayi (lebih afdal pd hari ketujuh) sbg tanda kesyukuran kpd Allah;
korban- Ar 1. amalan menghampirkan diri kpd Allah dgn menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau, dll) pd 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya (hari tasyrik) dgn mengagihkan sebahagian drpd daging itu kpd fakir miskin: majlis ~;
| Makna | 20.10.2009 |
apa pengertian baka, gen, jenitik, dan keturunan | Baka ialah keluarga (yang menurunkan), atau asal keturunan. Gen ialah sebahagian daripada juzuk sel pada benda hidup, yang mengawal ciri fizikal, pertumbuhan, dan perkembangan benda hidup yang berkenaan. Genetik (bukan jenitik) bermaksud;1. kajian tentang keturunan (baka), dan cara individu mewarisi sesuatu ciri (sifat), dan memindahkan ciri tersebut daripada satu generasi kepada generasi lain melalui gen; 2. berkenaan pembiakan, kelahiran, atau asal usul sesuatu. Keturunan bermaksud anak cucu, baka, zuriat. | Makna | 22.07.2009 |
Salam, Mohon keterangan lanjut tentang perbezaan penggunaan kepada dan pada. Terima kasih. | Perbezaan penggunaan kepada dan pada ialah kepada digunakan dengan maksud arah dan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama yang merujuk kepada orang atau objek. Contoh ayat, 1. Nathan mengalihkan pandangannya kepada padi yang sedang disukat. 2. Sekali lagi Pak Hasan bertanya kepada dirinya. Kepada juga boleh digunakan mendahului kata nama atau frasa nama bukan manusia dengan maksud arah, iaitu apabila kata nama itu merujuk kepada institusi ataupun tempat yang ada kaitannya dengan manusia. Misalnya, Sawah dan desa ini mengingatkan saya kepada tanah kelahiran saya di Melaka. Pada pula digunakan dalam beberapa situasi, 1. untuk menandakan keterangan waktu, apabila mendahului kata nama atau frasa nama yang menyatakan waktu atau masa. Contoh ayat, Ali telah berpindah rumah pada bulan Januari yang lalu. 2. untuk menandakan sesuatu tempat yang tetapdan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama yang merujuk kepada orang ataupun objek. Misalnya 1. Pada fikirannya, eloklah dia menyiapkan jala mulai sekarang. 2. Aku akan menggantungkan buaian kain pada sebatang dahan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat dan Sendi Nama Pedoman Bahasa. | Lain-lain | 15.02.2010 |
soalan ini merujuk kepada kepada kata sendi ke dan kepada. saya ingin bertanya penggunaan penyataan berikut adalah benar atau salah, berserta alasannya. i. hingga ke masa kini ii. hingga kepada masa kini iii. hingga kini | Ungkapan yang betul ialah hingga kini. Kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa. Contoh: Pegawai itu berjaga hingga pagi. Anaknya belajar hingga peringkat universiti. Berdasarkan contoh tersebut, kata sendi nama tidak berdampingan dengan kata sendi nama (ke) yang lain dan tidak boleh hadir secara berturutan. Oleh itu, penggunaan hingga ke berdampingan dalam satu ayat dianggap tidak gramatis. Penggunaan kata sendi nama kepada digunakan dengan maksud arah dan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama yang merujuk kepada orang atau objek. Contoh ayat, 1. Nathan mengalihkan pandangannya kepada padi yang sedang disukat. 2. Sekali lagi Pak Hasan bertanya kepada dirinya. Kepada juga boleh digunakan mendahului kata nama atau frasa nama bukan manusia dengan maksud arah, iaitu apabila kata nama itu merujuk kepada institusi ataupun tempat yang ada kaitannya dengan manusia. Misalnya, Sawah dan desa ini mengingatkan saya kepada tanah kelahiran saya di Melaka. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265. | Tatabahasa | 08.08.2010 |
Saya masih lagi keliru tentang penggunaan yang betul kata sendi 'pada' dan 'kepada'. Walaupun banyak sudah penjelasan dan penerangan dalam buku-buku panduan dan internet, namun saya masih keliru contohnya: bergantung pada hujahan, atau bergantung kepada hujahan? Begitu juga dengan memberikan focus pada isu, atau focus kepada? Adakah saya betul jika saya katakan- bergantung kepada hujahan tetapi bergantung pada papan yang disandarkan? Begtu juga, focus kepada isu, dan focus pada benda optik yang diperhujahkan? Terima kasih Abdul Karim | Perbezaan penggunaan kepada dan pada ialah kepada digunakan dengan maksud arah dan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama yang merujuk kepada orang atau objek. Contoh ayat, 1. Nathan mengalihkan pandangannya kepada padi yang sedang disukat. 2. Sekali lagi Pak Hasan bertanya kepada dirinya. Kepadajuga boleh digunakan mendahului kata nama atau frasa nama bukan manusia dengan maksud arah, iaitu apabila kata nama itu merujuk kepadainstitusi ataupun tempat yang ada kaitannya dengan manusia. Misalnya, Sawah dan desa ini mengingatkan saya kepada tanah kelahiran saya di Melaka. Pada pula digunakan dalam beberapa situasi, 1. untuk menandakan keterangan waktu, apabila mendahului kata nama atau frasa nama yang menyatakan waktu atau masa. Contoh ayat, Ali telah berpindah rumah pada bulan Januari yang lalu. 2. untuk menandakan sesuatu tempat yang tetapdan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama yang merujuk kepada orang ataupun objek. Misalnya 1. Pada fikirannya, eloklah dia menyiapkan jala mulai sekarang. 2. Aku akan menggantungkan buaian kain pada sebatang dahan. | Lain-lain | 26.12.2017 |