Bagaimana menulis Perang Teluk? Perlukah ditulis dengan huruf besar? (Yang mana paling tepat?): 1. Ketika Perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku. 2. Ketika perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku. 3. Ketika perang teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku. | Salam sejahtera, Perang Teluk merupakan kata nama khas dan perlu ditulis dengan huruf besar pada permulaan perkataan. Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada suatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Contoh kata nama khas ialah seperti Amelia, Raja Zakuan, Jibrail, Kancil, Melayu, Singapura, Piala Thomas, Dewan Bahasa dan Pustaka, Honda, dan lain-lain. Jadi ayat 'Ketika Perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku' merupakan ayat penulisan yang tepat. | Tatabahasa | 19.11.2012 |
ayat pertama : Namun pengetahuan sains harus digunakan untuk kebaikan / pembaikan dan bukan untuk kemusnahan / pemusnahan. imbuhan mana yang sesuai untuk perkataan baik dan musnah dalam ayat di atas. terima kasih | Ayat dan penggunaan imbuhan yang tepat ialah "Namun pengetahuan sains harus digunakan untuk tujuan kebaikan dan bukan untuk kemusnahan". | Tatabahasa | 13.08.2015 |
Assalamualaikum. Saya mohon bantuan menentukan pola ayat di bawah. 1. Bencana alam merupakan kemusnahan alam sekitar. Ada yang menyatakan polanya FN+FN. Walau bagaimanapun dalam tesaurus merupakan digolongkan sebagai kata kerja. Harap dapat dijelaskan dalam situasi bagaimana perkataan itu boleh menjadi kata nama.Terima kasih ya. 2. Adakah perkataan mengandungi digolongkan sebagai kata kerja? Terima kasih | Kata “merupakan” tergolong dalam kata kerja tak transitif. Perkataan “merupakan” membawa makna lain apabila menerima apitan kata kerja meN... kan. Oleh yang demikian “merupakan” tidak tergolong dalam kata nama. Perkataan “mengandungi” digolongkan sebagai kata kerja transitif. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2014), halaman 190-193. Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) halaman 957, 1918. | Tatabahasa | 16.01.2024 |
mereka hanya mengeyakan kata-kata Abang Long agar tidak berlaku kehancuran dalam hubngan kekeluargaan. tuan, saya tidak memahami mengapakah kehancura adalah salah digunakan? | Kehancuran bermaksud kebinasaan atau kemusnahan dan tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Perkataan lain yang lebih sesuai ialah keretakan. | Tatabahasa | 03.08.2011 |
maksud pelestarian | Kata dasar pelestarian ialah lestari yang membawa maksud tidak berubah-ubah, kekal atau tetap. Perkataan ini berasal daripada Indonesia. Maksud bagi pelestarian pula ialah perlindungan daripada kemusnahan atau kerosakan. Contoh ayatnya, pelestarian sumber-sumber alam. | Makna | 21.12.2006 |
Assalamualaikum tuan/puan. Saya ingin menggunakan tajuk berikut sebagai tajuk tesis Phd saya dan mohon bantuan semakan pihak tuan. PELESTARIAN PATRIOTISME | Mengikut Kamus Dewan, pelestarian ialah perlindungan daripada kemusnahan, manakala patriotisme pula ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Maka, secara literalnya, pelestarian patriotisme ialah pengekalan perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Namun, frasa PELESTARIAN PATRIOTISME bukan sahaja terlalu pendek untuk tajuk tesis, malah konsep tidak jelas. | Penyemakan dan penterjemahan | 07.03.2017 |
Assalamulaikum tuan, Terdapat beberapa kekeliruan dalam saya menggunakan perkataan berikut: - Pembaikan atau Pembaikkan, Penyelenggaraan atau Penyenggaraan, dan Kerosakan atau Kerosakkan. Diharap tuan dapat menguraikan kekeliruan ini. Sekian , terima kasih. | Pembaikan yang bermaksud perihal membaikkan atau membaiki; Penyelenggaraan ialah perbuatan menyelenggara sesuatu; Kerosakan ialah perihal rosak atau kemusnahan. | Ejaan | 05.05.2008 |
Apakah maksud lestari? Apakah maksud mampan? Apakah perbezaan kedua-dua perkataan ini? Adakah wujudnya perkataan kemampanan? | Lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal, tetap; asli atau terpelihara seperti asal. Contohnya, melestarikan hutan; kelestarian keadaan (hutan, persekitaran, dan lain-lain). Pelestarian; perlindungan daripada kemusnahan. Mampan bermaksud mampu mengekalkan atau pencapaian tahap prestasi yang baik (berkenaan ekonomi, pembangunan dan sebagainya). Padanan dalam bahasa Inggeris ialah sustainable. Perkataan mampan menerima imbuhan apitan ke-an membentuk kata kemampanan yang bermaksud perihal mampan. | Makna | 12.05.2020 |
Assalamualaikum tuan/puan. Saya ingin menggunakan tajuk berikut sebagai tajuk tesis Phd saya dan mohon bantuan semakan pihak tuan. PELESTARIAN PATRIOTISME SISWA GURU PENDIDIK INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA TERHADAP PELAJAR SEKOLAH RENDAH | Frasa SISWA, GURU DAN PENDIDIK merujuk pada tiga individu yang berbeza? Apakah yang tuan maksudkan dengan SISWA GURU PENDIDIK? Di samping itu, apakah yang dimaksudkan dengan PELESTARIAN? Mengikut Kamus Dewan, pelestarian ialah perlindungan daripada kemusnahan. Maka daripada tajuk yang diberikan, apakah maksud perlindungan/ pengekalan patriotisme pendidik IPG terhadap pelajar sekolah? Tajuk anda sangat mengelirukan. | Penyemakan dan penterjemahan | 27.02.2017 |
Apakah terjemahan terbaik untuk 'colony collapse disorder'? | Untuk makluman, tidak terdapat istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "colony collapse disorder" dalam pangkalan data istilah DBP. Walau bagaimanapun, terdapat istilah bahasa Melayu untuk perkataan bahasa Inggeris yang diberikan seperti yang berikut: 1. colony - koloni 2. collapse - runtuh, roboh, musnah, hancur 3. disorder - gangguan, kecelaruan, kekacauan, kerosakan. Padanan bahasa Melayu yang sesuai bergantung pada konsep dan konteks penggunaan. Contohnya: gangguan keruntuhan koloni atau gangguan kemusnahan koloni. | Istilah | 10.06.2014 |