a. saya keliru dengan penggunaan perkataan "berhemah" dengan "berhemat". 1. Apa beza antara kedua-duanya. 2. Boleh beri contoh ayat yang sesuai ? b. ada khabar angin mengatakan kamus dewan edisi 4 tidak "valid". Betulkah ? | Sekiranya sdr merujuk Kamus Dewan, kata berhemah membawa maksud seseorang yang mempunyai budi pekerti yang mulia: Contoh ayat; dia jujur dan berhemah tinggi. Manakala kata berhemat menggambarkan sikap seseorang yang berjimat cermat dalam perbelanjaan atau penyimpanan wangnya. 1. berjimat, bercermat: sebab itu dia hendak ~ menyimpan wang; 2. berhati-hati, teliti: amatlah mustahaknya pengarang itu ~ kerana sekiranya perkataannya itu didapati palsu maka hukuman terhadapnya menjadi berat; ingat sebelum kena, ~ sebelum habis prb perlu berikhtiar dgn sungguh-sungguh supaya tidak menyesal pada kemudian hari. Berkaitan dengan khabar angin yang mengatakan Kamus Dewan Edisi keempat tidak sah (valid) kurang tepat. Hal ini demikian, kerana Kamus Dewan ini menjadi rujukan umum pengguna bahasa dan mendapat permintaan yang sungguh menggalakkan daripada pengguna bahasa. Untuk makluman pihak tuan, Kamus Dewan juga diterbitkan dalam bentuk digital (cakera padat), iaitu Kamus Dewan Eja Pro. Walau bagaimanapun, kami merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan tuan terhadap Kamus Dewan Edisi Keempat ini. DBP sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan, maklum balas, dan komen daripada pengguna terhadap produk DBP untuk tindakan penambahbaikan. | Tatabahasa | 11.06.2009 |
Perlukah (ataupun Wajibkah) tanda koma diletakkan selepas perkataan 'kemudian' dan 'kini' untuk sesuatu ayat? Bilakah tanda koma perlu digunakan selepas 'kemudian' dan 'kini'? Contoh: Kemudian, rubah itu melompat beberapa kali. Kemudian, dia duduk di atas kerusi itu. Kini, budak penggembala biri-biri menyesal akan perbuatannya itu. Kini, dia telah menolong saya pula. Harap tuan/puan boleh memberi jawapan hari ini. Sekian. Terima kasih. | Selepas kedua-dua kata tersebut tidak perlu ditulis tanda koma, sebaliknya terus sahaja dengan perkataan yang mengikutinya seperti Kemudian dia duduk di atas kerusi itu. | Ejaan | 31.12.2011 |
Adakah ayat-ayat berikut betul dari segi tatabahasa atau tanda baca? Andainya salah, apakah jawapan yang betul? 1. Kain tersebut diikat dan dililitkan pada bahagian pinggang. Kemudian, disangkutkan ke bahu. 2. Aiman menyambut hari Deepavali di Kampung Jublee. | 1. Kain tersebut diikat dan dililitkan pada bahagian pinggang, kemudian disangkutkan ke bahu. 2. Aiman menyambut Hari Deepavali di Kampung Jublee. | Tatabahasa | 25.06.2012 |
Buku Teks Bahasa Malaysia Tahun 2. (muka surat 78) Betulkan kesalahan ejaan dan tanda baca. 1. Kain tersebut diikat dan dililitkan pada bahagian pinggang kemudian disangkutkan ke bahu. (perlu betulkan apa-apa tanda baca lagi?) | Selamat tengah hari. Berdasarkan ayat tersebut, oleh sebab ayat terlalu panjang, dicadangkan tuan/puan memasukkan tanda koma selepas perkataan pinggang untuk memberikan jeda pada ayat. Terima kasih. | Lain-lain | 23.05.2012 |
jawapan yang macam mana perlu kami berikan untuk soalan dibawah: 1. sistem pendidikan kebangsaan memasyarakatkan satu malaysia. 2. kegawatan sosial yang berlaku pada hari ini boleh menghalang proses pembinaan tamadun malaysia. untuk soalan kedua, bolehkah kami jawap soalannya seperti berikut topik: seks rambang, kemudian terdapat lima bahagian, iaitu 1. politik(imej negara), 2. pendidikan(kegagalan), 3. sosial(masyarakat), 4. jenayah(pembuangan bayi), 5. agama(peganagan agama yang tidak kuat) | Soalan esei lazimnya mempunyai skema jawapan yang telah ditentukan. Sila berbincang dengan pensyarah untuk dapatkan skema jawapan. Soalan saudara di luar skop perkhidmatan yang kami berikan. Khidmat Nasihat Bahasa menangani masalah berkaitan penggunaan bahasa Melayu antaranya termasuklah Ejaan Rumi dan jawi, Perkataan dan Istilah serta Tatabahasa. | Lain-lain | 23.01.2011 |
bagaimana hendak mengenal pasti kata majmuk? kemudian, adakah perkataan "sebagai",dan "ialah" juga merupakan kata majmuk? soalan kedua, perkataan "bersamanya", apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "-nya"? adakah ianya adalah kletik? dan bagaimana hendak diterangkan dalam pembentukan kata bagi perkataan "bersamanya". | Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk dengan merangkaikan beberapa kata dasar ; bentuk yang terhasil membawa makna tertentu, dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, contohnya kapal terbang, ibu bapa sapu tangan dan sebagainya. Kata majmuk terbahagi kepada tiga jenis, iaitu: 1) Kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas, contohnya guru besar, tengah hari dan balai raya. 2) Kata majmuk yang juga merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah, contohnya graf terarah, program bahasa dan analisis teks. 3) Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa, contohnya cakar ayam, lipas kudung dan anak emas. kata majmuk yang mantap sahaja dieja satu perkataan iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 133. "Sebagai" dan "ialah" bukan kata majmuk. "Sebagai" ialah kata sendi manakala "ialah" kata pemeri. "nya" ialah kata ganti nama diri orang ketiga yang juga boleh berfungsi sebagai kata pembenda/penekan. Keterangan lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga , halaman 295. | Istilah | 18.02.2009 |
Salam sejahtera, tuan. 1. Saya menghantar emel kepada kawan saya (dengan/menggunakan/dengan melayari/melalui) internet. 2. Perkataan "tiba", "sampai" dan "datang" diikuti dengan perkataan "di" atau "ke"? 3. Tidak lama kemudian, kereta polis pun (sampai/tiba/datang). 4. Saya berasa terkejut (dan/lalu) cepat masuk ke dalam rumah. 5. Pencuri itu (berasa/-) takut lalu terjatuh dari bumbung rumah jiran. Adakah perkataan "berasa" itu penting? Apakah perbezaan antara perkataan "berasa" dan "rasa"? 6. kakak minum teh di dalam rumah atau kafe? / kaka minum teh di dalam rumah atau di dalam kafe? 7. walalupun saya berenang di atas permukaan air, tetapi saya harus menulis "saya berenang di dalam air"? 8. Saya mencari maklumat DI DALAM BILIK menggunakan komputer pada setiap hari. / Saya mencari maklumat menggunakan komputer DI DALAM BILIK pada setiap hari. 9. Adakah turutan nama(N), aktiviti(A), tempat(T), benda(B) dan keterangan (K) itu penting? contohnya, saya membersihkan longkang di halaman rumah menggunakan penyodok pada hari Ahad yang lalu. Terima kasih | 1. Saya menghantar emel kepada kawan saya. 2. Perkataan tiba/sampai/datang + di/ke bergantung pada konteks ayat tersebut. Contohnya apabila kereta api tiba di stesen itu ramai penumpang yg turun dan mereka sedia menerima sebarang bahaya yang akan tiba. 3. Tidak lama kemudian, kereta polis pun sampai/tiba/datang. 4. Saya berasa terkejut lalu cepat masuk ke dalam rumah. 5. Pencuri itu takut lalu terjatuh dari bumbung rumah jiran. Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=rasa dan http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=berasa untuk melihat perbezaan makna rasa dan berasa. 6. Kakak minum teh di dalam rumah atau di dalam kafe. 7. Walalupun saya berenang di dalam air. 8. Saya mencari maklumat menggunakan komputer DI DALAM BILIK pada setiap hari. 9. Dalam pembentukan ayat pola yang ada ialah Frasa Nama + Frasa Nama, Frasa Nama + Frasa Kerja, Frasa Nama + Frasa Sendi Nama dan Frasa Nama + Frasa Adjektif. Walau bagaimanapun pola ini boleh berubah dalam ayat songsang. Contohnya ayat saya membersihkan longkang di halaman rumah menggunakan penyodok pada hari Ahad yang lalu dan ayat pada hari Ahad yang lalu saya membersihkan longkang di halaman rumah menggunakan penyodok, kedua-duanya betul. | Tatabahasa | 03.10.2012 |
1)bagaimanakah ejaan "kongres" terhasil? 2)bilakah berlaku kongres bahasa dan persuratan melayu yang pertama? siapakah yang terlibat? dimanakah dan bilakah kongres itu berlangsung? apakah yang dibincangkan semasa kongres tersebut? 3)bagaimana pula dengan kongres kali kedua dan ketiga? seperti diatas.. 4)sekarang kali ke berapakah kongres diadakan? kali ke-7 atau ke-8? terima kasih | Kongres bermaksud mesyuarat besar wakil-wakil pertubuhan (politik, sosial, budaya, dsb) utk membincangkan sesuatu isu. Kongres (Bahasa) dan Persuratan Melayu I, diadakan di Special Hall, Sea View Hotel, Singapore, pada 12 dan 13 April 1952. Kongres ini anjurkan oleh persatuan yang menjadi kerabat Kongres, dipelopori oleh Angkatan Sasterawan ’50. Oleh sebab itu tujuan utama Kongres ini lebih kepada menjaga kepentingan ahli-ahli kerabat Kongres. Dengan demikian, Kongres memberi perhatian kepada pembentukan PIAGAM CONGRESS, yang kemudian-nya telah di-sahkan oleh Persidangan dan di-tandatangani oleh tiap2 ketua perwakilan yang hadhir bersidang hari ini. Tidak ada kertas kerja dibentangkan, tetapi tumpuan perbincangan berkisar pada isu-isu berikut: a. Perlunya ada usaha mempersatukan badan2 Persuratan Melayu di-Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo Utara. b. Badan-badan ini menjadi pihak yang mengambil keputusan muktamad atas sebarang hal mengenai kemajuan bahasa dan persuratan Melayu. c. Adanya keperluan membela hak pengarang, sasterawan dan ahli-ahli bahasa Melayu. Untuk maklumat lanjut kongres sila berkunjung ke Pusat Dokumentasi Melayu, DBP atau perpustakaan di pusat pengajian tinggi. | Lain-lain | 26.06.2008 |