Assalammualaikum, mohon bantuan mengenai perkataan prasarana. Masalahnya ialah kami sedang melaksanakan kerja projek penulisan ilmiah untuk mata pelajaran Pengajian Am peringkat STPM. Tajuk yang diberi sekadar berbentuk tema iaitu, pengangkutan:prasarana. Jadi mohon bantuan menghuraikan cakupan prasarana dalam konteks ini adakah meliputi pengangkutan awam sahaja dan tidak boleh menyentuh pengangkutan peribadi seperti kereta atau motosikal? Kerjasama didahului dengan ucapan terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan, prasarana ialah keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas (seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan, bekalan kuasa elektrik, dan sebagainya) yang perlu bagi pembangunan (pertumbuhan) dan kemajuan. Kemudahan asas ialah kemudahan yang disediakan untuk orang awam dan keperluan peribadi tidak termasuk dalam huraian berkenaan. | Makna | 12.04.2013 |
Saya mendapati jawapan untuk soalan 20 dalam Arkib Soalan terdapat kesalahan dari segi tatabahasa iaitu penggunaan frasa pasif "senarai khidmat yang diberikan oleh kami". Penggunaan yang betul ialah " senarai khidmat yang kami berikan". Saya berharap agar kesilapan ini dapat dielakkan kerana akan mengelirukan pengguna bahasa. Dalam pembentukan kata baru, apakah kriteria yang diambil kira oleh DBP? Saya mendapati walaupun dalam bahasa Melayu sudah memiliki kata asal, namun kata baru masih dibentuk dengan cara pinjaman kata, mengapakah hal ini berlaku? Contohnya prasarana/kemudahan asas dengan infrastruktur, berkesan dengan efektif dan sebagainya. Saya risau kata asal ini akan "hilang" pada suatu hari nanti kalau kebanyakan pengguna menggunakan kata pinjaman. Saya juga berharap agar pembentukan kata baru bahasa Melayu tertumpu pada kata yang tidak ada pada bahasa kita khasnya istilah-istilah sains dan teknologi. Sekian, terima kasih. | Terima kasih atas makluman yang diberikan. Pihak kami akan lebih berhati-hati semasa memberikan jawapan pada masa akan datang. Pihak DBP menerima bentukkata pinjaman bertujuan untuk memperkaya perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Pada dasarnya kata yang tiada padanannya dalam bahasa Melayu, khususnya kata dalam bidang sains dan teknologi dibentuk melalui penyerapan kata tersebut ke dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata pinjaman ini bergantung pada konteks penggunaan kata tersebut terutamanya penggunaan dalam bidang-bidang khusus. Walau bagaimanapun terdapat kecenderungan pengguna untuk menggunakan kata pinjaman dalam semua konteks penggunaan yang di luar kami. Pengguna bahasa sepatutnya dapat membezakan keperluan menggunakan kata asli dalam bahasa Melayu dan penggunaan kata pinjaman dalam urusan harian mereka. | Lain-lain | 24.05.2008 |